Assalamu’alaikum Y.Bhg Tun,

SAYA tidak menyangka tindakan Tun sejauh itu. Sebagai seorang yang dilihat sangat sayangkan UMNO, saya agak terkejut dengan tindakan Tun keluar daripada UMNO.

Lebih terkejut lagi apabila Tun mengajak ahli UMNO lain mengikut jejak beliau.

Saya mengkagumi pemikiran-pemikiran Tun dan tulisan-tulisan saya tentang Tun membuktikan hal itu.

Tetapi saranan untuk mengikuti jejak Tun agar keluar daripada UMNO, ini tidak dapat saya lakukan.

Bagi saya Y.Bhg Tun dan YAB Pak Lah tidak lebih penting daripada UMNO.

Jika seorang menyerang dan seorang lagi mempertahankan diri, itu hal tuan-tuan berdua, UMNO jangan dilibatkan. Tetapi nampaknya “UMNO” menjadi pertaruhannya.

Saya cukup khuatir kerana tindak-tanduk tuan-tuan berdua, UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn akan menjadi sejarah. Pada waktu itu orang akan bertanya siapakah yang menjadi penyebabnya. Tun yang menyerang Pak Lah atau Pak Lah yang mempertahankan serangan Tun?

Kepada ahli-ahli UMNO marilah kita bangun dan hanya melihat kepentingan UMNO melebihi tuan-tuan berdua.

Jika ini ditakdirkan menjadi kesudahan kepada Tun apa lagi yang dapat saya katakan selain perkataan biarkan, tetapi UMNO tidak boleh disudahi dengan cara ini.

Jika seseorang itu bersetuju dengan anda, anda sokong UMNO, dan apabila orang itu sudah tidak bersetuju dengan anda, anda pun keluar UMNO. Nampaknya suka atau tidak suka diukur dengan cara yang cukup peribadi.”. Cara-cara yang sebegini memang tidak dapat saya terima.

Budaya seperti di atas tidak boleh dibiarkan. Lainlah kalau UMNO sahaja yang ada di negara ini. Masalahnya kita ada pembangkang yang sedang meraih peluang. Nampaknya kita menyediakan lubang untuk mereka menimbus kepala kita sendiri.

Walau apa pun saya masih mengharapkan Y.Bhg Tun menarik balik keputusan itu demi kepentingan agama, parti, bangsa dan negara.

Saya berharap Tun menyemak semula ucapan-ucapan Tun semasa menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO bagi memastikan adakah tindakan keluar parti dan mengajak ahli UMNO bersama itu suatu tindakan yang bijak atau melanggar prinsip perjuangan Tun sendiri?

Dan jika keluar parti itu masih menjadi pilihan Tun, saya tetap menghormati keputusan itu sebab jasa Tun selaku mantan Perdana Menteri tidak akan dilupakan begitu sahaja sebab saya diajar oleh Tun untuk mengenang budi dan tidak mudah lupa.

Tetapi jika keputusan Tun itu menyebabkan UMNO akan menjadi lebih parah, saya pasti Tun akan bertanggungjawab dalam hal ini dan bersedia menerima apa jua tamparan selepas ini.

Saya amat berdukacita ketika menulis komen ini kerana saya terpaksa berterus terang dengan seseorang yang amat saya hormati selama ini.

Saya ingat kita dapat bersetuju dalam semua perkara, tetapi sudah ditakdirkan nampaknya dalam hal ini saya terpaksa mengatakan tidak kepada Tuan. Maafkan saya.

Wassalam.

Abd Bashid Harun
Presiden Tiewrist Dot Com