Berada di Kebun Guru selama 3 jam sungguh mengasyikkan dan menyeronokkan, terutama bagi dua anak saya, izzah dan iqah yang benar-benar teruja memetik sendiri buah avocado dan buah markisa. Itu pertama kali mereka memetik sendiri buah avocado dan markisa, serta melihatnya dari dekat. Pokok markisa yang tumbuh menjalar ditanam sepanjang pagar yang memisahkan jalan dengan kebun. Kami terpaksa menyelak daun-daunnya untuk melihat sama ada buah markisa ada atau tidak di situ. Selain dua anak saya, saya turut ditemani Encik Mustafa yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Janggut, pakar pembancuh ubat tradisional dan pemilik lot tanah herba di Kuala Sepetang dan Tok Imam Shahruddin, pesara pegawai hutan. Pengurus Kebun Guru, Ustaz Mat bersedia dari awal lagi untuk membawa kami ke seluruh kebun yang keluasannya mencecah 9 ekar. Mula-mula kami dibawa ke kolam ternakan ikan keli, kolam ternakan ikan talapia merah dan 8 buah kolam simen untuk ternakan ikan hiasan. Selepas itu kami diajak memetik sendiri buah avocado. Pokok yang mengandungi Omega 3 itu ditanam sebanyak 100 batang pada tahun 2000 tetapi yang hidup hanya lebih kurang 30 pokok.Dan dari jumlah itu yang berbuah lebat baru 3 pokok sahaja. Terdapat beberapa spesis pokok avocado yang ditanam di Kebun Guru, antaranya dari spesis Australia dan Sabah.Di hadapan kami, di kawasan yang sedikit tinggi kami melihat beberapa ekor lembu sedang meragut rumput di celah-celah pokok getah. Selepas mengambil beberapa keping gambar, kami bergerak pula ke kawasan kebun di sebelah lata(air terjun) untuk meninjau-ninjau tapak perkhemahan motivasi yang baru di peringkat perancangan. Kami disambut dengan bunyi air terjun -sungguh tenang dan damai.Di sinilah kami bercadang membina sebuah barung terbuka untuk tempat ceramah, dan 10 buah khemah yang boleh menempatkan 50 orang peserta untuk satu satu masa.Anak-anak saya melompat-lompat keriangan tak sabar-sabar untuk turun mandi di lata. Sementara mereka mandi di lata sambil meluncur di batu mengikut arah air terjun, kami bersantai dan berbual-bual di serambi balai pemerhati yang dibina di antara kebun dan lata. Di situ kami berbua-bual tentang kemungkinan menanam pokok gaharu dan pokok teja yang begitu bernilai tinggi sekarang. Dalam perjalanan ke kereta untuk pulang, saya sempat mengambil gambar beberapa batang pokok salak (masih belum mengeluarkan buah), pokok tarap dan pokok limau bali. Kami diajak singgah sebentar di rumah Kak Hendon, isteri muda Ustaz Mat untuk berehat dan minum-minum.Selain mi goreng, kami turut dihidangkan dengan jus avocado dan limau bali. Terima kasih kepada ustaz Mat dan isteri, Kak Hendon yang melayan kami dengan baik.Hakcipta GuruBashid


















6 users commented in " 3 Jam Di Kebun Guru "
Follow-up comment rss or Leave a Trackbackakum ust.bashid….pertanian adalah perniagaan, itulah kata-kata yang hangat diperkatakan sekarang. berbudi kepada tanah memang sangat banyak faedahnya. saya berminat sangat dengan pertanian ni. Insya Allah satu hari nanti saya dapat mengusahakan jugak sesuatu sebegaimana yang diusahakan oleh Ustaz Mat. Benih tarap tu diambil dari Sabah ke?
Wa’alaikumussalam wr wbt.Ya, begitulah. Ada dua pokok tarap sahaja yang ditanam.Pokok masih kecil dan belum berbuah.Begitu juga benih avocado turut dibawa dari negeri di bawah bayu.Terima kasih dan jumpa lagi.
Wa’alaikumussalam wr wbt.
Saya amat tertarik dengan info Kebu Guru berkaitan buah avocado. Saya ada menanam dua (2) pokok avocado pada tahun 1999 di depan pejabat sekolah tetapi cuma sebatang sahaja yang hidup. Benih pokok tersebut saya perolehi daripada seorang pegawai Mardi di Serdang, dan saya tidak pasti daripada spesies mana. Jika saya perhatikan dengan gambar yang ada ianya hampir serupa. Pada tahun 2002 ianya mula berbuah, tetapi tiada siapa yang berani mengambilnya dan mengenali buah ini. Malahan hampir sahaja ditebang atas arahan pengetua. Nasib baik saya dapat menghalangnya. Pokok ini berbuah sepanjang tahun. Tidak ramai guru yang mengetahui khasiatnya, malahan ramai yang tidak percayai pokok yang rendang itu adalah pokok avocado.
Setiap kali berbuah saya memetik yang tua dan diperam. Selalunya buah yang masak saya jadikan jus minuman ( ais blend + susu rendah lemak + madu). Anak-anak cukup gemar dengan resepi minuman khasiat ini. Saya cuba promote kepada guru-guru lain tetapi mereka tidak menggemarinya.
Info selanjutnya di http://health.discovery.com/convergence/truth/foodarticles/avocado.html
Terima kasih atas komen yang diberi.Memang benar bukan mudah untuk mempromosikan avocado kepada orang ramai. Masyarakat Cina termasuk penjual buah-buahan di tempat saya, Taiping pun tidak begitu mengenali buah exotic ini. Puas saya menerangkannya baru mereka faham. tetapi saya yakin buah ini akan dikenali suatu hari nanti di Semenanjung jika promosi dan publisiti dilakukan secara berterusan mengenai buah ini. Saya juga mengucapkan terima kasih atas kiriman link yang berkaitan avocado. Selalulah berkunjung ke laman ini. Wassalam
Di sini saya sertakan gambar pokok dan buah avocado yang saya maksudkan.
Sila kliks di sini : http://my.inbox.com/photos/ijas/index.aspx
Saya dah lama cari orang yg tanam avocado. Saya sekeluarga memang minat makan buah ni, tapi beli dari pasaraya harga RM4 - Rm5 sebiji.
Saya baru je tanam sepokok, baru setinggi 4 kaki. Saya nak minta izin dari ustaz dan ijasss untuk simpan gambar avocado ini di website kebunmalaysia.
Saya kat JB.
Leave A Reply