Beberapa Strategi Kepimpinan Dalam Mengendalikan Organisasi
Abd Bashid bin Harun
(B.A.Hons,Malaya (Pengajian Islam),M.Princ.,Malaya, Dip.NPQH(IAB),Dip Perguruan, IB,KL)
PK HEM SMK Kamunting
1 SEBENARNYA strategi yang paling mudah dan paling biasa digunakan adalah berdasarkan operasi asas dalam subjek Matematik, iaitu Tambah, Campur (+), Tolak, Sisih, Singkir, Kurangkan(-), Ganda, Gabung,Cantum (x) dan Pecah, Agih,Bahagi (÷).
2 Daripada strategi asas inilah kita dengar istilah-istilah yang agak ”ganas” bunyinya serta berupaya menakutkan sesetengah orang seperti cantas, potong, pancung, tukar, pindah dan buang. Sungguh pun ganas, strategi ini dilihat berkesan, khususnya dalam mengendalikan organisasi yang ahli-ahlinya bermasalah.
3 Pemimpin yang lebih berani dan bersedia mengambil risiko akan menggunakan strategi yang jarang-jarang digunakan orang tetapi amat berkesan untuk berhadapan suasana yang kritikal, atau manusia yang degil; atau pesaing yang berniat jahat.
4 Pada pengamatan GuruBashid, Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa beliau menjadi Perdana Menteri telah menggunakan strategi ini dengan begitu berjaya dan bergaya sekali. Strategi yang saya maksudkan ialah mencetuskan krisis.
5 Krisis sengaja dijelmakan bagi menyentap keadaan yang agak aman dan selesa sebelumnya bagi memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang penting yang perlu diketahui oleh orang ramai.
6 Malahan melalui penggunaan strategi ini kita akhirnya akan dapat mengenal pasti siapa kawan, siapa lawan dan siapa pula yang mengambil kesempatan. Dari situlah nanti kita boleh mengukur tentang kekuatan musuh dan kelemahannya. Malahan strategi ini berguna untuk mengukur tahap integriti seseorang.
7 Rupa-rupanya kita lebih mengenali manusia dalam keadaan krisis berbanding dalam keadaan aman. Sebabnya mudah. Bukankah ramai orang yang akan melompat kepanasan dalam menghadapi bahang krisis itu.
8 Semasa mereka melompat sambil menjerit itulah rahsia peribadi mereka akan dikeluarkan bersama lompatan dan jeritan itu. Nampaknya kita tidak perlu bersusah payah membuat soal selidik tentang mereka. Inilah kelebihan strategi mencetuskan krisis.
9 Harus diingat individu yang mampu menggunakan strategi ini hanyalah mereka yang benar-benar bebas daripada sebarang masalah besar yang boleh dimanipulasi oleh pesaing atau musuhnya.
10 Jika tidak, strategi ini akan makan tuan. Contohnya jika pengawas (sekolah) itu merokok, tentulah sukar baginya menggunakan strategi ini ke atas murid yang merokok..
11 Strategi mencetuskan krisis hanya akan berjaya jika seseorang itu benar-benar memiliki rahsia peribadi pesaingnya yang disimpan kemas dan akan digunakan sebagai ”senjata” apabila diperlukan pada masa yang sesuai sahaja.
12 Senjata bermatakan ugutan atau ancaman yang digunakan secara halus dalam strategi ini selalunya akan berjaya mendiamkan pesaing atau musuh. Tetapi jika ada yang berdegil senjata yang pada mulanya hanya menjadi ancaman dan ugutan akan benar-benar digunakan sebagai mesin pembunuh.
13 Wajar diingat salah laku itu bukanlah suatu yang sengaja diada-adakan oleh pemimpin tersebut, tetapi ia benar-benar wujud. Jika kesalahan itu sengaja diada-adakan, strategi itu memang tidak akan menjadi dan penyelesaian terhadap krisis itu tidak akan ada penghujungnya. Malahan individu yang memulakannya akan dibuang dan sesetengahnya tidak berupaya untuk bangkit lagi.
14 Dalam maksud yang lain, mereka yang berani menggunakan strategi mencetuskan krisis mesti sudah tahu bagaimana untuk menyelesaikannya.
15 Jika ia gagal ia akan dianggap musuh kepada organisasinya, tetapi jika ia berjaya, ia angkat dijulang sebagai wira. Inilah yang dilalui Tun Dr Mahathir dalam pengalamannya menggunakan pelbagai strategi yang ampuh untuk menangani pelbagai masalah negara.
16 Walau apa pun strategi dan pendekatan yang kita gunakan, tidak ada satu pun yang lebih baik atau lebih buruk daripada yang satu lagi. Semuanya boleh sahaja menjadi semuanya bagus atau semuanya tidak bagus.
17 Berguna atau tidak bergunanya suatu pendekatan atau strategi itu bergantung kepada kesesuaian dengan faktor persekitaran dan individu atau kumpulan sasaran yang dapatannya telah dirumus daripada analisis K.L.A.P (S.W.O.T) yang telah dibuat sebelum itu.
18 Tanpa satu anasliss yang teperinci tentang kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang wujud dalam sesebuah organisasi dan ahli-ahli di dalamnya, agak sukar suatu strategi itu menemui kejayaan.
19 Kita tidak boleh mengagak-agak dalam memilih strategi untuk organisasi dan individu yang disasarkan. Dalam perkara tertentu faktor agakan mungkin memberikan kita banyak kelebihan, tetapi tidak bagi strategi apatah lagi yang bakal menentukan hidup atau matinya organisasi kita.
20 Apa yang sesuai untuk kita bukanlah menjadi ukuran yang tepat dalam memilih strategi sebab ia mungkin tidak sesuai untuk organisasi dan ahli-ahli seluruhnya.
21 Berlainan halnya dalam memilih makanan dan minuman, kita hanya akan memilih berdasarkan selera kita. Lainlah jika kita terlibat dalam perniagaan makanan, kita akan mengutamakan selera orang lain, bukan lagi selera kita.
22 Ini berbeza dengan strategi dalam organisasi. Strategi kepimpinan organisasi yang berjaya ialah strategi yang dipilih itu telah pun disesuaikan dengan individu, kumpulan atau organisasi yang disasarkan, sekalipun kita tidak begitu menggemarinya.
23 Tegasnya jangan terikut-ikut dengan strategi popular atau strategi rakan organisasi yang lain. Orang lain buat kita pun buat. Apa yang betul pada organisasi jiran tidak semestinya betul untuk organisasi kita. Apa yang dianggap tidak berguna oleh orang lain, mungkin berguna untuk kita.
24 Sebagai contoh, kita selalu menyebutkan tentang strategi atau pendekatan Menang-Menang dalam organisasi. Tetapi dalam keadaan tertentu kita perlu menang dan orang lain kalah, dan pendekatan Menang-Menang itu tidak sesuai langsung dalam keadaan yang begini.
25 Ini sama halnya dalam permainan bola sepak, kita perlu menang dan pasukan lain kalah. Kalau kita bermain dengan tujuan untuk kalah, itu mesti ada yang tidak kena. Besar kemungkinan wujudnya elemen rasuah atau membalas dendam di sana.
26 Keadaan ini sama dalam organisasi. Kita tidak akan membiarkan minoriti yang berkepentingan mengatasi majoriti yang mahukan kebaikan. Nilai yang betul mesti tetap dominan sehingga mengalahkan nilai salah yang cuba dibawa.
27 Kita tidak boleh membiarkan organisasi dikuasai oleh seorang dua manusia daripada spesis perosak ini sedangkan kita sudah tahu mereka membawa virus kepada organisasi.
28 Lainlah halnya jika sikap mengalah diperlukan untuk mengatasi sikap ego seseorang. Tetapi situasi ini jarang-jarang berlaku, melainkan kita benar-benar berkeyakinan yang tindakan kita berbaloi.
29 Saya rela mengalah dan biarlah anda yang menang, asalkan anda akan berubah suatu hari nanti. Jika pendekatan Kalah-Menang boleh mentransformasikan seseorang dan kemudian mentransformasikan organisasi, apa salahnya.
Tamat
Tarikh : 11 OGOS 2011











No user commented in " Beberapa Strategi Kepimpinan Dalam Mengendalikan Organisasi "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply