1 Argentina seperti kehilangan rentak. Mereka mempunyai pemain untuk membawa bola dari bawah ke tengah dan seterusnya ke kawasan D lawan, tetapi mereka tidak mempunyai penjaring gol.

2 Mereka cuma ada Maradona, selain Messi tetapi dia bukan dalam kelompok kesebelasan yang boleh membantu.Kita bercakap tentang permainan di dalam gelanggang itu bukan yang berada di luar garisan padang. Di dalam gelanggang itu sendiri mereka tidak mempunyai pemain yang bertindak cemerlang untuk melakukan tindakan penyudah yang berkesan.

3 Maradona khususnya dan Argentina amnya tidak boleh menuding jari ke arah sesiapa atas kekalahan mereka. Argentina memang mempunyai banyak peluang, tetapi setiap kali mereka mendapat peluang mereka hanya menyepak ke arah penjaga gol, bukan ke pintu gawang. Rata-rata tendangan ke arah gol tidak bermaya, lemah dan tidak langsung menggugat penjaga gol Jerman. Itulah antara kelemahan yang saya lihat pada pasukan Argentina.

4 Dalam tempoh 90 minit itu, pemain-pemain lain terlalu bergantung kepada Messi yang mungkin baik untuk iklan TV sambil mengunyah makanan ringan tetapi bukan untuk melakukan tindakan penyudah. Tidak banyak yang mampu dilakukan oleh beliau secara berseorangan akibat kekangan pemain-pemain Jerman.

5 Kelemahan Messi yang paling ketara ialah beliau hanya mahu membawa bola dan menjaringkannya. Mungkin itu yang diajar oleh Maradona.Tidak begitu jelas yang beliau mempunyai kemahiran membuat hantaran bola dan melakukan tendangan di sudut yang berbeza berbanding lawan mereka, Jerman.

6 Sesekali beliau berjaya menendang ke arah gol, tetapi beliau menendang tinggi di atas jaring gol atau menendang lemah ke arah penjaga gol yang dengan mudah menampan bola itu.

7 Ketika Jerman memiliki Mueller, Klose, Friedrich dan ramai lagi Argentina pula hanya bergantung kepada Messi untuk membuat tindakan penyudah, dan apabila Messi tidak berupaya mekukannya, yang lain-lain pula tidak boleh diharapkan.

8 Pemain-pemain Argentina yang lain jarang meminta bola dan mengejar bola di hadapan gol. Mereka menunggu bola untuk sampai ke kaki mereka. Ternyata mereka agak rajin menyerang, tetapi mereka agak malas untuk melakukan tindakan penyudah yang berkesan di kawasan D lawan.

9 Saya melihat dua taktik permainan yang berbeza pada malam tadi. Yang satu seperti bertempur di medan peperangan dan yang satu lagi seperti mahu bermain-main sahaja. Yang satu datang sekali sekala dan menggempur pada masa yang sesuai dan di posisi yang sesuai; sedangkan satu pasukan lagi hanya mahu menyerang tetapi tidak memikirkan sama ada serangan itu sesuai dibuat atau tidak.

10 Anda dapat melihat sendiri bagaimana Jerman hanya menggasak terus apabila pasukan lawan sudah mula hilang keyakinan dan tertekan; sedangkan Argentina pula tidak langsung dilihat bangkit daripada keadaan kritikal itu dan menukar taktik permainan.

11 Jika ada kejayaan Maradona, dia seolah-olah telah menyerap masuk cara bermain yang ada pada dirinya kepada pemain-pemainnya bukan cara bermain bola sepak yang sepatutnya. Sedangkan Jerman berupaya menukar-nukar taktik permainan mengikut corak gerakan lawan dan bergerak di ruangan yang sempit antara lawan serta berupaya pula berada di kedudukan yang betul untuk membuat jaringan.

12 Kesimpulannya, Argentina tidak mempamerkan permainan bola sepak dalam satu pasukan yang boleh dicontohi berbanding Jerman. Keadaan mereka sama seperti pasukan England.Tidak nampak gandingan tiga atau empat orang pemain yang boleh membuat serangan balas berkesan dan jaringan gol yang berjaya dibentuk oleh Maradona selaku Ketua Jurulatih.

13 Messi dan pemain-pemain lain seolah-olah tercari-cari siapa yang patut dijadikan rakan rangkaian untuk membuat jaringan ke arah gawang lawan. Tidak wujud keserasian antara pemain kecuali bermain sendiri-sendiri. Inilah kelemahan Argentina yang paling ketara dan mesti diperbetul oleh Maradona jika Argentina mahu bangkit pada masa akan datang. Tetapi jika jurulatih itu mahu berbangga dengan kejayaan beliau pada masa lampau dan mahu menyerap gaya seperti itu dalam perlawanan bola sepak sekarang, bukan sahaja beliau malahan Argentina pun akan dilupakan.

Hakcipta Abd Bashid Harun