Adakah melakukan perubahan itu satu kemestian bagi seseorang pengetua yang baru  bertugas atau bertukar di sesebuah sekolah? Bagaimana kalau sekolah itu sudah cukup lengkap dan ada segala-galanya? Masih relevankah  perubahan itu? Inilah beberapa persoalan yang sengaja saya timbulkan sebagai panduan kepada pengetua-pengetua. Sebenarnya perubahan tidak pernah tamat dan tiada had waktu untuk melaksanakannya. Perubahan adalah proses yang sentiasa berlaku. Yang baharu pada hari ini tidak lagi baharu selepas sebulan atau beberapa bulan. Perubahan itu pula bukan sekadar fizikalnya tetapi seluruh bidang termasuk perubahan iklim sekolah, pencapaian pelajar dalam akademik dan kokurikulum, budaya sekolah, dan banyak lagi. Memandangkan betapa luasnya aspek yang boleh dilakukan perubahan, maka perubahan patut berlaku secara berterusan dan dilakukan oleh pengetua. Pengetua harus cekap menghidu aspek manakah yang patut diberi perhatian untuk dilakukan penambahbaikan agar  perubahan itu tidak mencacatkan sebaliknya dilihat akan menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Kita tidak mahu perubahan yang dibuat dengan tujuan asalnya untuk menjadikan sesuatu itu lebih baik atau lebih cantik tiba-tiba sahaja berlaku di sebaliknya. Sebagai contoh seseorang pengetua ingin mencantikkan pokok tetapi apa yang benar-benar berlaku pokok itu digondolkan atau dibotakkan.  Kita juga boleh melakukan perubahan kepada sistem yang diamalkan selama ini seperti sistem penyampaian maklumat kepada pelajar, guru-guru dan ibu bapa agar semua maklumat yang disampaikan itu cepat diterima dan difahami dengan tepat.Begitu juga kita boleh mengubahsuai sistem fail, dan sistem yang lain-lain. Pengetua di sekolah saya umpamanya telah mula melakukan perubahan dalam aspek kewangan sekolah agar ia benar-benar menepati undang-undang dan peraturan kewangan. Begitu juga beliau telah mewujudkan sistem fail keluar masuk guru dan cuti secara bepusat. Beberapa instrumen yang berkaitan dengan cuti seperti surat permohonan cuti rehat, kad kebenaran meninggalkan kawasan sekolah, rekod cuti, dan surat sakit diletakkan dalam satu fail. Ini memudahkan pihak pengurusan mengenal pasti pergerakan guru dan rekod cuti mereka. Tak perlu lagi mencari dokumen cuti dalam fail yang diletakkan di tempat yang berbeza atau berlainan. Seperkara lagi pengetua tak perlu mengandaikan bahawa perubahan-perubahan itu hanya untuk aspek yang besar-besar sahaja. Sebenarnya perubahan yang kecil pun jika dilakukan dengan sempurna akan mengubah seluruh sistem dan tingkah laku manusia. Ia umpama memetik switch  pada kotak switch yang akan menggerakkan seluruh tenaga.Hakcipta GuruBashid