BUKAN mudah untuk mengendalikan orang Melayu. Mereka banyak akal, dan nafsu mereka pun tidak kurang besarnya. Jika anda ingin membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan stabil, salah satu perkara yang patut menjadi perkiraan anda ialah kesediaan untuk berhadapan dengan karenah bangsa Melayu itu sendiri. Selera majoriti bangsa saya ini untuk melihat orang lain jatuh dan dimalukan agak tinggi berbanding melihat bangsanya sendiri berjaya dan maju. Mereka lebih banyak idea untuk mengulas tentang sesuatu yang negatif, ketimbang sesuatu yang positif. Mereka seolah-olah tidak ditunjuk jalan untuk mengulas sesuatu yang baik. Mungkin antara sebabnya mereka tidak dilatih berhusnudzan dengan orang lain walaupun ajaran Islam jelas meminta penganutnya bersangka baik. Nak letakkan kesalahan seratus peratus di pundak mereka atas apa yang berlaku rasanya tidak patut setelah mengambil kira apa yang mereka telah alami selama ini serta suasana yang membesarkan diri mereka. Mereka dibesarkan oleh keadaan yang lebih bergembira dengan kejatuhan dan kegagalan berbanding dengan cerita-cerita kejayaan, kemajuan dan kecemerlangan. Skill untuk menyampaikan khabar duka dan buruk lebih cepat dikuasai. Cerita-cerita luar biasa dan sensasi seperti cerita-cerita tentang pontianak, ular berkepala dua, bayi berkaki empat lebih popular berbanding dengan cerita-cerita yang berkaitan kejayaan penciptaan dan penerokaan. Tidak hairanlah kalau filem yang menayangkan cerita yang berkaitan dengan hantu akan mendapat untung berlipat kali ganda berbanding dengan filem yang cuba lari daripada tema-tema biasa. Begitu juga pameran hantu yang pernah diadakan di negara ini sedikit masa dulu lebih menyemarakkan nafsu majoriti bangsa Melayu (bangsa sayalah tu) berbanding pameran sejarah dan tokoh.Yang perempuannya begitu cekap dalam hal mengata orang walaupun sambil melaksanakan kerja. Peribahasa sambil menyelam minum air lebih tepat maksudnya sambil bekerja mengumpat orang (kerajaan). Mereka lebih terbiasa dengan benda negatif sama ada pada diri mereka atau orang lain. Di negara ini, jika anda miskin, anda akan dipandang sinis konon-kononnya anda malas berkerja. Jika anda yang dahulunya miskin tiba-tiba berjaya anda belum tentu diterima sepenuhnya dengan senang hati. Sebaliknya anda mungkin dikenakan sanction konon-kononnya anda ada “pemakai” atau lebih tepat lagi menggunakan hantu atau “sahabat”. Tetapi jika kekayaan anda digunakan untuk menyokong seseorang atau kumpulan yang mereka sukai, anda akan diangkat sebegitu rupa. Cerita-cerita buruk tentang anda sudah mula dilupakan. Tetapi jika anda jatuh semula, orang-orang yang sama akan menghentam anda kembali, tak kiralah sama ada menggunakan alasan yang sama atau alasan lain. Hakcipta Abd Bashid Harun