1 Tulisan saya berkaitan kematian Penolong Pengarah kastam Selangor, Allahyarham Encik Ahmad Sarbani Mohamed ini jangan disalah anggap untuk mencampuri urusan yang telah pun diserahkan kepada pihak polis, jauh sekali untuk mengajar pihak polis.

2 Sebenarnya saya sudah lama ingin menulis pendapat saya ini iaitu selepas kematian Teoh Beng Hock lagi. Cuma apabila berlaku kematian kedua melibatkan individu yang sedang disiasat oleh pihak SPRM, menguatkan lagi semangat saya untuk berkongsi pendapat ini.Apatah lagi apabila pihak SPRM seolah-olah cuba dipersalahkan dalam hal ini.

3 Saya tidak pernah ke bangunan yang menempatkan pejabat SPRM yang menjadi tempat berlakunya kematian kedua-dua individu berkenaan. Namun aspek fizikal bangunan yang menempatkan pejabat SPRM mungkin menjadi punca berlakunya kematian yang seperti itu kepada kedua-dua individu tersebut. Aspek fizikal bangunan ini bertembung pula dengan faktor individu yang tidak biasa dengan keadaan di dalam bangunan itu dan ditambah pula dengan tekanan yang dihadapi.

4 Saya tidak mahu menyebutkan yang bangunan SPRM itu tidak selamat sebab saya sendiri belum pernah melihat bangunan itu.Maka bukan itu yang saya maksudkan. Sebaliknya yang saya mahu timbukan di sini ialah dalam keadaan tertentu seseorang itu boleh sahaja terperangkap dalam keadaan terlupa tentang laluan atau jalan yang ditempuhnya dalam bangunan yang begitu asing atau jarang-jarang digunakannya sehingga menganggap jalan yang dilaluinya itu menuju ke bahagian pintu keluar, sedangkan ia sebenarnya sedang menuju ke satu laluan menuju tingkap atau jendela yang disangkanya pintu.

5 Disebabkan individu itu berjalan pada kadar biasa atau agak lebih laju daripada biasa, dan mengatur langkah penuh berkeyakinan bahawa jalan yang sedang dilaluinya ialah jalan menuju ke pintu keluar, maka tidak mustahil rempuhan ke jendela boleh menyebabkan jendela terbuka dan terus sahaja tercampak keluar.

6 Suasana yang memerangkap pengguna bangunan seperti ini biasanya berlaku dalam bangunan yang bahagian dinding, pintu dan daun tingkapnya bersinar, atau lut sinar atau dibuat daripada kaca atau auminium atau seakan-akan dengannya.

7Maksud saya jika tingkapnya lut sinar atau berkaca, tidak mustahil orang akan menganggap di hadapannya adalah jalan lurus yang tiada apa-apa hadangan di hadapan. Dia tertipu dengan penglihatannya sendiri. Dia langsung tidak menyangka yang di hadapannya itu ada daun tingkap atau dinding atau daun pintu yang tertutup disebabkan material binaan di dalam bangunan itu hampir sama dengan warna pintu, dinding atau jendela yang berkaca atau bersinar.

8 Keadaan ini bertambah keliru jika pencahayaan di dalam bangunan itu tidak mencukupi atau keadaan yang terlalu banyak cahaya hingga gagal menampakkan dengan jelas laluan itu, di mana pintu dan di mana pula kedudukan jendela.

9 Pengalaman peribadi saya sebanyak dua kali mungkin memperkukuhkan pendapat saya dalam hal ini.Sekali di sebuah supermarket yang buat pertama kali saya berada di dalamnya.

10 Semasa saya memasuki supermarket tersebut saya memang nampak dengan jelas di mana pintu masuk, tetapi apabila saya keluar saya tidak pasti lagi pintu mana yang saya gunakan, tetapi apa yang berlaku pada saya, saya terlanggar pintu kaca yang tertutup yang menyebabkan badan saya sakit dan dahi saya benjol. Mujurlah pintu pusat membeli belah itu tebal, jika tidak mungkin pintu kaca itu pecah.

11 Saya juga pernah melihat sewaktu remaja dahulu bagaimana seorang anak muda al-Arqam keluar daripada pintu sebuah pusat membeli belah. Tetapi kali ini keadaannya lebih parah daripada saya sebab dia keluar melalui dinding kaca yang disangkanya pintu sehingga menyebabkan banyak kesan luka pada tubuhnya dan dinding kaca itu pecah. Pekerja di dalamnya dan orang ramai menyangka dia pencuri. Tetapi apa yang berlaku dia sebenarnya bergegas keluar tetapi melalui dinding kaca yang disangkanya pintu.

12 Apakah keadaan ini tidak boleh berlaku kepada orang lain, di bangunan yang lain dan dalam suasana yang lain? Renung-renungkanlah pendapat saya ini.

Catatan Yang Mungkin Berguna Daripada GuruBashid