1. PERISTIWA ini berlaku pada tahun 1985, iaitu ketika saya sedang berada di tahun akhir, Universiti Malaya. Ketika kejadian itu saya memegang jawatan Presiden, Mesyuarah Berasrama Asrama (MBA), Asrama Pertama di mana Encik Abdul Ghani Othman (skg Dato’ dan MB Johor) sebagai Pengetua Asrama dan Prof Diraja Ungku A.Aziz sebagai Naib canselor,UM
2.Pada hari kejadian saya sedang beristirehat di kamar saya di blog putera asrama tersebut. Ketika sedang beristirehat itu sdr Hittayatullah (saya pun tidak tahu di mana beliau sekarang), Pengerusi Biro Penerbitan MBA datang menemui saya. Beliau meminta keizinan untuk menayangkan sebuah video di Dewan Makan untuk tontonan semua pelajar asrama. Saya diberitahu bahawa video itu berkaitan dengan isu pendidikan yang patut diketahui oleh pelajar universiti.
3. Atas alasan itu saya pun membenarkannya tanpa meminta beliau menunjukkan terlebih dahulu jenis video tersebut. Saya amat percaya beliau akan menayangkan apa yang diberitahu kepada saya.
4. Pada malam itu saya seperti biasa turun dari dorm untuk ke Dewan Makan bagi mengambil minuman malam. Ketika saya melalui dewan tersebut, saya dapati ramai penghuni asrama daripada pelbagai bangsa sedang menonton tayangan video. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat dari jauh gambar perhimpunan manusia yang membawa bendera dan sepanduk PAS. Kelibat allahyarham Ustaz Fadhil Noor pun jelas kelihatan dalam video yang ditayangkan itu. Saya amat terkejut dengan kejadian itu dan terlintas di fikiran saya adakah video ini yang dimaksudkan oleh sdr Hittayatullah.
5. Belum pun sempat saya memanggil sdr Hittayatullah untuk menutup serta merta tayangan tersebut, saya ditegur oleh Encik Abdul Ghani dari arah belakang. Encik Ghani bertanya tentang apa yang berlaku dan jenis video yang ditayangkan itu. Saya beritahu Ghani yang saya tidak tahu menahu dengan tayangan video tersebut. Belum sempat saya memberitahu kedudukan perkara sebenar saya lihat dewan gelap dan tayangan ditamatkan serta merta. Saya tidak tahu menahu siapa yang melarikan video yang dimaksudkan. Segalanya berjalan begitu pantas.
6. Dalam keadaan penuh keliru dan timbul pelbagai syak itu saya sudah menjangkakan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku. Malam itu saya tidak dapat tidur dibuatnya sebab berasa tersilap kerana membenarkan sesuatu tayangan tanpa membuat penelitian terlebih dahulu. Saya terlalu percaya kepada seseorang yang dengan kepercayaan itu saya menganggap dia tidak akan melakukan sesuatu yang di luar daripada yang sepatutnya.
7. Keesokan pagi, lebih kurang jam 9.00 pagi saya sudah mendengar seorang demi seorang AJK saya telah ditahan di bawah AUKU. Mereka yang ditahan termasuklah Pengerusi Biro Kerohanian, Pengerusi Biro Pendidikan dan Pengerusi Biro Penerbitan.
8. Melihat perkembangan terbaru itu saya menjangkakan saya akan turut ditangkap pada bila-bila masa oleh pihak keselamatan universiti di bawah akta yang sama kerana saya yang membenarkan penayangan video pada malam itu walau pun bukan video itu yang saya maksudkan. Walau apa pun saya sudah bersedia dengan apa jua yang akan berlaku ke atas diri saya selepas itu.
9. Dalam keadaan itu saya berkesempatan menaip sepucuk surat membantah penangkapan tersebut. Surat protes itu saya ajukan kepada Prof Diraja Ungku Aziz yang disalin kepada semua NGO. Sesalinan surat itu saya ajukan kepada Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).
10. Seperti yang sudah dijangkakan pada petang itu beberapa orang Pegawai Keselamatan, dari Universiti Malaya telah datang dengan sebuah trak untuk menahan saya. Seperti diberitahu kepada saya, saya dikaitkan dengan dua pertuduhan. Pertama, membenarkan tayangan video politik yang jelas telah melanggar AUKU dan kedua, telah menghantar surat bantahan atas apa yang berlaku kepada NGO.
11. Pada malam itu juga kami dibicarakan di mahkamah universiti. Itulah kali pertama dan terakhir saya melalui pengalaman penuh bermakna yang tidak mungkin saya lupakan. Kami dibicarakan sehingga waktu pagi. Maksudnya sepanjang malam itu kami tidak tidur tetapi berada di mahkamah universiti.
12. Pada waktu menjelang subuh keputusan pun dibacakan. Untuk pertuduhan pertama, iaitu membenarkan penayangan video berunsur politik saya terlepas. Saya bersyukur. Mungkin disebabkan alasan saya dapat diterima iaitu tidak mengetahui sama sekali yang video jenis itu yang akan ditayangkan. Yang diberitahu kepada saya ialah video pendidikan yang patut diketahui oleh pelajar. Lagi pun saya sendiri tidak menulis sebarang notis atau perakuan bertandatangan yang menunjukkan bahawa saya sendiri membenarkan tayangan tersebut.
