1 Saya adalah daripada manusia yang tidak pernah duduk diam barangkali. Semasa cuti pun saya akan pastikan ada kerja yang perlu saya buat.Saya akan menulis, mengemaskinikan blog atau membaca.Sesekali akan menjenguk laman facebook saya.

2 Jika ada ilham atau idea saya akan mencatatkannya di mana-mana kertas atau buku atau hp sebelum saya menyusunnya menjadi satu karangan dan memindahkannya ke dalam komputer.

3 Hari ini seperti juga hari Ahad sebelumnya jika tidak ke mana-mana, saya akan menolong isteri saya memasak di gerai menjual makanan miliknya di Gerai No 15, belakang Balai Bomba Taiping yang terkenal dengan perniagaan Yong Tau Foo, ABC dan Nasi Ayamnya.

4 Kalau selalunya saya hanya membantu, tetapi pada hari ini buat pertama kali saya mengambil alih sepenuhnya tugas memasak di dapur gerai sebab isteri saya terlibat dalam banyak aktiviti kemasyarakatan di sebelah paginya dan politik di sebelah petangnya.

5 Saya juga mahu merasai sendiri bagaimana kepayahan yang dilalui oleh seorang tukang masak di gerai menjual makanan dengan sebahagian besar masa dihabiskan di dapur dengan berdiri dan merasai sendiri bahang panas di ruang yang sempit untuk kerja-kerja menumis, menggoreng dan merebus.

6 Pagi-pagi lagi selepas solat Subuh saya ke pasar ikan di bandar Taiping untuk membeli ikan sardin. Seperti biasa saya akan memilih ikan sardin yang paling murah, tetapi masih elok untuk dibuat kuah laksa.

7 Kuah laksa tidak akan manis jika kita menggunakan ikan busuk. Al-Hamdulillah, pada hari ini ikan sardin di pasar ikan Taiping, berharga RM3.50 sekilogram, namun keadaannya masih okay. Seperti selalu saya akan membeli 1 kilo.

8 Selepas itu saya terus ke pasar sayur untuk membeli sayur yang sudah habis dalam simpanan atau bagi menggantikan sayur yang sudah rosak atau layu. Saya hanya mahu memberikan sayur-sayur yang masih elok dan masih segar kepada pelanggan saya.

9 Sayur kangkung adalah antara sayur yang mudah layu, dan jika kita mahu menggunakannya juga untuk dimasak pelanggan tidak akan menikmati kerangupan, kemanisan dan keenakannya lagi.

10 Pada hari ini saya mengambil keputusan untuk tidak membeli kangkung sekalipun kangkung di dalam peti ais sudah layu, sebab saya mahu menggantikannya dengan sayur kobis dan lobak merah sahaja sebagai campuran untuk membuat nasi goreng kampung.

11 Saya memilih sebiji kobis yang agak besar walaupun masih ada simpanan sebiji lagi di gerai. Saya juga membeli tiga biji karot yang agak besar dan panjang, selain beberapa jenis sayuran yang lain.

12 Bagi saya tidak salah membeli kobis setiap hari memandangkan kobis adalah sayur yang paling banyak digunakan, selain sawi dan karot. Lagipun harga kobis masih murah dan jika pandai memotongnya ia agak menjimatkan.

13 Apabila semua barang yang dihajati sudah dibeli, saya pun terus ke gerai. Saya merupakan orang kedua yang membuka gerai pada hari itu. Kiranya hari masih awal.

14 Selepas membuka pintu gerai, saya terus membuka pintu peti ais lalu mengeluarkan ketulan peha dan dada ayam yang beku untuk dicairkan sebelum digoreng. Begitu juga daging yang terdapat di dalam peti ais itu.

15 Masakan pertama yang saya akan buat ialah sup. Saya masukkan air sehingga memenuhi 3/4 periuk yang agak sederhana dan meletakkannya di atas api.Kemudian saya akan masukkan beberapa ketulan ayam bersama tulang, kaki dan leher ayam ke dalam air tadi untuk dijadikan sup.

16 Tidak salah kita merebus sup dalam periuk yang agak besar sebab sup digunakan dalam hampir semua masakan yang bergoreng. Saya juga akan menggunakan sup untuk tom yam, paprik, daging/ayam masak merah dan untuk mi/bihun/kueh teow bandung, hailam dan sup.

17 Jika saya tidak menggunakan ayam, saya akan gunakan daging. Sup daripada rebusan daging lebih manis daripada rebusan ayam,tetapi jika kita menggunakan sup daripada daging, kita kena sediakan sup ayam juga sebab penganut agama Hindu agak sensitif dalam perkara ini.

18 Tetapi saya ada rahsia sendiri untuk menjadikan sup menyerlahkan rasa enak dan sesuai untuk digunakan bagi semua jenis masakan. Selain memasukkan potongan kecil bawang besar berwarna hijau yang telah ditumis ke dalam sup, saya juga menggunakan lada hitam yang telah ditumbuk kasar (bukan serbuk lada hitam).Lada hitam yang kasar akan menyerlahkan lagi rasa sup, begitu juga bawang goreng yang dibiarkan kembang dalam sup.

19 Selepas itu saya menanak nasi. Saya tanak dua koli beras. Nasi yang ditanak untuk tujuan perniagaan biarlah keras sedikit agar mudah digoreng dengan sedikit air sup dan bahan tumisan yang kebanyakannya bersos dan berminyak.Disebabkan saya menggunakan dapur elektrik kerja menanak nasi ini menjadi amat mudah asalkan sukatan airnya tepat.

20 Selepas itu saya memproses nasi ayam, menu utama gerai ini dan kemudian menggoreng peha dan dada ayam untuk dijadikan lauk bagi hidangan nasi ayam dan nasi goreng ayam.Adalah campuran yang saya gunakan untuk menyedapkan nasi ayam ini, begitu juga bagi menghasilkan gorengan ayam yang lazat dan kekuning-kuningan.Biarlah itu menjadi rahsia kami.

21 Tidak menunggu semuanya selesai, saya membersihkan ikan sardin tadi, merebus dan memprosesnya untuk dijadikan kuah laksa. Untuk menghasilkan kuah laksa yang sedap saya akan memilih belacan yang sesuai dan cili padi yang segar.

22 Terkecuali daun cenohom dan asam keping, semua bahan untuk dijadikan kuah laksa saya kisar, termasuk bunga kantan, cili padi, belacan dan bawang besar. Saya menggunakan bawang besar berwarna hijau (RM3.00 sekilo) sebagai bahan utama yang dikisar untuk memekatkan dan menyedapkan kuah. Bagi memerahkan sedikit kuah saya akan campurkan cabai kering yang digiling atau dikisar.

23 Sayur yang baru dibeli tadi saya basuh dan ditos. Sebahagian sayur itu untuk digantung sebagai hiasan di dalam almari kaca untuk menarik perhatian pelanggan dan sebahagian lagi untuk dipotong siap-siap bagi memudahkan kerja memasak.

24 Ada peniaga yang menggunakan sayur palsu sahaja, tetapi setakat hari ini saya tidak ada niat untuk berbuat demikian sebab sayur yang saya beli tidak banyak dan akan dihabiskan pada hari itu juga.

25 Selepas semua persiapan selesai diatur, saya merebus air untuk dibuat nescafe dan menggoreng samosa.Saya sedikit kesal kepada orang yang menjual samosa ini. Sebenarnya yang dijualnya bukan samosa, tetapi karipap tiga segi.

26 Inti samosa adalah sayur-sayuran sedangkan yang saya makan intinya kentang dan daging.Barangkali individu ini faham, asalkan tiga segi, namanya samosa, sedangkan samosa intinya sayuran, inti karipap pula dibuat daripada kentang yang dicampur dengan daging atau ayam

27 Jadi pagi ini saya bersarapan samosa palsu bersama bancuhan nescafe buatan sendiri. Tidak lama menikmati jamuan, order pertama pun diterima, iaitu dua bungkus kuew teow goreng.

28 Al-Hamdulillah, itu rezeki buka pintu pertama saya sedangkan pada waktu itu pembantu saya di bahagian hadapan (anak saudara saya) yang ambil order dan pembantu kewangan (anak saya sendiri) masih belum sampai. Kedua-duanya berjanji untuk membantu saya pada hari ini dan al-Hamdulillah mereka telah sampai kemudiannya.

29 Begitulah kerja saya pada hari ini dengan menghabiskan banyak masa di dapur. Antara order yang saya hasilkan pada hari ini ialah nasi pataya, nasi paprik, tom yam campur, nasi goreng kampung, nasi goreng daging merah, nasi goreng biasa, nasi goreng ayam, nasi goreng cina, nasi ayam, laksa, selain mi, bihun dan kueh teow goreng, sup dan bandung.

30 Hari ini saya bercadang nak tutup gerai awal, tetapi apabila isteri saya sampai, dia kata biar dia yang tutup gerai. Selepas menyerahkan urusan kedai kepada isteri saya, saya terus ke CC berhampiran sebab komputer di rumah saya sudah lama rosak.

31 Saya pun berfikir apa bahan yang agak santai untuk dijadikan posting pada hari ini. Itulah sebabnya saya berkongsi pengalaman sehari bersama pembaca blog ini mengenai pengalaman menjadi tukang masak di gerai menjual makanan.

Catatan Cikgu Abd Bashid