1 Saya kira masih belum terlambat bagi saya untuk mengucapkan Selamat Menyambut ‘Eidulfitri kepada semua peminat dan pembaca blog GuruBashid. Maaf Zahir dan Batin daripada saya kepada semua jika selama ini tulisan-tulisan saya telah menyinggung perasaan saudara/ri.Saya tidak berniat untuk mengajar atau menegur sesiapa, cuma sebagai guru yang bertanggungjawab mendidik anak bangsa di sekolah, sifat-sifat mendidik dan menta’dibkan itu secara tidak sengaja muncul juga dalam pandangan-pandangan saya itu.

2 Saya amat berharap anda semua sedang menikmati suasana hari raya ini dengan penuh ceria dan bahagia setelah kejayaan anda menempuh latihan “menahan diri” selama 29 hari berpuasa di bulan Ramadhan.Anda layak menerimanya setelah apa yang anda tempuh selama 29 hari itu. Hari Raya adalah suatu pengiktirafan Allah ke atas kejayaan yang anda raih daripada madrasah ramadhan tersebut.

3 Saya tidak berjalan jauh pada hari raya ini, sekadar pusing-pusing sekitar kawasan parlimen Bukit Gantang dan paling jauh pun sampai ke Bagan Serai menziarahi sanak saudara dan “kulaan” yang jarang-jarang ada kesempatan untuk dikunjungi kecuali pada hari raya.Lagipun ada kematian adik bongsu isteri dua hari sebelum syawal yang menyebabkan beberapa keputusan awal terpaksa dilupakan sahaja.

4 Sepanjang perjalanan berhari raya, saya terserempak dengan beberapa pemandangan yang kurang menyenangkan malahan menghiris hati saya sebagai warga negara Malaysia yang mencintai negara, bangsa dan agamanya.

5 Antaranya, Jalur Gemilang yang dikibarkan atau direntang telah dijahit atau dicantumkan dengan bendera parti politik sehingga mengubah rupa bentuk asal bendera kebanggaan negara kita itu. Mereka melakukannya sesuka hati ke atas simbol bagi sebuah negara berdaulat dan merdeka yang sepatutnya dihormati mengikut tata caranya yang tersendiri.

6 Saya juga melihat beberapa buah kereta proton yang ditukarkan logonya kepada logo jenama kereta yang lain.Saya tidak pasti apakah tujuan pemilik kenderaan berbuat demikian, tetapi yang jelas mereka seolah-olah malu mempamerkan logo atau simbol yang membawa nama atau jenama Malaysia. Anehnya malu, tetapi mahu.Maksud saya masih mahu menggunakan kereta buatan Malaysia.

7 Al-Hamdulillah, pada tahun ini kita amat bertuah sebab dapat menyambut Hari Raya ‘Eidilfitri bersama dengan hari kemerdekaan negara yang ke-54. Jarang-jarang kita dapat menikmati pertembungan dua hari yang amat bermakna dalam kehidupan kita ini sehingga ada yang mengungkapkannya sebagai Merdeka Raya.

8 Maka sesuai dengan tema Merdeka Raya, selain menghias rumah dengan langsir, kad raya dan hiasan berwarna warni, maka ada pemilik rumah yang cenderung untuk menghias kawasan luar rumah mereka dengan mengibarkan atau memasang bendera Malaysia menurut cara yang paling kreatif.

9 Memandang PRU akan menjelang tak lama lagi maka ada penghuni rumah yang menambahkan bendera parti di samping Jalur Gemilang untuk dikibarkan. Tentu tidak salah sebab itulah hak mereka selagi dalam kawasan rumah mereka.

10 Tetapi yang tak sedap didengar, ada individu tertentu yang tinggal berhampiran kawasan tempat tinggal saya yang menegur tuan rumah berkenaan kerana menggantungkan bendera parti di samping bendera Malaysia.

11 Menurut individu tersebut, nanti ahli-ahli parti lain pun akan menggantung atau mengibarkan bendera parti masing-masing. Baginya tindakan menggantung bendera parti itu dalam kawasan kediaman di mana beliau sebagai ketuanya adalah tidak wajar.Jadi beliau menasihati tuan rumah tersebut agar tidak menggantung bendera parti.

12 Nampaknya individu tersebut dapat memainkan peranannya sebagai Ketua dan kelihatannya sangat mengambil berat.Tetapi dia harus ingat bendera itu digantung di kawasan rumah pemiliknya sendiri bukan dalam kawasan rumah orang lain. Jadi tindakan tuan rumah menggantungkan bendera parti bersama bendera Malaysia tidak boleh dihalang oleh sesiapa, malahan dapat menjelaskan bahawa dia mempunyai semangat patriotik yang tinggi di samping membuktikan yang dia adalah ahli parti yang setia dan berani.

13 Bukan mudah untuk menggantung bendera parti jika kita tidak mempunyai tahap keberaniaan dan tahap sesetiaan yang tinggi. Ketika majoriti ahli parti takut-takut untuk melakukan apa yang sepatutnya menjadi haknya sebagai ahli parti, tindakan tuan rumah itu sepatutnya mendapat pujian dan tahniah daripada kepimpinan tertinggi parti.

14 Tidak timbul masanya tidak sesuai sebab ini musim menyambut syawal, kemerdekaan dan menjelang pilihan raya umum(PRU).Masing-masing ahli parti berhak menunjukkan rasa bangga dan gembira mereka menurut cara mereka asalkan tidak melanggar sempadan peribadi orang lain.

15 Malahan dalam situasi sekarang di mana orang menganggap kita lemah, tindakannya itu boleh menjadi dorongan, seterusnya ikutan kepada ahli parti yang lain bahawa parti kita memang ada maruah serta berhak untuk ditonjolkan dn diangkat sebegitu rupa. Tidak ada apa-apa yang patut ditakutkan sebabnya parti kita memerintah dan melakukan perkara yang baik untuk rakyat dan negara ini.

16 Yang sepatutnya malu dan takut-takut itu mereka, bukannya kita.Tetapi tindakan individu itu boleh merenjatkan semangat ahli parti itu untuk menonjolkan partinya sendiri.Malahan niat murninya yang bergelojak untuk mempromosikan parti menjelang PRU menjadi tawar hanya semata-mata disebabkan tindakan seseorang yang telalu menjaga hati pihak lain.Mengapa kita sanggup menjaga hati orang lain yang terang-terang tidak bersetuju dengan kita dengan sanggup melukakan hati individu yang memang terang-terang menyokong kita.

17 Mengibarkan bendera parti dalam rumah dan kawasan sendiri boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tanpa ada sekatan dan larangan. Apabila ada yang menegur perbuatan itu, teguran itu sudah dianggap keterlaluan dan memasuki sempadan privacy seseorang. Ini dianggap tindakan yang berlebih-lebihan dan percubaan untuk membesarkan perkara kecil.

18 Kita telah bertolak ansur kepada orang yang tidak menyokong kita yang terang-terang meletakkan simbol parti di luar rumah, termasuk mengibarkan bendera parti mereka sejak sekian lama. Mengapakah dalam saat-saat menjelang PRU dan ketika suasana menyambut hari kemerdekaan ini, jika ada ahli kita sendiri yang hendak mengibarkan bendera parti sebagai tanda kebanggaan mereka kepada parti yang berjasa itu tidak dhargai malahan dianggap tidak betul. Mengapa?

19 Jika ada orang lain yang akan mengibarkan bendera parti masing-masing hanya disebabkan marahkan individu tersebut mengibarkan bendera parti yang disokongnya, tidakkah itu lebih bagus supaya kedudukan siapa lawan dan siapa kawan akan menjadi lebih jelas. Itu akan memudahkan kajian sikap yang amat diperlukan untuk menentukan status rupa wajah pengundi.Tak perlu lagi kita menemuduga seseorang itu dengan pelbagai soalan memerangkap yang tentunya kita tidak akan mendapat jawapan yang sebenar.

Hakcipta Abd Bashid Harun