13. Saya turut memberitahu mahkamah bahawa ketika saya turun ke Dewan Makan, tujuan saya hanyalah semata-mata untuk minum malam seperti yang biasa saya lakukan. Saya sendiri terkejut apabila terlihat yang video berunsur politik seperti itu yang ditayangkan. Malahan saya memberitahu mahkamah saya meminta penayangan video tersebut dihentikan serta merta. Maksudnya, saya telah mengambil tindakan yang sewajarnya sebaik-baik sahaja saya mengetahui tayangan tersebut menyalahi AUKU.
14. Tetapi untuk pertuduhan kedua, iaitu menghantar surat bantahan kepada NGO saya didapati bersalah. Atas kesalahan itu kalau tidak silap saya, saya diberi amaran keras dan didenda RM250.00.Saya kemudiannya diberitahu bahawa denda tersebut telah pun dijelaskan oleh pelajar dan pensyarah yang mengenali saya.
15. Apabila sesi perbicaraan tamat dan keputusan telah pun dijatuhi, saya bersama kawan-kawan saya keluar dari dewan mahkamah. Di perkarangan Dewan Tunku Canselor (DTC) saya melihat sekumpulan pelajar diketuai oleh sdr Takiyuddin Hassan (skg Datuk) berhimpun sambil memegang sepanduk yang membela kami.
16. Beberapa oang wartawan, termasuk dari Berita Harian datang menemui saya untuk mengetahui kisah sebenar dan keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Atas alasan untuk menjaga kepentingan semua pihak, terutama hati ibu bapa saya di kampung yang tidak tahu menahu tentang kejadian itu, saya mengambil sikap berdiam diri. Komen saya ringkas, iaitu “Tiada komen”.
17. Begitulah salah satu peristiwa yang pernah berlaku ke atas saya ketika turut aktif dalam politik kampus suatu ketika dahulu.
18. Moral cerita saya ini ialah:
18.1 Berhati-hati dan siasat terlebih dahulu sebelum sesuatu kebenaran diberi apatah lagi jika kita sebagai ketuanya.
18.2 Jangan terlampau percaya kepada seseorang, sekalipun dia kawan kita tanpa mengetahui hati budinya terlebih dahulu takut kita dikhianati.
18.3 Jika ini merupakan konspirasi ke atas saya, ternyata sesuatu konspirasi itu terlalu sulit dijangka dan ditelah. Ia diatur begitu rapi dan halus sehingga kita tidak sedar rupa-rupanya diri kita turut diseret ke dalamnya.
Catatan Abd Bashid Harun











1 user commented in " Pengalaman Dibicarakan Di Mahkamah Universiti "
Follow-up comment rss or Leave a Trackbackassalamualaikum tuan. terlebih dahulu saya memohon ampun dan maaf jika sekiranya peristiwa 1985 masih menghantui tuan hingga sekarang ini. Saya baru terbaca ruangan tuan pada hari ini 6 Oktober 2008 dan amat terkejut sekali apabila tuan mengaitkan penayangan video itu dengan saya. Saya tidak pernah menganiaya sesiapa dan tidak terlibat langsung dengan penayangan video tersebut. Cuma apa yang masih saya ingat ialah pada malam tersebut saya telah diarahkan oleh penyelia asrama untuk melihat tayangan video tersebut dan melapurkan kepada beliau. Saya tidak ingat pula bahawa saya ada maklumkan perkara itu kepada tuan. Seingat saya video tape itu adalah kepunyaan seorang pelajar fakulti sastera tahun 3, saya tidak ingat namanya dan saya ada juga menonton video tersebut. Tetapi bila tuan pengetua kolej menegur, pelajar tersebut dengan segera mematikan video tersebut dan membawa lari video tape tersebut. Pelajar tersebut juga dibicarakan. Sepanjang siasatan saya tidak pernah dipanggil oleh mana-mana pihak dan tidak pun dimaklumkan perkembangan kes tersebut. Saya cuma mendengar ada pelajar-pelajar yang menuduh saya berkonspirasi dan saya tidak ambil endah kerana saya tidak melakukannya . Saya juga hairan mengapa tuan tidak bersemuka dengan saya selepas peristiwa itu jika tuan yang mengsyakki saya yang berbuat demikian. Saya amat berharap tuan dapat memperbetulkan keadaan ini. Dan saya rasa banyak perkara berkaitan peristiwa itu yang tuan sudah lupa. Tetapi saya amat berterima kasih kerana tuan masih mengingati saya walaupun sudah 20 tahun peristiwa itu. Buktinya tuan dapat mengeja nama saya dengan betul. Amat jarang kawan-kawan lama saya yang dapat mengeja nama saya dengan betul. sekian wassalam
Leave A Reply