Setahu saya belum ada satu dapatan emperikal atau kajian komprehensif dibuat di negara ini tentang siapa sebenarnya yang menjadi pelanggan sekolah. Belum dibuat satu pemerhatian profesional atau bercorak saintifik tentang keutamaan yang diberikan oleh sekolah terhadap para pelanggannya. Sekolah belum dapat menyenaraikan mana-mana pelanggan yang lebih utama berdasarkan kedudukan, masa yang diperuntukkan untuk berurusan dengan mereka atau tanggungjawab yang patut ditunaikan oleh sekolah terhadap mereka. Di Malaysia belum ada satu kajian dibuat tentang pelanggan sekolah yang menjadi keutamaan walaupun selalu disebut bahawa pelajar itu adalah pelanggan utama. Belum juga dapat dibezakan dengan jelas antara siapa itu klien, pelanggan dan stake holders. Berdasarkan kelemahan yang wujud dalam mengendalikan hubungan luar seperti sekarang ini maka terlebih dahulu pengurusan sekolah wajar menyenaraikan klien-klien sekolah yang dijangkakan. Di peringkat ini semua klien yang berkemungkinan berhubung dengan sekolah daripada yang sekecil-kecilnya sehingga yang sebesar-besarnya hendaklah disenaraikan. Jangan ada yang tercicir dalam senarai itu.Di peringkat kedua senaraikan klien-klien yang benar-benar pernah berhubung dengan sekolah. Selepas itu susun klien-klien tersebut menurut keutamaan. Keutamaan klien sekolah ditentukan oleh variable berikut: kekerapan datang ke sekolah, kekerapan dihubungi atau menghubungi melalui telefon dan surat, lama masa yang diambil dalam berurusan dengannya, pemberatan tanggungjawab dan peranan yang dipikul terhadap klien tersebut, di samping kedudukan dan hubungan klien tersebut dengan pihak sekolah. Satu rekod pemerhatian ke atas klien-klien tersebut hendaklah disediakan, di samping buku kehadiran. Ini termasuklah buku pelawat. Dengan menyemak rekod pemerhatian, serta buku kehadiran sekolah, pihak pengurusan sekolah dapat membuat kesimpulan siapakah sebenarnya klien yang menjadi keutamaan sekolah. Selepas semua itu dilaksanakan, senaraikan sepuluh klien sebenar sekolah yang disusun mengikut ranking. Jika senarai keutamaan sebelum ini tidak sama pihak sekolah hendaklah bersedia mengubahnya, kerana senarai baru inilah yang lebih wajar digunakan kerana diperoleh melalui pemerhatian , rekod dan kajian. Pihak sekolah kini, khususnya pengetua telah pun berjaya mengenal pasti klien-kilennya.


















No user commented in " Sekolah Perlu Kenal Pasti Pelanggan "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply