Assalamu’alaikum dan salam sejahtera,
Selamat Berpuasa kepada semua pengunjung dan pembaca setia laman Panduan Guru-Guru Malaysia. Semoga bulan Ramadhan kali ini akan memberi kita lebih kesempatan untuk merenung kerja buat kita dalam tahun ini.
Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bercuti kepada semua pelajar dan warga pendidik di seluruh negara. Gunakanlah kesempatan cuti seminggu ini untuk menyediakan masa berkualiti bersama anggota keluarga dan mengecapi suasana puasa yang penuh bermakna bersama ibu bapa, suami atau isteri tercinta, dan anak-anak.
Tempoh perkhidmatan saya di SMK Simpang sebagai Penolong Kanan Petang telah tamat dan akan berhijrah ke SMK Kamunting sebagai PK Hal Ehwal Murid.
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Puan Masniza yang banyak membantu saya dalam hal-ehwal akademik dan kurikulum sesi petang terutama dalam menyusun atur Jadual Guru Ganti.
Begitu juga buat En Ramesh yang begitu dedikasi dengan tugas beliau membantu saya mengurus pelajar sesi petang dan yang penting En Ramesh memahami pendekatan yang saya gunakan dan hasrat saya tentang disiplin.
Tidak dilupakan Ustazah Sanisah yang tanpa bantuannya Jadual Waktu sesi petang mungkin tak dapat diadakan dengan sempurna dan kepada 38 guru sesi petang yang pada saya begitu tinggi tahap kesetiaan mereka kepada saya dan sekolah selama saya memimpin mereka.
Mohon maaf kepada semua warga SMK Simpang jika terdapat kesalahan yang tidak disengajakan yang saya lakukan selama berkhidmat di sana.Segala yang termakan dan terminum harap halalkan.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Tuan PPD Larut Matang dan Selama yang sudi menempatkan saya di tempat baru dan berdepan dengan cabaran yang baru di sana.
Insya-Allah tahap toleransi yang tinggi yang pernah saya miliki, darjah kesabaran yang melebar yang sudah terbukti, gaya fleksi dan situational approach yang menjadi pegangan saya selama ini, kebolehan berkomunikasi dan berinteraksi serta pengetahuan dalam bidang kepengetuaan akan saya adunkan semasa saya di sana.
Begitu juga kepada Pengetua SMK Kamunting yang sudi menerima saya sebagai pentadbir baru di sana, saya ucapkan terima kasih.Saya bukanlah yang terbaik yang tuan bakal miliki tetapi percayalah saya adalah seorang yang akan memberi kesetiaan kepada sesiapa sahaja yang menjadi majikan saya dan kepada organisasi yang saya berada dan bekerja di dalamnya.
Dengan masalah yang hampir serupa dan guru-guru berpengalaman yang sudah sedia di sana saya harap saya akan mendapat kerjasama yang padu seperti yang saya perolehi di SMK Simpang.
Dan akhir kata terima kasih kepada Pengetua SMK Simpang dan mohon maaf atas apa jua kesalahan yang saya lakukan.
Kepada pelajar SMK Simpang saya berpesan, walau siapa pun Pengetua dan Penolong Kanan anda dan walau siapa pun guru yang mengajar anda, tugas anda tetap sama iaitu belajar, belajar dan terus belajar. Saya do’akan agar anda semua berjaya menjadi insan berguna.
Selamat Berpuasa! dan jika berjumpa saya di mana-mana tegur-tegurlah saya. Selagi saya saya boleh mendengar saya akan berusaha menyediakan telinga untuknya dan selagi saya ada mata saya berusaha melihat anda dengan penuh husnu dzan dan kasih sayang.
Abd Bashid Harun











No user commented in " Selamat Berpuasa, Selamat Bercuti, Terima Kasih Semua "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply