Sekarang memang sibuk. Menyelia peperiksaan SPM, menyiapkan beberapa laporan dan tugasan akhir tahun, menyediakan perancangan HEM untuk tahun 2010, di samping tugasan masyarakat,perasmian surau, mesyuarat agung surau, menyelia ibadat qurban, opkim UKM dan parti.

Masa dirasakan berlalu begitu pantas.Pengurusan masa mesti menjadi lebih cekap di mana semua perkara sudah menjadi amat penting sekarang ini.

Rumah dan anak-anak mesti diberi perhatian juga ketika isteri tersayang sudah menjadi milik masyarakat dan parti yang dipadatkan dengan pelbagai aktiviti seperti seminar, kursus dan kerja-kerja wanita sama ada di peringkat biro, cawangan, bahagian dan negeri.

Anak-anak telah biasa dengan kesibukan kedua-dua orang tuanya. Mereka sudah lama belajar menerima keadaan ini dan semakin memahaminya yang akhirnya menuntut mereka mesti lebih pandai berdikari dan mengurus diri sendiri berbanding kanak-kanak yang lain.

Yang sulung sejak beberapa hari yang lalu telah mengambil keputusan untuk tidak ke sekolah, tetapi tekun belajar sendiri di biliknya kerana sehari dua lagi akan menduduki peperiksaan STPM.

Saya hanya mahu dia masuk universiti, tidak kurang dari itu sebab saya mahu dua yang berikutnya akan turut teruja memasuki universiti.

Anak yang kedua, murid Tahun 6 SK Convent Kota baru sahaja tersenyum setelah menangis kerisauan dengan keputusan UPSR yang lambat diumumkan di dewan sekolah pagi tadi walaupun kawan-kawan yang lain telah lama mengetahui keputusan mereka.

Di mana silapnya, sampai jadi begitu hingga mengganggu emosi anak-anak dan ibu bapa yang menunggu-nunggu keputusan anak-anak mereka di dalam dewan itu.

Tetapi mujurlah keputusan 5A dalam percubaan yang mana Hari Anugerahnya berlangsung semalam diulang dalam keputusan UPSR yang dikeluarkan pada hari ini.

Telefon bimbit saya nampaknya terpaksa dibiarkan untuk digunakan olehnya untuk menghubungi individu, kenalan dan saudara mara yang rapat dalam hidupnya.

Anak ketiga saya, murid Tahun 4 di SK TMGS masih seronok menerima anugerah pencapaian tempat utama dan mata pelajaran terbaik khususnya PI dan BM Pemahaman semalam dan hari ini ceria dengan Majlis Jamuan Akhir tahun bersama guru.

Cuma dia terpaksa memendam sedikit rasa kecewa apabila kali ini ibunya terpaksa melupakan tuntutannya agar disediakan nasi ayam untuk kawan-kawan dan guru kelasnya atas alasan terlalu sibuk.

Saya sendiri terlupa yang pagi tadi saya sepatutnya dihubungi oleh rakan sekampung yang sejak 1973 tidak pernah berjumpa untuk membincangkan sesuatu yang agak penting. Puncanya hp saya sudah kehabisan kuasa kerana tidak dicaj pada malam tadi.

Sehingga saat ini saya hanya berkesempatan mengucapkan tahniah kepada anak-anak saya.

Tetapi demi peminat laman GuruBashid saya ambil kesempatan juga untuk menaip sesuatu di sini setelah agak lama tidak menghantar artikel.

Kepada pembaca yang soalan mereka belum dijawab harap dapat bersabar, insya-Allah jika saya ada kesempatan saya akan cuba memberi maklum balas.

Catatan Abd Bashid Harun