SEKARANG saya berada di Cameron Highlands menghadiri taklimat RO untuk Peperiksaan MUET (Speaking). Saya ditemani tiga anak saya. Isteri menawarkan diri untuk tidak ikut serta kerana sibuk membuat persiapan menjelang hari raya. Tapi sebagai bekalan saya sudah membelikannya beberapa jenis teh dari blue valley tea hinggalah kepada teh lemon, strawberry dan anggur, selain beberapa jenis sayur-sayuran. Saya memang tak pernah melepaskan peluang untuk membeli pelbagai jenis serbuk teh apabila berkunjung ke tanah tinggi ini. Anak-anak saya menggemari teh strawberry, sedang saya dan isteri lebih gemar teh lemon. Kami menginap di Rossa Passadena. Kebetulan di ruang lobby hotel ada kemudahan Wi-Fi. Cuma dua unit PC disediakan. Satu saya guna dan satu lagi siapa lagi kalau bukan anak bongsu saya yang memang rapat dengan saya. Yang dua lagi lebih selesa berada di bilik. Suhu di sini tidaklah sesejuk Genting Highlands walaupun di luar hujan renyai-renyai. Sebelum masuk ke sini, saya membawa anak-anak saya makan aiskrim. Saya pun hairan di tanah tinggi ini pun mereka masih mahukan benda sejuk tu. Hujan dan malam pulak tu. Tak taulah, mungkin selera kanak-kanak. Kami akan bertolak balik jam 10.00 pagi esok. Tetapi sebelum itu saya akan singgah di Lembah Biru untuk menyampaikan hajat Izzah untuk melihat tanaman teh. Dan tentunya tak kan lupa membeli buah strawberry yang segar dengan memetiknya sendiri. Akhir kata maaf kepada semua kerana tidak ada cerita serius hari ini. Selamat hari raya dan maaf zahir batin. Insya-Allah apabila pulang nanti baru saya akan muatkan gambar-gambar yang saya sempat rakamkan di sini.
















No user commented in " Berbuka Puasa Di Cameron Highlands "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply