Sesungguhnya bangsa Melayu tidak membesar dengan pertengkaran antara pemimpinnya, tetapi orang Melayu hanya akan membesar dan berjaya dengan kerja buat para pemimpinnya. Inilah yang telah dilakukan oleh lima orang Perdana Menteri sebelumnya dan kini diteruskan oleh DS Najib,” GuruBashid.

1 Saya tidak fikir sama ada Ibrahim atau pun Khairy sebagai jaguh, jika kedua-duanya terus menerus menyerang antara satu sama lain. Yang penting bukan individu berdua ini tetapi negara Malaysia dengan 27 juta rakyat di dalamnya.

2 Mereka tidak menjadi jaguh pun tak mengapa sebab mereka hanya berdua sedangkan ada lebih daripada 27 juta jiwa yang nasib mereka perlu diperjuangkan.

3 Jika mereka berterusan dengan ego masing-masing mereka bukan sahaja tidak layak menjadi jaguh kepada kumpulan yang mereka wakili, tetapi lebih buruk dari itu mereka akan dilihat sebagai punca kepada perpecahan dan prejudis yang berpanjangan.

4 Ketika masih banyak keutamaan lain yang patut diberikan, bangsa Malaysia khususnya bangsa Melayu tidak patut disibukkan dengan isu-isu seperti ini termasuk pertengkaran antara pemimpin mereka.

5 Saya menghargai perjuangan Ibrahim dan saya juga menghargai pandangan Khairy, tetapi jika kedua-dua idealisme itu cuba diketengahkan sebagai perbezaan untuk sengaja mencari permusuhan saya menentang.

6 Saya tidak menggemari perpecahan di kalangan pemimpin termasuk antara mereka berdua setelah apa yang pernah bangsa Melayu lalui di tanah air mereka sendiri. Tentunya saya lebih-lebih lagi menentang sebarang perpecahan orang Melayu yang berpunca daripada orang Melayu sendiri termasuk yang berpunca daripada mereka berdua.

7 Baik Ibrahim mahupun Khairy, harus sedar bahawa mereka memiliki sekumpulan besar manusia yang mereka wakili.Mereka bukan individu biasa seperti saya yang sebarang tindakan tidak akan memberikan apa-apa makna.

8 Yang seorang mewakili sebuah organisasi besar NGO bangsa Melayu dan yang seorang lagi mewakili majoriti pemuda Melayu.Bukan calang-calang kumpulan yang mereka wakili.Jadi mereka harus lebih berhati-hati dalam percakapan dan tindak tanduk mereka.

9 Jaguh atau juara bukan ditentukan oleh siapa yang lebih kuat mencabar siapa. Ibrahim tidak akan menjadi lebih benar daripada Khairy, begitu juga sebaliknya hanya berasaskan suara siapa antara mereka berdua yang lebih lantang dan keras.

10 Orang Melayu hanya akan mengiktiraf kejaguhan seseorang itu berdasarkan implikasi positif daripada kerja buat mereka ke atas nasib orang Melayu dalam konteks global. Maknanya bangsa Melayu mahu melihat sejauh manakah pemuda UMNO di bawah pimpinan Khairy mahupun Perkasa di bawah pimpinan Ibrahim berupaya menaikkan taraf ekonomi dan pendidikan mereka. Jika belum ada tidak ada sesiapa antara mereka akan diangkat menjadi jaguh.

11 Sebagai guru, saya tidak melihat Ibrahim mahupun Khairy salah. Saya lebih suka melihat bahawa kedua-duanya sedang gigih memperjuangkan nasib bangsa Melayu, tepai tentulah melalui pendekatan yang sedikit berbeza.

12 Perbezaan pendekatan yang wujud antara mereka berdua bukanlah alasan untuk mereka berpecah.Perbezaan itu bukan disengajakan, tetapi tercetus hanyalah apabila mereka melihat kedudukan bangsa Melayu dan pribumi dalam dunia global dari perspektif yang berbeza.

13 Tetapi saya jelas yang kedua-duanya sedang memikirkan nasib dan masa depan umat Melayu dan kemampuan orang Melayu bersaing di dalamnya. Yang satu melihat orang Melayu khususnya di luar bandar perlu terus dibantu agar mampu bersaing dan yang seorang lagi melihat orang Melayu mesti berjuang dan berusaha tanpa bergantung banyak kepada bantuan kerajaan.

14 Tak perlu dibesar-besarkan. Ibrahim dengan Perkasanya ada jalan mereka, teruskan. Khairy dengan pemudanya ada jalannya, teruskan. Mengapa anda melihat jalan yang anda sedang bina sebagai satu “permusuhan” sedangkan ramai orang Melayu melihat anda berdua jika bermuafakat berkeupayaan untuk membantu mereka.

15 Cukuplah perpecahan antara kita selama ini. Jangan ditambah beban ini, takut-takut orang Melayu tak mampu nak memikulnya. Cukuplah jika anda berdua dapat membantu Perdana Menteri melalui kerja buat dalam bidang anda sendiri. Janganlah mencari salah kerana apabila anda mahu mencarinya nescaya anda akan memperolehinya. Bukan satu tetapi banyak. Sebaliknya carilah kekuatan sebab kekuatan itulah yang lebih diperlukan oleh bangsa dan negara anda sekarang.

16 Khairy sebagai pemimpin muda harus belajar menghormati Ibrahim sebab seburuk-buruk Ibrahim pada pandangan Khairy, Ibrahim telah muncul lebih awal daripada Khairy dan telah masak dengan pengalaman jatuh bangun yang dilaluinya. Kepada Ibrahim pula belajarlah bersabar dengan keterbukaan dan ghairah generasi muda sebab dunia global yang mereka lalui yang membentuk fikiran mereka begitu.Ianya tidak terjadi begitu-begitu sahaja.

17 Yang penting kedua-dua pemimpin mewakili dua zaman itu harus berpegang kepada prinsip sinergi untuk mencapai situasi menang-menang yang natijah akhirnya menguntungkan bangsa Melayu. Sinergi yang saya maksudkan ialah apabila pemikiran Ibrahim ditambah dengan pemikiran Khairy akan menjadi pemikiran positif berganda untuk rakyat Malaysia, termasuk bangsa Melayu. Yang penting siapa pun mereka dalam fikiran mereka boleh global, tetapi dalam setiap tindakan, mereka wajar melihat situasi dan keperluan lokal.

Hakcipta Abd Bashid Harun