Semalam saya melalui hari pertama cuti persekolahan dengan pelbagai aktiviti. Pagi-pagi lagi pergi ke pasar basah berhampiran untuk membeli beberapa jenis ikan dan sayur untuk makan seminggu.Ini termasuk 3 kg ikan kembung untuk makanan 16 ekor kucing kesayangan isteri dan anak-anak saya. 3 kg ikan untuk kucing sebanyak itu memang tidak mencukupi, tetapi isteri saya ada caranya. Dua ekor ekor ikan akan direbus untuk setiap kali makan dan digaul dengan nasi. Nampaknya kucing kami sudah biasa dengan cara itu.
Lebih kurang jam 11.45 pagi saya memenuhi jemputan jiran setaman yang menyambut majlis perkahwinan anak beliau. Selain dapat makan dan minum, saya seperti juga tetamu-tetamu laih dihadiahkan sebiji bunga telur dan sebuah beg kecil yang mengandungi pelbagai jenis kuih.
Lebih kurang jam 12.15 tengah hari, saya melakukan aktiviti rutin, iaitu menghantar dua anak perempuan saya ke kelas Tuisyen Smart Reader di sebuah taman berhampiran. Mereka mengikuti tuisyen itu sebanyak dua kali seminggu, iaitu setiap Sabtu dan Ahad. Seorang baru memasuki level 4 dan seorang lagi sudah di level 9. Nampaknya dari segi kebolehan membaca lancar dan sebutan Smart Reader memang banyak membantu, tetapi untuk meningkatkan grammer, mereka patut berguru dengan guru nahu Bahasa Inggeris.
Sementara menunggu mereka selesai Tuisyen, saya ke bandar Taiping untuk memasukkan wang bayaran kad kredit yang sudah tertangguh beberapa hari. Malangnya mesin penerima wang di bank berkenaan pulak buat hal sehingga terpaksa diservis. Setelah menunggu agak lama, masih belum siap-siap. Saya pun mengambil keputusan untuk pulang ke rumah sahaja.
Pada jam 2.00 petang saya mengambil semula anak saya dari kelas tuisyen. Lebih kurang jam 2.45 petang saya dan seluruh anggota keluarga pergi ke majlis kenduri kahwin keluarga sebelah arwah bapa di Kg Selinsing, kampung di mana saya dibesarkan setelah berpindah dari Sekinchan, Selangor sejak 1969.
Pada malamnya kami ke Ipoh untuk menonton filem. Menonton wayang bukanlah satu amalan biasa bagi kami. Kadang-kadang dalam setahun adalah sekali dua.Ada tiga pilihan filem yang ditayangkan pada hari ini, iaitu The Chronicles Of Narnia, Indiana Jones and The Kingdom Of The Krystal Skull dan Superhero.
Ketiga-tiga filem di atas dalam kategori U, maknanya sesuai untuk ditonton oleh semua peringkat. Kali ini anak-anak saya membiarkan saya memilih sendiri filem yang hendak ditonton. Akhirnya saya memilih filem Narnia kerana saya kira itu paling sesuai untuk anak-anak saya. Nampaknya bukan kami sahaja menonton filem ini. Kenalan internet saya, Puan Laini dan suaminya pun turut menonton.
Namun seperti filem barat yang lain mesti diselitkan babak cium. Walaupun sekali ini sahaja cukup membuatkan anak saya menutup mata. “Ini yang tak okay”, kata anak saya Atiqah. “Kalau tak bercium tak bolehkah,” tanya anak saya Izzah.”Memang filem Barat begitu,” jawab saya.
Sebelum pulang saya mengambil kesempatan ke supermarket dalam bangunan yang sama untuk membeli beberapa barangan keperluan yang stoknya sudah hampir habis. Salah satu barang dapur yang saya beli ialah sebotol minyak masak berharga RM13.90. Apabila saya ingin menjelaskan bayaran di kaunter, pekerja kaunter memberitahu harga minyak itu mahal. Dia mencadangkan saya minyak yang mempunyai berat yang sama, namun harganya hanya RM11.90. Saya mengucapkan terima kasih kepada gadis itu kerana bukan sahaja berjaya menjadi cashier, tetapi pandai memberi maklumat berguna kepada pengguna.
Sebaik-baik sahaja sampai ke kawasan Simpang,Taiping kami tidak terus pulang ke rumah. Kami singgah di Medan Selera Simpang, satu tempat makan yang agak baru di kawasan kami. Isteri saya pada asalnya nak makan kueh teow kerang. Tetapi malangnya kedai yang menjual kueh teow kerang tutup. Akhirnya kami memesan menu masing-masing dari gerai sebelah. Dua anak saya memilih nasi goreng ayam, saya sendiri makan nasi putih dan sup ekor dan telur dadar, sementara isteri saya order bihun sup dan roti canai. Nampaknya besar pula selera makan kami pada malam itu.
Catatan: Abd Bashid Harun











No user commented in " Hari Pertama Cuti Sekolah Yang Sibuk "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply