1 APABILA saya mengambil keputusan untuk aktif dalam UMNO dengan menjadikan blog sebagai saluran menyampaikan mesej kepada parti dan kerajaan, saya yakin keputusan yang saya buat itu bukan satu kesilapan. Saya hanya mahu menjadi rakan jujur kerajaan dan seorang blogger yang tulisannya dibaca dan suaranya didengar.Tidak lebih dan tidak juga kurang daripada itu.
2 Untuk menjadi yang sedemikian saya melakukannya secara konsisten menurut standard saya semenjak 2006, ketika sebahagian besar dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO sendiri belum mempunyai blog dan sebahagian kecil daripada yang sebahagian itu tidak pernah ambil pusing tentang blog dan laman sosial termasuk dari segi rupa dan manfaatnya.
3 Pada peringkat awal pembabitan saya dalam dunia blogging, saya hanya memanfaatkan kemudahan yang sedia ada, iaitu blogspot, iaitu laman web yang disediakan oleh google dengan pelbagai template yang boleh digunakan secara percuma.
4 Nama domain pertama yang saya gunakan ialah klinikmahathir sesuai dengan rasa teruja saya dengan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.Tetapi laman itu seperti juga laman-laman blogspot saya yang lain telah lama saya tinggalkan meskipun Google masih mengekalkannya dan masih wujud di alam maya.
5 Kewujudan laman blogspot pada waktu itu malahan lebih awal dari itu telah dimanipulasi sebaik-baiknya oleh penulis-penulis blog internet berasaskan perniagaan dalam talian untuk meraih keuntungan dalam bidang perniagaan masing-masing.Antara corak niaga internet yang popular pada waktu ialah e-book dan affiliate.
6 Kejayaan Dr Irfan Khairy,seorang anak muda yang meraih gelaran jutawan internet telah mendorong kelahiran banyak laman yang berorientasikan sedemikian. Saya sendiri sempat memasang angan-angan untuk menjadi kaya melalui cara itu apabila saya turut menghadiri kursus anjurannya di Hotel Istana dengan bayaran sekitar RM700.00.
7 Ini terbukti apabila laman web terawal yang saya munculkan dalam dunia maya adalah berorientasikan perniagaan dalam talian seperti memasarkan tali ikatan kasih sayang buatan tangan daripada benang berwarna warni yang saya namakan tiewrist dan laman web menjual ikan kelah yang nama domainnya bluekelah. Kedua-dua laman web itu hanya tinggal kenangan, cuma saya menggarapkan konsepnya sahaja dalam laman berikutnya.
8 Sebahagiannya pula menggunakan blogspot sebagai laman peribadi atau diari.Bezanya jika catatan harian digunakan untuk tatapan diri sendiri, sementara kandungan laman web ini pula dikongsikan dengan orang lain. Antara tema yang digunakan oleh laman sebegini ialah menceritakan pelbagai jenis makanan, kegemaran mereka dan peristiwa-peristiwa yang membabitan diri mereka, keluarga mereka dan di persekitaran mereka. Kaum wanita, khususnya remaja berminat menggunakan laman seperti ini.
9 Segelintir sahaja yang menggunakan blogspot untuk penulisan ilmiah, termasuk penulisan bertemakan pendidikan atau politik.Saya sendiri termasuk dalam kalangan yang segelintir ini. Pada peringkat ini saya lebih banyak memuatkan semula tulisan saya yang pernah tersiar dalam akhbar tempatan yang kebanyakannya berkaitan pandangan dan kupasan saya tentang kepimpinan Perdana Menteri keempat itu.
10 Saya tidak menulis disebabkan orang lain menulis. Saya tidak menulis untuk seseorang atau kerana seseorang. Saya menulis sesuatu yang saya fikir baik untuk parti yang saya dokong; Islam yang menjadi anutan dan kepercayaan saya; kerajaan yang menjadi majikan saya serta negara saya Malaysia yang menjadi tempat saya berpaut dan berlindung.Tentunya juga untuk parti saya UMNO yang saya sangat khuatir jika berlaku apa-apa ke atasnya.
11 Saya tidak cuba menjadi penulis yang ekstrim ke kanan atau ekstrim ke kiri. Saya cuba mencari jalan pertengahan.Apabila saya mengkritik pembangkang saya cuba mengelakkan cara yang paling keras dengan menggunakan bahasa kesat seperti cara yang digunakan oleh kebanyakan penulis komentar daripada parti pembangkang apabila menyerang kerajaan.
12 Disebabkan pembangkang menggunakan cara yang seperti itu apabila menyerang kerajaan dan parti UMNO, maka kita juga akan gunakan cara seperti itu. Itulah yang selalu difikirkan malahan dilakukan orang. Tetapi itu bukan cara GuruBashid. GuruBashid tidak reaktif, tetapi responsif. GuruBashid fikir itu bukan cara yang betul untuk mempertahankan pandangan dan parti yang disayangi.
13 Sayugia diingat,laman sesawang, laman sosial atau laman interaktif bukan medan tempur sebenar. Ini hanyalah medan percaturan minda yang dilakukan dalam alam maya di mana siapa yang lebih bijak memanipulasi ruang dan kesempatan akan lebih mendapat tempat. Sebagai blogger yang mahu tulisannya dibaca dan diberi perhatian, saya tidak mahu pembaca menolak tulisan saya ketika membacanya pada kali pertama lagi.
14 Saya mahu mereka mengenali GuruBashid melalui tulisan-tulisannya yang semampu mungkin dipadatkan dengan buah fikiran dan pandangan. Saya mahu mengajak pembaca berfikir apabila membaca tulisan-tulisan saya, bukan sahaja berfikir tentang itu, tetapi di sebalik itu. Jika mereka tidak menangkapnya pada kali pertama, mereka akan bersedia mengulanginya sehinggalah mereka tidak dapat tidak akan mengangguk untuk membenarkan apa yang diperkatakan oleh GuruBashid.
15 Secara peribadi seseorang blogger tidak pernah bermusuh dengan sesiapa. Atau sengaja mencari musuh. Mereka seperti juga seorang askar di medan tempur yang tidak mengenali musuhnya secara peribadi. Saya tak kenal anda dan anda pun tak kenal saya, tetapi kita ditakdirkan bertemu di alam maya untuk menyuarakan pendapat masing-masing selain mempertahankan kepercayaan yang kita dokong.Maka bagi saya inilah kesempatan yang terbuka luas buat saya untuk memberikan hanya yang terbaik, tentunya dengan jalan dan cara yang terbaik juga.
16 Saya harus menjawab setiap kritikan terhadap kerajaan dan parti dengan gaya bahasa yang menarik yang paling mampu saya lakukan di samping melurusbengkokkannya dengan anyaman persembahan yang meyakinkan. Sebabnya mudah, itulah contoh yang saya mahu tonjolkan kepada mereka dan itulah cara yang saya harapkan berlaku dalam dunia blog khususnya dan dunia maya amnya.Jika saya tidak suka perkara sedemikian dibuat, maka saya juga tidak mahu yang tidak disukai itu berlaku dalam blog saya.
17 Lebih-lebih lagi atas sifat blog yang prokerajaan dan proparti, saya harus meyakinkan kerajaan dan parti yang saya dokong dan sokong bahawa saya mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh diharapkan oleh kerajaan dan parti dalam menjelaskan sesuatu isu. Saya tidak akan menyembunyikan sesuatu yang saya fikirkan kerajaan dan parti patut tahu, jika itu menguntungkan kerajaan dan parti. Ada dua tiga perkara yang saya nampak dan ada banyak perkara yang kerajaan nampak. Di situlah saya boleh membantu kerajaan dan parti, dan di situlah saya mengharapkan kerajaan memberi perhatian.
18 Saya mahu menjadi seperti Tun Dr Mahathir yang tegas, tetapi ucapannya sentiasa ditunggu dan hendak didengar oleh ramai orang. Begitu juga dengan tulisan tulisan beliau. Saya juga seperti Tun bersedia untuk menjadi tidak popular dengan pandangan-pandangan yang diberikan.Atas sebab itu saya bersedia menulis sesuatu yang mungkin tidak gemar dibaca oleh sebahagian orang asalkan itu penting untuk rakyat dan negara ini.
19 Tetapi tidak cukup dengan Tun seorang.Orang biasa seperti saya memerlukan lebih ramai contoh. Lebih ramai contoh yang hebat yang saya boleh belajar daripada mereka, maka lebih kuatlah saya dan lebih mantaplah pandangan saya. Maka atas sebab itu saya juga mahu menjadi seperti Pak Lah yang cukup terbuka, lembut dan mempunyai darjah tolak ansur dan sifat demokratik yang begitu tinggi walaupun ada orang UMNO yang mengkritiknya.
20 Tidak cukup setakat itu. Saya juga mahu menjadi seperti DS Najib yang berupaya mengadun cara gaya kepimpinan dua tokoh di atas. Beliau tidak menggunakan pendekatan menolak salah seorang daripada mereka disebabkan kesukaannya kepada yang seorang lagi. Najib dilihat mengambil kelebihan daripada kedua-dua tokoh sebelumnya, selain Allahyarham ayahandanya sendiri, Tun Abd Razak sebagai idola.Saya berpendapat inilah pendekatan terbaik buah tangan DS Najib apabila beliau berjaya mengadun semua pendekatan yang dibuat oleh Perdana Menteri terdahulu lalu merumusnya dalam satu formula paling berkesan iaitu 1Malaysia Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.
21 Begitu juga halnya apabila saya menyokong kerajaan dan parti, saya tidak mahu menjadi penyokong yang buta sekalipun hanya buta sebeah. Saya tidak mahu menjadi seperti kebanyakan pengikut parti pembangkang yang sentiasa berpaut pada jubah gurunya dalam keadaan mata mereka buta. Itu tidak membantu kerajaan dan parti, tetapi dalam jangka panjang memusnahkan. Yang salah saya katakan salah, tetapi tentulah dengan bahasa yang paling baik yang dapat saya gunakan.
22 Bagi saya tiada gunanya kita hendakkan sesuatu daripada kerajaan sedangkan pada masa yang sama kita telah pun mengisytihar permusuhan dengan kerajaan. Kita mahukan kerajaan memberikan sesuatu kepada kita, tetapi tindakan dan tulisan kita seolah-olahnya yang kita melayan kerajaan sebagai musuh.Tentulah kerajaan akan lebih berhati-hati dalam memberi layanan yang baik kepada kita.
23 Sebelum orang mengenali Facebook sebagai laman sosial yang paling mendapat tempat di dunia sekarang, jauh lebih awal daripada itu saya telah menjadi ahli yang pernah aktif dalam menghantar pandangan kepada sebuah laman sosial yang telah lama muncul di Malaysia iaitu virtualfriends.net.
24 Saya percaya masih ramai rakyat Malaysia yang belum mengenali laman virtualfriends.net(Vf) meskipun itulah antara laman intreaktif terawal dan terkehadapan yang pernah diapungkan dalam dunia maya di negara ini. Pada pengamatan saya dalam beberapa perkara laman yang majoriti keahliannya adalah terdiri daripada orang muda ini jauh lebih baik daripada laman Facebook.Laman ini telah beberapa kali mengalami pembaharuan dan kini keahlian yang mendaftar mencecah 141,939 orang dengan 93,000 daripadanya adalah ahli premium (ahli berbayar).Insya-Allah saya akan membincangkan kelebihan laman ini berbanding Facebook jika itu dibenarkan.
25 Malahan saya berharap agar mereka yang cintakan UMNO dan kerajaan akan turut mendaftar sebagai ahli laman sosial ini agar mereka tahu tentang hasrat orang muda dan isu semasa yang dibangkitkan bagi memudahkan mereka memberi maklum balas dalam ruangan thread atau reply yang disediakan.
26 Perlu diingat dalam pilihan raya umum(PRU) yang lalu laman ini menjadi port berkumpulnya golongan muda yang antikerajaan dan UMNO untuk meluahkan perasaan tidak puas hati mereka. Saya menjadi ahli laman ini pun disebabkan ingin berkongsi rasa golongan muda ini seperti yang saya beritahu kepada webmaster laman ini. Saya mengenali beberapa nama yang suara mereka cukup pedas, dan sebahagiannya pula begitu kesat. Sebagai individu yang prokerajaan saya sendiri diserang bertalu-talu. Tetapi al-hamdulillah saya kekal dengan cara saya, tetap kool dan kekal dengan cara saya yang beradab.Saya kira saya kekal dengan cara itu sehingga kini.
27 Saya menjadi ahli laman sosial yang berpusat di Selangor itu pada 8 Jun 2004, iaitu kira-kira 3 tahun selepas laman ini dilayarkan.Mula-mulanya saya menjadi ahli percuma, kemudiannya ahli berbayar.Tetapi saya hanya mula menulis pandangan dan komen secara aktif sekitar penghujung tahun 2007 dan tahun 2008. Saya menghantar thread dan reply secara lebih rancak menjelang Pilihan Raya Umum ke-12.
28 Saya masih ingat, ketika itu saya dan isteri bersama seorang dua lagi ahli laman yang pro-UMNO bermati-matian mempertahankan dasar-dasar kerajaan dalam serangan bertali arus oleh ahli yang propembangkang khususnya yang pro-PAS. Jumlah yang berani membela kerajaan dan parti dalam laman tersebut pada ketika itu begitu kecil sekali berbanding mereka yang menyerang kerajaan. Alang-alang kami akan mengalah, tetapi mujurlah tidak. Kami tetap bertahan dengan jumlah yang kecil itu.
29 Disebabkan hal di atas, saya dan isteri pernah menyangka laman virtualfriends.net itu diurus oleh mereka yang propembangkang sehingga mereka membiarkan apa sahaja thread dan reply yang berkaitan politik termasuk yang propembangkang disiarkan dalam laman tersebut. Sangkaan saya itu mungkin betul dan mungkin juga tidak. Terlalu banyak thread dan reply yang menghentam kerajaan pada waktu itu berbanding thread yang menyokong kerajaan.Tetapi saya tetap berhusnud dzan kerana saya juga tahu ada admin yang pro-UMNO di dalamnya dan ada ahli yang aktif melakukan reply terdiri daripada pegawai polis dan tentera. Saya menerima semuanya ini sebagai cara dan gaya orang muda meluahkan perasaan mereka dengan cara paling ikhlas yang mereka ada.
30 Dalam keadaan seperti itulah saya, isteri dan beberapa kerat ahli Vf yang prokerajaan dan parti muncul untuk membela kerajaan dan membersihkan parti dan kerajaan daripada tohmahan.Ada kalanya saya mengulas agak panjang lebar.Ada kalanya saya gunakan ayat pendek tetapi power dan ada juga yang saya ignore.Yang penting saya tahu apa yang perlu saya buat, cara apa yang patut saya gunakan dan cara apa yang saya patut tinggalkan.
31 Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak jika situasi ketika itu tidak menyebelahi kerajaan dan parti sebab ketika itu memang mereka yang prokerajaan dan UMNO terlalu sedikit menjadi ahli dalam laman tersebut. Mungkin juga mereka sudah cukup selesa berada di bawah kerajaan yang ada tanpa perlu risaukan apa-apa. Mungkin juga mereka masih belum tahu kewujudan laman tersebut. Laman tersebut masih “terselindung” daripada diketahui oleh ramai orang.Tegasnya mereka masih belum tahu betapa berkuasanya alam maya ketika itu dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap kerajaan dan dalam mencaturkan dunia realiti.
32 Disebabkan bilangan kami sangat kecil pada waktu itu,keupayaan yang ada pada kami tidak dapat menyaingi tulisan-tulisan ahli dan komentator propembangkang.Saya dapat melihat betapa bencinya mereka dengan UMNO dan kerajaan ketika itu. Mereka meluahkan semuanya dan menjadikan laman Vf itu pada saat menjelang PRU-12 sebagai medium untuk berkempen sehingga terfikir pada saya tidak adakah usaha kerajaan untuk mengawal laman ini dan memberi amaran kepada adminnya.
33 Dari situlah saya dan isteri sudah dapat menghidu tentang kebangkitan luar biasa golongan yang antikerajaan, khususnya daripada kalangan golongan muda. Dari situlah juga kami dapat merasakan bahawa kerajaan BN dan parti UMNO akan mengalami ujian getir pada PRU ke-12. Dan anehnya ahli-ahli UMNO (BN) di luar sana masih bergembira untuk mengatakan UMNO(BN) akan menang besar dalam pilihan raya umum itu. Mereka seolah-olah tidak sedar apa yang sedang berlaku.
34 Tidak mustahil situasi di atas berlaku kerana pada peringkat permulaan dunia blogging dan laman sosial adalah lebih dahulu dikuasai oleh pembangkang. Sekalipun Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempelopori dunia siber di Malaysia, namun pembangkanglah yang lebih dahulu merebut peluang daripada kemunculan teknologi terbaru ini.Tidak hairanlah blog propembangkang muncul bagai cendawan tumbuh di musim hujan menjelang PRU ke-12, sedangkan blog prokerajaan dan parti UMNO masih belum jelas kelihatan dan kalau ada pun masih merangkak mencari arah dan bagi mendapatkan momentum.
35 Selain membangunkan laman sesawang masing-masing yang seratus politik, mereka yang propembangkang juga menggunakan laman-laman forum yang sedia ada termasuk Virtualfrienfs.net ini untuk menghantar artikel dan komen. Tetapi pada waktu itu dan sehingga kini pun kebanyakan mereka tidak berani menampilkan identiti sebenar mereka. Mereka melakukan penyamaran yang cukup baik sekali dalam usaha-usaha mereka mengaburi rakyat dan mentohmah kerajaan.
36 Thread, reply dan reply atas reply mereka pada waktu itu sangat pedas yang sebahagian daripada kami mungkin tidak tahan untuk membacanya. Yang dapat bertahan dan melawan kritikan mereka itu hanyalah mereka yang dapat bersabar dan bersikap tenang pada tahap tinggi.Mujurlah saya termasuk dalam kumpulan yang terakhir itu.
37 Dari situlah saya belajar dan memahami betapa laman sosial yang wujud terkemudian dari laman virtualfriends seperti Facebook dan Twitter lebih berpengaruh daripada blog atau laman sesawang dalam menarik sokongan orang ramai ke atas sesuatu perkara atau untuk tujuan meraih simpati kepada mereka atau menanam rasa kebencian kepada sesuatu pihak.
38 Berdasarkan pengalaman yang saya lalui bersama Virtualfrends dapatlah saya merumuskan bahawa kerajaan tidak boleh mengabaikan atau memandang enteng kewujudan laman sosial seperti Facebook dan Twitter, terutama tulisan-tulisan dan komentar di dalamnya.
39 Kita sudah sedia maklum bahawa dua laman sosial popular di atas bukan milik kita atau milik orang Malaysia.Laman itu milik orang lain yang berada jauh dari negara ini. Lebih tepat lagi milik orang Barat yang tahap kebebasannya jauh melampaui tahap yang sepatutnya bagi rakyat di negara ini, di samping kemungkinan wujudnya agenda tersembunyi yang berniat jahat dalam kalangan mereka untuk memecahkan perpaduan yang kita nikmati selama ini dengan mencucuh api ke dalam sekam pada waktu malam dan mengangkangkan bilah gunting dalam lipatan.
40 Keghairahan kita berfacebook jangan sampai kita lupa yang kita hanya menumpang di dalam laman yang sangat besar itu. Atas kedudukan yang begitu, pemilik atau penganjur laman itu akan melepaskan apa sahaja yang dihantar kepada mereka sekalipun isi kandungannya akan menggugat keselamatan negara. Malahan dalam kecenderungan penganjur laman untuk bersaing sesama mereka bagi meraih kedudukan tertinggi dalam carta maya, mereka akan menerima sesiapa sahaja yang menjadi ahli. Alasannya cukup mudah lebih ramai yang menjadi ahli lebih popularlah laman mereka dan lebih untunglah penganjurnya untuk jangka panjang.
41 Maka kerajaan hanya ada DUA pilihan untuk berhadapan dengan DUA laman sosial gergasi ini. Yang pertama memantaunya atau memilih cara yang kedua iaitu dengan turut serta di dalamnya. Memantau yang saya maksudkan bukan memantau laman itu sendiri dan pemiliknya, tetapi laman-laman kecil yang dimunculkan oleh rakyat Malaysia sendiri yang menumpang dalam laman yang besar itu, terutama laman-laman berunsur politik dan keagamaan.
42 Mutakhir ini kecenderungan untuk mewujudkan group dengan tujuan dan maksud tertentu yang di belakangnya ada admin atau beberapa admin khususnya dalam bidang politik dan keagamaan mendedahkan laman FB ini kepada ancaman baru kepada pihak kerajaan apabila kerajaan tidak benar-benar bersedia berhadapan dan menanganinya.
43 Kerajaan dan mana-mana pihak tidak boleh menghalang atau membatalkan laman ini daripada wujud dalam dunia maya, tetapi kerajaan atau sesiapa sahaja boleh mengambil manfaat daripadanya dengan mengambil bahagian atau turut serta di dalamnya dengan tujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang usaha kerajaan dan parti. Tentulah bukan kerajaan sendiri yang masuk ke dalamnya, tetapi orang-orangnya dan mereka yang pro dengan kerajaan.
44 Ada beberapa group yang cenderung untuk menghentam kerajaan dan ada juga beberapa group yang ditubuhkan mutakhir ini untuk membela kerajaan dan parti.Saya percaya jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa menjelang pilihan raya umum ke-13. Pendekatan yang sama diambil oleh mereka yang propembangkang dalam laman ini iaitu spin cerita lama dan bertanyakan soalan atau mempersolakan kerajaan dan parti. Ketika mereka ini hanya mengemukakan persoalan, kita pula daripada blok kerajaan menjawabnya secara bersungguh-sungguh. Saya nampak kesungguhan itu ada pada kita, sedangkan mereka hanya bermain-main dan tidak serius.
45 Kerajaan, khususnya SKMM dan KDN hendaklah memantau kedua-dua grup ini kerana kedua-dua group ini mempunyai pengaruh mereka masing-masing. Kerajaan dan parti hendaklah membantu seberapa yang boleh grup yang mendokong kerajaan tanpa membiarkan mereka terkatung-katung sendirian. Pada masa yang sama tindakan tegas hendaklah diambil ke atas kumpulan atau individu yang menyalahgunakan kewujudan grup dalam FB ini dengan tujuan mengancam keselamatan negara, melakukan tindakan yang menyalahi perlembagaan dan undang-undang dan yang cuba menghidupkan pengaruh atau ideologi yang ditolak seperti komunisme, pluralisme dan yang bertentangan dengan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.
46 Menyedari laman sosial di atas begitu berpengaruh, ada pemimpin yang pernah berblog meninggalkan blog mereka dan menggantikannya dengan Facebook. Ini tentu melucukan walhal mereka boleh linkkan laman mereka dengan laman FB agar setiap kali mereka menghantar tulisan, tulisan mereka itu juga turut dibaca dalam laman sosial itu tanpa perlu bersusah payah menghantar tulisan dalam laman sosial itu.Inilah yang saya lakukan untuk blog saya Panduan Guru-Guru Malaysia dan Ahli Politik.
47 Saya tidak merasakan tindakan itu suatu yang bijak.Lainlah kalau pemimpin itu belum memiliki laman sesawang mereka sendiri, dan hanya menemui FB sebagai wadah berinteraksi dengan rakyat. Tetapi mungkin mereka ada alasan tersendiri yang saya tidak nampak. Pertama mungkin disebabkan kurang idea untuk menulis. Keduanya mungkin disebabkan terlalu sibuk dengan kerja sebenar mereka sebagai wakil rakyat. Dan ketiga mungkin mereka merasakan adalah lebih mudah menulis sesuatu yang ruangannya sudah disediakan.Mereka hanya perlu melakukan beberapa langkah dalam proses pendaftaran itu, selepas itu semua kerangkanya diurus oleh FB sendiri.
48 Tak kiralah sama ada mereka memilih blog, laman sesawang atau laman sosial, buah fikiran mereka sentiasa diteliti oleh rakyat. Sekali mereka berblog dan membuka akaun FB sebagai contoh, rakyat mahu mendengar pandangan-pandangan tajam dan bernas daripada mereka terhadap sesuatu. Rakyat ingin mendengar buah fikiran mereka, bagaimana mereka mendepani sesuatu dan bagaimana mereka memandang dunia pada masa yang akan datang.
49 Rakyat tidak mahu mendengar alasan mengapa mereka tidak memanfaatkan blog atau laman sosial, sebaliknya rakyat mengharapkan apa yang mereka lakukan di luar sana dibawa masuk ke dalam blog atau laman sosial agar rakyat mengetahui kerja buat pemimpin mereka.Siapkan sekali dengan laporan dan gambarnya. Jangan lupa sediakan masa untuk membuka laman mereka dan meneliti komentar di dalamnya. Kemudian tolong jawablah segera apa yang patut dijawab dan jika ianya perlu dipanjangkan ke pihak yang tertentu sila beri jawapan yang sebenar agar rakyat tidak tertunggu-tunggu. Inilah cara pemimpin itu sendiri memasarkan diri mereka kepada awam.Di sinilah bergunanya blog bagi diri seorang pemimpin khususnya yang bijak dalam memanfaatkan wadah yang sudah sedia ada.Ketahuilah zaman untuk menyembunyikan sesuatu yang kita buat dan biar rakyat tahu sendiri sudah berlalu. Malahan cara mendiamkan diri seperti itu boleh sahaja menjadi fitnah dan syak wasangka pula sekarang ini.
50 Ini membuktikan betapa berpengaruhnya laman sosial ini. Ada pemimpin yang menggunakan Facebook sahaja tanpa pernah menggunakan blog sebelumnya.Ada juga yang menggunakan semuanya sekali seperti YAB Perdana Menteri.Nampaknya YAB Perdana Menteri benar-benar mahu menjadi contoh dalam memanfaatkan semaksimum mungkin kehadiran dunia baru ini.Tentunya beliau juga mengharapkan agar menteri-menterinya, ahli-ahli parlimen dan adun serta penyokong kerajaan melakukan seperti yang beliau lakukan. Tetapi saya percaya masih ada yang memandang sepi tentang perkara ini.
51 Saya pula lebih cenderung untuk menggunakan apa sahaja yang ada sebagai saluran untuk menyampaikan idea dengan berindukkan blog saya sendiri, Panduan Guru Malaysia dan Ahli Politik.Sekalipun saya memiliki beberapa laman blogspot, FB, Twitter, Vf, saya masih menyandarkan kekuatan saya pada blog saya, iaitu Panduan Guru-Guru Malaysia dan Ahli Politik.
52 Saya mahu peminat GuruBashid menjadikan laman sesawang saya itu sebagai rujukan utama apabila mahu meneliti hujah saya tentang pelbagai isu. Yang untungnya apabila kita ada blog, apa sahaja tulisan dalam blog akan muncul dalam Facebook. Tentunya apabila sudah dilink antara keduanya.
53 Saya mula berblog ketika ramai blogger kerajaan belum muncul dan di tengah-tengah kebangkitan blog pembangkang yang begitu kuat menghentam kerajaan.
54 Saya tidak melakukannya secara suka-suka tanpa memikirkan risiko yang mungkin ditanggung.Sebahagian besar tulisan saya adalah berkaitan perkara yang serius dan melakukan kupasan yang serius dan bersungguh-sungguh.Saya tidak pernah bermain-main dengan tulisan saya tetapi saya memang bermaksud dengannya.
55 Saya melakukan sesuatu yang sebahagian besar orang cuba menghindarinya. Saya bukan blogger yang memutar isu, melakukan ciplakan dan tampalan atau melawan musuh dengan menggunakan bahasa musuh. Tidak.
56 Saya mahu menggunakan bahasa saya dengan bebas, merdeka, tetapi menyantuni pembaca, pemimpin dan semua orang dengan mengelak bahasa kasar dan kesat sedapat mungkin. Tetapi saya menggemari analogi dan kias ibarat yang mempunyai maksud yang mendalam, dan kadang-kadang lebih banyak tersirat dan menghiris yang sesuai dengan kumpulan sasaran pembaca blog saya.
57 Ketika kerajaan dan parti diserang bertalu-talu oleh blogger pembangkang yang dilihat lebih mendahului pada ketika itu dengan lontaran auta dan dusta melebihi fakta, pemalsuan gambar, fitnah dan bahasa kesat pada tahap gaban, saya pula memilih bahasa halus tetapi menyentuh, tidak kasar tetapi menghiris dan tidak terburu-buru tetapi bersabar.
58 Jika itu yang saya lakukan saya tidak dapat menjadi rakan jujur kerajaan dan sahabat setia parti. Saya bukan sekadar mahu bersama kerajaan dan parti dalam senang dan susah, tetapi saya mahu membuktikannya dengan perbuatan saya sekali.Inilah yang telah dan sedang saya lakukan termasuk dengan berblog ini.
59 Jika ada yang memikirkan populariti, cara saya ini langsung tidak popular. Saya muncul ketika UMNO ditolak.Ketika sebahagian orang mengambil langkah tunggu dan lihat dan sebahagian yang lain pula turut memusuhi UMNO , ketika itulah saya memilih untuk aktif dalam UMNO dengan menjadikan blog sebagai satu daripada agenda utama saya yang saya kira boleh membantu kerajaan dan parti.
60 Apakah anda fikir ketika itu semua orang akan tersenyum bangga dengan tindakan saya yang mahu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kerajaan dan parti yang saya dokong. Terus terang saya nyatakan apa yang saya lalui pada waktu-waktu sakitnya UMNO tidak begitu mudah. Saya menulis kertas panduan mengenai bagaimana menggerakkan UMNO di cawangan saya, tetapi adakah mereka kisah tentang itu. Saya dilihat oleh ramai orang termasuk oleh rakan parti dengan rasa sangsi dengan kejujuran saya dan menganggap blog is “nothing”.
61 Saya tidak peduli tentang apa yang orang anggap tentang saya. Orang tidak mengenali saya sebelum ini, jadi saya tidak kisah jika mereka masih tidak mengenali saya, sekalipun saya sudah berblog. Saya tetap akan menulis walau apa pun yang akan berlaku.Yang penting melalui tulisan-tulisan saya itu saya sedikit sebanyak dapat membantu parti dan kerajaan yang saya dokong. Orang seperti saya boleh datang dan pergi, tetapi hayat parti hendaklah dipertahankan agar ia dapat hidup lebih lama.Jika kita sudah tahu yang parti pun ada jangka hayatnya, janganlah disebabkan tindakan bodoh kita hayat parti menjadi lebih pendek daripada yang sepatutnya.
62 Penglibatan saya dalam dunia blog janganlah disalah anggap untuk mendapat kedudukan atau ganjaran daripada parti dan kerajaan. Saya tidak perlukan jawatan sebab saya sendiri sudah ada jawatan dalam kerajaan.Jadi sesiapa pun tidak perlu risau dengan kehadiran saya dalam penulisan politik. Guru itulah jawatan saya dan sekaligus merupakan “amanah” yang dipikul ke atas bahu saya. Mengapa keselesaan yang saya terima ini tidak saya bayar dengan menyumbangnya kembali kepada kerajaan melalui kebolehan yang saya rasa ada pada saya iaitu lingua verbal.Mengapa saya tidak menulis sahaja.
63 Bukan saya tidak mahukan ganjaran. Malahan saya pernah memohon sumbangan daripada seseorang agar saya dapat membukukan semula tulisan saya berkaitan parti, pemimpin UMNO dan kerajaan untuk diedarkan sebagai bahan bacaan ahli UMNO dan masyarakat seluruhnya. Tetapi permohonan itu masih belum mendapat layanan sehingga sekarang.
64 Kadang-kadang yang di luar sana tidak tahu bagaimana pertinya meneruskan perjuangan berblog ini tanpa kewangan yang mencukupi. Kita terpaksa berjuang seorang diri tanpa siapa ambil peduli tentang diri kita. Kadang-kadang timbul pertanyaan jahat, adakah mereka yang di atas sana membaca blog saya. Entah-entah mereka tak kenal pun blog GuruBashid dan saya hanya syok sendiri dengan blog ini. Jika membaca, adakah membaca tulisannya sahaja, tanpa pernah ambil tahu bagaimana keadaan penulisnya.
65 Semasa saya menggunakan blogspot, kewangan bukanlah masalah sebab laman itu percuma. Tetapi apabila saya mengambil keputusan untuk menggunakan laman web berbayar seperti laman web sekarang ini saya terpaksa menyediakan wang untuk bayaran hosting dan server. Ini perlu diperbaharui setiap tahun untuk memastikan laman ini terus kekal diapung dalam maya.
66 Disebabkan kekangan kewangan, pernah laman ini ditamatkan siarannya sebanyak dua kali, iaitu pada tahun lepas dan tahun ini. Ini semua disebabkan terlewat bayar.Orang tertentu tentu akan berkata mengapa dibiarkan sampai ini berlaku.Mengapa tidak kekal dengan laman percuma.Tetapi orang tidak tahu masalah sebenar kita.Saya tidak mahu selamanya menumpang laman orang lain.Kalau berlaku sesuatu seperti sekatan ke atas laman ini atau tulisannya terpadam, ke mana saya hendak mencarinya dan kepada siap yang saya akan hubungi. Jika dalam kedudukan sekarang, kalau apa-apa berlaku seperti masalah laman digodam, saya masih mempunyai hosting yang saya kenal dan dapat diharapkan untuk mengawalnya dan menyimpan semua hasil tulisan saya.
67 Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.Saya boleh sahaja melakukan pembayaran jika saya mahu tanpa menunggu tarikh tamat tempoh.Tetapi sesekali saya mahu juga laman ini diiktiraf dan diperaku. Jauh di sudut hati kecil saya, saya mahukan kerajaan dan parti menyokong usaha saya ini dengan memberi sokongan atau bantuan yang sepatutnya.
68 Blogger seperti saya memerlukan sedikit dorongan dan perhatian kerajaan dan parti agar saya mendapat terus kekuatan untuk membantu kerajaan melalui tulisan-tulisan saya. Kadang-kadang saya iri mendengar ada blogger pembangkang yang dibayar sekian banyak untuk memastikan mereka terus utuh menulis.
69 Tentu anda tidak mahu bertanya siapa yang menyokong saya untuk menghidupkan kembali blog GuruBashid ini setelah pernah dua kali digantung penyiarannya. Sudah dua kali beliau menjelaskan bayaran hosting dan server blog ini.Beliau tidak lain tidak bukan ialah YB Dato’ Mohammad Zahir Bin Dato’ Abd Khalid, ADUN Kamunting, tempat saya mengajar.
70 Mula-mula beliau membantu separuh, dan tahun ini setelah bertambah yakin dengan saya beliau membantu penuh. Tetapi yang lebih menggembirakan saya ialah kata-kata beliau kepada saya,”teruskan berblog GuruBashid”. Ya beliau nampaknya menjiwai penulisan GuruBashid. Ungkapan GuruBashid itu benar-benar mengujakan saya. Terima kasih YB Dato’ yang juga exco pelajaran negeri Perak.
71 Tidak mungkin saya akan menulis terus dalam akhbar seperti yang saya pernah lakukan semasa era kecemerlangan UMNO dalam zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.Sebagai penjawat awam saya tidak boleh memberi fokus di sana. Sebab itu saya memilih blog kerana saya boleh menjadi tuan atau majikan kepada blog saya sendiri.
72 Melalui cara ini, saya boleh mendatangi blog saya dan menulis pada bila-bila masa yang saya suka. Sudah tentunya saya akan gunakan cara saya, bahasa saya, bahasa seorang guru yang dipadankan dengan kecenderungannya yang agak mendalam dalam bidang analisis politik dan isu semasa yang akhirnya membentuk gaya penulisan GuruBashid.
Hakcipta Abd Bashid Bin Harun (GuruBashid)











No user commented in " Pengalaman Saya Berblog Mungkin Berguna "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply