” Di negara kita seperti juga halnya di negara-negara komanwel pemerintah turut diberi kuasa kehakiman, sekalipun pada asasnya berlaku pengasingan kuasa antara pemerintahan, perundangan dan penghakiman. Untuk kepentingan keselamatan negara umpamanya menteri berhak membuat keputusan dan keputusan itu tidak boleh dipersoal oleh mana-mana mahkamah. Ini jelas dalam pewujudan dan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri di negara ini yang memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk membuat keputusan. Tetapi dalam kes Raja Petra yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas alasan penahanannya di bawah ISA tidak sah adalah dilihat sebagai keputusan yang pelik dan tidak pernah berlaku sebelumnya bagi seseorang yang ditahan di bawah ISA. Saya sangat bimbang akan perkembangan terbaru ini kerana jika kes seumpama ini boleh dicabar di mahkamah, keputusan pembebasan Raja Petra akan diguna pakai sebagai kes rujukan dalam perbicaraan berikutnya. Jika itu berterusan berlaku ia seolah-olah sama sahaja sama ada ISA itu wujud atau tidak .”GuruBashid
1. Sama ada anda suka membacanya atau tidak, saya tetap bersetuju dengan ISA dan percaya bahawa ISA masih diperlukan, malahan sangat relevan dalam situasi seperti sekarang ini sehinggalah ada mekanisme yang lebih baik menggantikannya.
2. Berdasarkan trend sebahagian rakyat Malaysia masa kini yang mudah terikut-ikut dengan kebebasan tanpa batas yang berlaku di luar negeri, saya tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku pada negara ini jika ISA sudah dimansukhkan.
3. Ada orang yang hanya dapat ditenteramkan dengan undang-undang seperti ISA dan kebanyakan mereka jenis ini sangat mendominasi emosi dan perasaan mereka daripada fikiran dan rasional.
4. Ramai orang yang tidak suka ISA dengan mendakwa ISA itu zalim. Seseorang yang ditahan tanpa dibicarakan tentu tidak adil, dakwa mereka.
5. Mana yang lebih zalim, membiarkan negara dicatur oleh sekumpulan manusia yang berniat jahat untuk mencapai kepentingan peribadi dan minoriti sehingga menggugat ketenteraman awam, atau mengenakan ISA ke atas individu seperti ini dan membiarkan majoriti rakyat hidup dalam keadaan aman dan tenteram.
6. Walau pun perlembagaan menjadi undang-undang tertinggi negara dan bersifat luhur, namun dalam keadaan di mana kandungan perlembagaan dan undang-undang selalu dipertikaikan dan tidak dihormati, ISA adalah jawapan yang tepat untuk individu seperti ini.
7. ISA atau mekanisme seumpamanya patut menjadi benteng terakhir yang digunakan oleh kerajaan yang berkuasa di sesebuah negara untuk melindungi perlembagaan daripada dicabar.
8. Dalam keadaan ISA masih berkuat kuasa pun ada individu-individu yang lantang bersuara dan bertindak melampaui undang-undang, bagaimana jadinya jika ISA ditiadakan.
9. Ketika majoriti rakyat inginkan kemanan, ketenteraman dan ketenangan golongan ini hanya mahu memaksa kerajaan mendengar kehendak-kehendak mereka sahaja yang kadang-kadang dilontar dengan cara yang membahayakan negara. Mereka inilah yang mendesak ISA dihapuskan kerana dengan penghapusan itu akan menguntungkan mereka.
10. Mereka menganggap ISA itu penghalang besar yang menyekat kebebasan mereka daripada melakukan tindakan menurut selera mereka.
11. Jumlah yang menentang ISA tidak ramai, tetapi yang terikut-ikut dengan penentangan itu yang ramai.
12. Mereka jenis ini tidak pernah menghormati apa-apa pun dan sesiapa pun kecuali diri dan kehendak mereka.
13. Jadi apakah lagi mekanisme yang paling sesuai untuk mereka jenis ini selain ISA.
Hakcipta Abd Bashid Harun












No user commented in " ISA: UNTUK INDIVIDU DAN SITUASI TERTENTU "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply