1 Meskipun seseorang ketua itu ada kuasa pemutus namun dalam membuat keputusan dia digalakkan berbincang dengan orang-orang kanannya. Jika orang kanannya itu ada empat, maka keempat-empat itu harus dilibatkan, bukan hanya memilih seorang dua yang rapat dengannya atau memilih orang yang akan bersetuju sahaja dengannya.

2 Sebagai seorang ketua yang jatuh bangun sesebuah organisasi banyak berpunca daripada keputusan yang dibuat olehnya, dia bukan sahaja wajar membuat keputusan yang betul, pada saat yang betul dan kepada sasaran yang betul, tetapi dia sendiri harus mendapat nasihat yang betul.

3 Seringkali terjadi dalam keadaan tertentu khususnya dalam keadaan terdesak, ketua mengambil keputusan yang salah setelah mendapat nasihat dan pandangan yang tidak tepat.

4 Mendapat nasihat yang betul tidak datang daripada kawan rapat atau orang yang disangkanya baik sahaja, tetapi daripada orang yang berniat jujur terhadap organisasi, yang tidak meletakkan kepentingan individu dan puak tetapi atas kepentingan dan kelangsungan organisasi yang dia sendiri berada di dalamnya.

5 Nasihat yang betul bukan semestinya sedap didengar,berirama membodek tetapi kadang-kadang ia boleh sahaja berbentuk nasihat yang membina dan teguran yang konstruktif.

6 Nasihat yang betul hanya boleh didapati daripada mereka yang terbuka pemikirannya, tidak memihak dan tidak terlalu menjaga hati seseorang tetapi daripada mereka yang lebih mengutamakan survival organisasi.

7 Nasihat yang betul tidak datang daripada mereka yang berpura-pura baik atau orang yang kita sangka baik, sebaliknya nasihat yang betul ialah mereka yang sanggup berkata tidak pada perkara-perkara tertentu.

Nasihat GuruBashid