Semalam saya terpaksa mengambil cuti rehat untuk ke UM kerana ada skrol ijazah sarjana yang perlu diambil bagi melengkapkan dokumen kurikulum vitae saya yang perlu dihantar ke PPD LMS selewat-lewatnya pada hari ini. Saya ditemani anak saya yang sulung.

Sementara menunggu pejabat IPS dibuka pada jam 8.30 pagi saya mengajak anak saya bersarapan di kafeteria Kolej Ke-12 yang terletak bersebelahan bangunan Institut Pengajian Siswazah (IPS). Di kolej inilah Tuan Zainuddin bekas Pengetua kolej kediaman ini membenarkan saya dan beberapa orang teman menginap di asrama dengan bayaran sewa yang berpatutan semasa menjadi penuntut sarjana empat tahun yang lalu.

Mujurlah salah seorang pengusaha premis makanan di situ masih mengenali saya dan ini menambahkan keceriaan pertemuan ini. Anak saya bertambah teruja melihat gelagat beberapa pelajar baru yang saya kira masih mengikuti minggu haluansiswa.

Al-Hamdulillah lebih kurang jam 9.00 urusan di IPS dapat diselesaikan. Saya telah mendapat apa yang saya perlukan. Tetapi ada satu lagi urusan yang perlu dilakukan selepas ini. Kami pun menaiki teksi ke Arkib Negara yang terletak di Jalan Duta.

Inilah kali pertama saya mengunjungi Arkib Negara. Saya beritahu hajat saya kepada petugas di kaunter. Setelah menyiapkan dua kad Penyelidik kami diberikan kunci almari untuk menyimpan beg. Kami dimaklumkan hanya nota kecil dan pensel yang boleh dibawa masuk ke dalam Dewan Penyelidikan. Peralatan lain seperti kamera memang dilarang sama sekali.

Sebaik-baik sahaja masuk ke Dewan Penyelidikan kami diajar menggunakan kemudahan komputer di situ bagi tujuan mencari bahan yang dikehendaki. Namun komputer yang ada gagal mengesan bahan yang saya kehendaki. Tak tahulah sebabnya. Mungkin saya yang gagal menggunakan kemudahan yang disediakan dengan baik.

Memandangkan pengesanan dokumen yang dikehendaki melalui komputer gagal dilakukan, kami terus menemui pegawai yang bertugas di kaunter dalam dewan tersebut. Saya beritahu pegawai tersebut apa yang saya hajati.

Mujurlah koleksi Surat Khabar Utusan Malaysia dan Utusan Melayu(Jawi) tahun 1989 ada dalam simpanan. Saya merasa lega. Tetapi masalahnya sekarang saya terpaksa membuka satu demi satu halaman surat khabar tesebut kerana saya tidak pasti tarikh artkel saya itu diterbitkan. Mujurlah saya dibantu anak saya. Jika tidak kerja saya menjadi sulit.

Setelah menyemak kesemua akhbar itu saya masih gagal menemui apa yang saya hajati. Ini penting sebab artikel itu sangat bersejarah buat saya kerana itulah artikel saya yang pertama tersiar dalam akhbar bertaraf nasional. Saya tidak menyimpannya sebab seperti yang saya nyatakan dahulu saya mempunyai tabiat buruk iaitu tidak menyimpan apa yang saya pernah tulis.

Hajat saya yang kuat untuk mendapatkan juga artikel itu tidak mematahkan semangat saya. Saya pun memohon mendapatkan akhbar Utusan Melayu dan utusan Malaysia dari bulan Ogos hingga Disember Tahun 1988. Saya meneka sahaja tentang tarikh tersebut berdasarkan beberapa andaian.

Al-hamdulillah, setelah membuat penyemakan bermula dari Disember saya akhirnya menemui artikel tersebut. Rupa-rupanya artikel pertama saya itu tersiar dalam kedua-dua akhbar tersebut pada 14 Oktober 1988 bersamaan Hari Jumaat dengan tajuk Siapakah Imam Mahadi Haji Asha’ari Dan Al-Arqam.Artikel tersebut dimuatkan dalam ruangan Mimbar Jumaat.

Selain menjadi artikel ilmiah pertama saya yang tersiar dalam akhbar nasional, artikel tersebut juga sangat bersejarah kerana ia mengandungi ramalan saya tentang tindak tanduk ustaz Asha’ari Muhammad dan pertubuhan yang diketuainya, Al-Arqam beberapa tahun (10 tahun?) sebelum pertubuhan tidak berdaftar itu diharamkan oleh kerajaan.

Hakcipta Abd Bashid Harun