1 Kali pertama saya mengapungkan puisi Pesan Guru Kepada Tuannya di atas permukaan rata Facebook ialah kira-kira jam 8.00 malam tadi.Puisi ini mengandungi 4 rangkap dan masih mengekalkan bentuk tradisonalnya yang lebih mirip kepada pantun.
2 Orang pertama yang respon kepada puisi saya ialah seorang murid Ting 4Sc sekolah saya iaitu Nasuha Musa. Walaupun saya tidak pernah mengajar kelasnya, dia sentiasa mengikuti buah fikiran saya lewat laman sosial terbesar itu. Dalam responnya itu dia mendakwa dia faham akan maksud puisi saya itu.
3 Dan kemudian diikuti oleh seorang lagi bekas murid saya Amiluddin Majuki, bekas murid SBP Sabah yang sekarang ditukarkan namanya kepada SMS Sabah. Tetapi yang saya nak ceritakan di sini bukan tentang puisi saya itu, tetapi tentang kisah anak murid saya,bekas anak murid dan kawan belajar saya.
4 Untuk makluman pembaca, Nasuha inilah yang bertanya kepada saya beberapa hari sebelum Pengetua saya sekarang, Tuan Haji Mohd Harithuddin Satari sampai di sekolah. ”Pengetua baru dah sampai di sekolah ke cikgu?” tanya Nasuha.
5 Nasuha seterusnya memberitahu saya kalau pengetua sampai, dia nak bawa Pengetua meronda di sekitar kawasan sekolah untuk tunjukkan apa yang rosak sambil menceritakan sedikit tentang latar belakang sekolah. ”Saya tahu,” katanya.
6 Permintaan beliau itu memang tidak pernah dijangkakan sama sekali. Masakan pernah ada permintaan seperti itu daripada seorang murid seusianya yang bunyinya begitu berani dan jujur.
7 Tetapi itulah permintaan Nasuha yang tidak pernah saya dengar sebelumnya daripada mana-mana murid saya. Memang mengkagumkan, walaupun saya tidak pernah memberitahunya sehingga ke saat ini.Kalau dia membaca tuisan ini, anggap sahajalah inil kali pertama saya memberitahunya.
8 Sebelum cuti yang lalu, dia telah menghadiahkan saya sebuah cenderamata yang amat cantik yang dibeli oleh abang iparnya yang bekerja sebagai pilot. Jika dia membaca tulisan ini dia harus tahu saya amat mengharagai pemberiannya.
9 Akhirnya permintaan murid ini telah saya panjangkan kepada Pengetua dan Pengetua yang terkenal dengan program pembudayaan sikap positifnya telah memenuhi hasratnya itu.
10 Ternyata selepas itu kesannya sangat luar biasa. Dia sentiasa melontarkan senyuman lebarnya ke arah saya sebaik-baik sahaja dia melihat saya sebagai menunjukkan tanda bangganya atas apa yang berlaku ke atas dirinya- sungguh puas dan ceria.
11 Sebelum itu saya pernah dikejutkan dengan cerita seorang murid Tingkatan 2, perempuan di sekolah saya sekarang. Agak pendiam orangnya, tetapi menjadi rakan FB saya. (Atas sebab tertentu, saya tidak mahu menyebut namanya di sini)
12 Setelah agak lama mengenalinya dia tiba-tiba memberitahu saya bahawa lagu A Naughty Girl nyanyian seorang penyanyi lelaki barat (?) yang lebih tertonjol sebagai pencipta lagu dan penulis lirik adalah ditujukan kepadanya dan sebahagian besar lirik lagu tu adalah kisah hidupnya. Wah, mengujakan. Penyanyi itu adalah bapa angkatnya dan mereka selalu berhubung.
13 Kembali kepada Amiluddin Majuki, bekas anak murid saya semasa di Sabah seperti yang saya sebutkan namanya sebelum ini, sebenarnya dia agak rapat dengan saya semasa di Negeri Di Bawah Bayu dahulu.
14 Beliau yang sekarang menjadi guru bersama seorang lagi anak murid saya Alex Kopong (penganut Kristian) pernah tidur di rumah saya dan menolong isteri saya berniaga pisang goreng di Pasar Tamu, di Jalan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.
15 Saya masih ingat kata-katanya kepada isteri saya pada suatu hari. ”Jika pisang goreng nak lebih sedap rasanya, masukkan sedikit serbuk kopi halus ke dalam adunan tepung.” Isteri saya telah mencubanya ternyata rasanya memang sedap.
16 Alex Kopong, sungguhpun beragama Kristian dan pernah bercita-cita menjadi paderi tak kisah tidur di rumah saya walaupun ketika itu saya seorang ustaz (guru agama) yang aktif berdakwah. Saya sebenarnya tidak kisah tentang hal itu.
17 Saya tidak pernah menjadikan faktor agama dan budaya sebagai penghalang kepada rasa kasih sayang sesama insan. Saya telah membuktikannya.
18 Semasa mengambil Diploma NPQH (National Programe Qualification for Headship) di Institut Aminuddin Baki (IAB) Genting Highlands, saya tinggal sebilik dengan Cikgu Maniappan, yang sangat kuat pegangan agama Hindunya.
19 Kalau saya tidak menumpang kereta beliau, beliau yang akan menumpang kereta saya ke institut kepimpinan pendidikan tertinggi itu. Beliau suatu ketika dahulu pernah menjadi PK Kokurikulum di SMK Taman Panglima, tetapi sekarang saya tidak begitu pasti.
20 Bukan satu kebiasaan seorang Melayu berkongsi bilik dengan bangsa yang berlainan dalam suatu jangka masa yang agak lama atas alasan hilang privacy, rasa takut, curiga, dan banyak lagi.
21 Kami bangun awal pada setiap pagi. Saya solat Subuh, dia pula memuja Tuhannya, siap dipasang kaset dengan lagu-lagu ketuhanan di biliknya. Jelas bunyinya, itu berlaku selama setahun.
22 Kawan-kawan saya kata tak takutkah. Saya beritahu mereka saya nak takut apa. Dia sembah Tuhan dia, saya sembah Tuhan saya. Lainlah kalau kami tak buat apa-apa amalan agama.
23 Begitu juga halnya semasa menjalani Projek Baktisiswa (Projek Anak Angkat) di Kampung Nelayan, Telok Gong, Pelabuhan Kelang ketika saya di tahun pertama UM.
24 Ketika yang lain memilih pasangan sebangsa dengan mereka saya pula memilih sdr Thilinathan untuk beribu bapa angkatkan Encik Abu.
25 Saya pun sudah terlupa nama penuh bapa angkat saya itu sama ada Abu Samah, Abu Bakar atau Abu sahaja.
26 Tetapi yang penting, saya dan Thilinatan diterima dalam keluarga itu sebagai anak-anak angkat mereka selama seminggu.
Catatan GuruBashid











No user commented in " Beberapa Nama Yang Mengujakan Saya "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply