1 Semalam, Ahad, di sebelah pagi banyak masa dihabiskan dengan tidur dan rehat. Maklumlah badan dan otak agak letih kerana tumpuan banyak diberi di hadapan kaca televisyen hingga larut malam menonton keputusan demi keputusan PRU DUN Sarawak yang mendebarkan termasuklah ulasan menarik daripada dua pengulas hebat di TV1, Dr Jeniri Amir dan Hazman Ujang.

2 Di sebelah petangnya baru keluar menghantar anak ketiga ke Tesco Taiping untuk turut serta dalam Pertandingan Nyanyian untuk kanak-kanak. Seramai 32 kanak-kanak mendaftar untuk pertandingan tersebut dan anak saya mendapat undi ke-32. Ada tiga sahaja peserta Melayu, yang lain-lainnya daripada bangsa Tionghua.

3 Adakah saya tersilap. Mungkin pertandingan ini dibuka untuk bangsa Tionghua sahaja fikir saya. Saya ke meja pendaftaran untuk bertanya kalau ini satu kesilapan. Menurut penganjur pertandingan ini dibuka untuk semua kanak-kanak dan sesiapa pun boleh mengambil bahagian. Anak saya sudah hilang mood untuk meneruskan hajatnya menyertai pertandingan tersebut.

4 Peserta mula dipanggil. Beberapa peserta sudah menyanyikan lagu masing-masing, tetapi semuanya dalam bahasa Mandarin. Tiba giliran peserta Melayu. Dia pun menyanyikan lagu Cina. Anak saya sekadar bersedia dengan lagu Melayu, Ayat-Ayat Cinta. Saya meminta dia menyanyikan lagu Kelly Clarkson, Because of You supaya lebih sesuai dengan kumpulan penonton. Tetapi dia berkeras tidak mahu.Jadi sebagai alasan terakhir, saya kata tunggu dahulu seorang lagi peserta Melayu. Jika dia juga menyanyikan lagu mandarin, kita boleh balik jelas saya. Dia nampaknya bersetuju dengan cadangan saya itu.

5 Tibalah giliran peserta Melayu tadi. Nampaknya diapun menyanyikan lagu berbahasa Cina juga. Melihat keadaan itu kami pun mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Sebelum itu saya ke meja pendaftaran semula untuk menarik balik borang penyertaan sambil memberitahu penganjur yang kami ada hal mustahak yang perlu diselesaikan segera tanpa memberitahu kedudukan yang sebenar.

6 Di dalam kereta, saya beritahu Izzah, alangkah baiknya kalau kamu juga bersedia dengan lagu Mandarin dan Tamil pada masa akan datang.

Catatan Abd Bashid Harun