KEPUTUSAN Pilihanraya Kampus di 9 buah universiti  telah pun diketahui. Nampaknya calon proaspirasi menang besar di kesembilan-sembilan universiti itu. Keputusan di Universiti Malaya terpaksa ditangguhkan kerana masalah di Kolej ke-12. Zaman saya dahulu tiada calon proaspirasi dan promahasiswa. Yang ada adalah  individu yang bertanding atas kekuatan peribadi. Kalau ada kumpulan pun, itu hanyalah himpunan beberapa individu yang mempunyai kekuatan tersendiri yang bergabung sebagai satu strategi untuk memenangi pilihanraya. Saya sendiri pernah terlibat dalam dua pilihanraya di Universiti Malaya, satu di peringkat kampus dan satu lagi pilihanraya di peringkat asrama. Pada peringkat awal saya menyimpan hasrat untuk bertanding sendiri sebab saya yakin yang saya punya ramai penyokong. Lagipun saya dianggap selamat untuk diundi. Alasannya mudah kerana saya masih bebas daripada sebarang stigma kepartian. Saya mahu bertanding atas nama saya sendiri tanpa dikaitkan dengan mana-mana parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Hasrat saya ini diketahui oleh rakan-rakan rapat saya di Astar (Asrama Tuanku Abdul Rahman). Nampaknya mereka menyokong hasrat saya untuk bertanding. Hasrat saya untuk bertanding bersendirian tiba-tiba sahaja bertukar apabila saya didatangi oleh sdr Taqiyuddin Hassan (peguam di Kelantan) yang meminta saya menyertai pasukan beliau. Saya kata saya akan tetap bertanding walaupun saya terpaksa bersendirian. Namun atas hasrat untuk membantu kawan lama semasa di Kolej Islam Kelang, saya beritahu bahawa saya bersedia bertanding dalam kumpulan beliau tetapi saya tidak mahu dikaitkan dengan imej beliau. Saya juga mengenakan syarat supaya tiada elemen kepartian dibawa ke dalam pasukan yang saya diminta bergabung. Beliau bersetuju. Akhirnya saya akur untuk bergabung dengan pasukannya atas pertimbangan strategi sahaja bukan kerana saya menyokong beliau. Saya diberi peluang untuk berkempen. Saya masih ingat ucapan pendek saya. Bagi saya mahasiswa tidak perlu disogok dengan ucapan yang panjang berjela, berapi-api dan menabur pelbagai janji. Saya lebih suka stail kempen yang bersahaja dan ucapan yang paling ringkas tanpa sebarang janji.Saya beritahu kepada para mahasiswa beri peluang kepada saya untuk menganggotai PMUM dengan mengundi saya. Saya menyebut nama saya. Keputusannya, pasukan yang saya sertai hanya menang sebahagian dan sebahagian lagi dimenangi oleh pasukan yang dikepalai oleh Ti Lian Ker. Tetapi saya berbangga dengan undi yang saya perolehi. Saya  mendapat undi terbanyak di kalangan calon Melayu, dan kedua terbanyak undi keseluruhan di belakang Ti Lian Ker (bekas ADUN Indera Mahkota dan Teruntum, Pahang). Ternyata kemenangan 50/50 yang diperoleh menyebabkan agak sukar kami nak melaksanakan agenda/program.   Di kalangan AJK Melayu mereka mahukan Taqiyuddin menjadi Presiden, namun Ti Lian Ker datang menemui saya dan menyatakan yang bukan Melayu mahukan saya menjadi Presiden. Tetapi saya tidak mengambil peluang itu untuk menempatkan diri saya dalam PMUM. Saya tahu benar maksud permainan politik seperti ini. Walaupun dari isme dan pendekatan saya tidak sehaluan dengan Taqiyuddin, namun saya masih waras dengan mengambil kira bahawa saya memenangi pertandingan itu ketika saya dalam pasukan Taqiyuddin. Saya menolak undangan yang mengandungi perencah udang itu. Akhirnya PMUM sesi 1983/1984 berjalan tanpa boleh berbuat apa-apa. Di sinilah saya setuju dengan pendapat bahawa untuk memudahkan kita melaksanakan kerja-kerja kita, kemenangan dengan majoriti besar adalah diperlukan. Sebab itu saya faham benar kalau dalam kempen-kempen pilihanraya umum, parti kerajaan selalu merayu pengundi agar keluar mengundi dan memberi kemenangan besar kepada calon kerajaan. Bukan sekadar majoriti mudah 2/3, tetapi majoriti besar. Berbalik kepada cerita saya tadi saya sebenarnya agak kecewa dengan keadaan yang berlaku. Sebagai seorang yang aktif, saya rasa kemenangan saya dalam pilihan raya kampus UM sesi 1983/84 dan kedudukan saya sebagai Exco PMUM ketika itu tidak bermakna. Sekadar menang besar dan menjadi exco tetapi tak boleh berbuat apa-apa. Maka saya memasang hasrat untuk bertanding di peringkat asrama. Ketika itu saya menjadi penghuni asrama pertama, Universiti Malaya. Waktu itu yang menjadi Pengetuanya ialah Abd Ghani Hj Othman yang sekarang Dato’ Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor. Detik ini bermula apabila saya dilantik sebagai Timbalan JKO (Jawatankuasa Orientasi) pelajar-pelajar baru. Waktu itu yang menjadi Pengerusi JKO ialah Aznil Nawawi (Pengacara AF). Dalam satu perbualan antara Aznil dan saya, Aznil pernah bertanya kepada saya sama ada saya akan bertanding atau tidak. Saya beritahu beliau yang saya akan bertanding jika ada permintaan. Aznil memujuk saya agar tidak bertanding. Saya beritahu Aznil bahawa ini semua belum tentu. Terpulang kepada penyokong saya. Dari sehari ke sehari saya ditemui penghuni asrama meminta saya bertanding. Saya dengar desas-desus yang Abdul Ghani sendiri lebih suka Aznil. Desas desus itu tidak menghalang saya untuk meneruskan hasrat saya untuk bertanding. Saya mendapat sokongan daripada kumpulan sederhana, matrikulasi dan surau. Al-Baishah Haji Abdul Manan (sekarang majisteret di Syah Alam) waktu tu meminta saya bertanding. Dia memberitahu saya majoriti penghuni di Astar lebih sukakan saya kerana menurut mereka saya tidak hanya tertumpu kepada budaya (seni) sebagaimana Aznil. Semua faktor itu saya kumpul. Setelah difikirkan untung ruginya saya pun mengambil keputusan untuk bertanding. Saya pun mula mengumpulkan barisan kabinet bayangan saya. Begitu juga Aznil. Saya masih ingat antara kabinet bayangan saya itu ialah Suhaimi Che Husain (bekas Setiausaha Politk Yusof Noor). Al-Hamdulillah dalam pertandingan itu saya dan semua calon yang saya senaraikan menang. Dan saya sendiri menang dengan kelebihan 7 undi. Dari segi demokrasi saya tetap menang tetapi realitinya yang tidak prosaya dan pasukan saya mereka menggunakan ini sebagai alasan. Abdul Ghani sendiri menyuruh saya melepaskan jawatan itu dan memberi peluang kepada Aznil. Tetapi saya jelaskan kepada beliau walaupun saya menang 1 undi saya tetap menang. Inikan pula 7 undi. Lagipun penyokong memilih saya, saya tak kan mengecewakan penyokong-penyokong saya. Begitulah antara kata-kata saya sewaktu dipanggil oleh Abdul Ghani di kediamannya. Sejak itulah hubungan saya dengan Aznil dan Abdul Ghani tidak begitu baik.