Disiapkan untuk Ketua Kampung saya, Encik Salleh bin Saad
Sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat
Pada 19 Disember 2010 (Ahad)

Tuan-tuan dan puan-puan, sidang hadirin yang dihormati sekalian.

1 Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wata’ala yang telah memberikan kita kekuatan untuk menjayakan Program Pemimpin Bersama Rakyat dalam kawasan Kg Sg Lidin Baru yang dihoskan oleh Kampung Pak Darus.

2 Tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga kampung, khususnya warga kerja program Pemimpin Bersama Rakyat yang terdiri daripada Ahli Jawtankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung cawangan Kampung Pak Darus di bawah teraju kepimpinan Encik Husin dan Encik Hamzi atas daya usaha untuk mengadakan aktiviti yang sungguh bermakna ini bagi faedah rakyat di kawasan ini.

3 Program ini menjadi lebih bermakna dan bertambah seri lagi apabila dihadiri ramai pemimpin di kawasan kita, pemimpin yang memangnya berjiwa rakyat yang bersdia turun ke lapangan untuk bersama-sama kita.

4 Bagi saya, pemimpin perlu bersama rakyat untuk kebanyakan masa mereka, bukan hanya untuk suatu tempoh waktu tertentu sahaja atau untuk tujuan-tujuan tertentu sahaja.

5 Walaupun pemimpin ada keutamaan yang lain, namun mereka mesti menyediakan mata dan telinga mereka untuk melihat, mendengar dan mengatasi masalah rakyat.

6 Rakyat sebenarnya tidak begitu peduli akan kesibukan pemimpin mereka, tetapi yang mereka tahu apabila ada sahaja aduan yang perlu tindakan segera, pemimpin mereka bersedia untuk mengatasi segera masalah yang sedang berlaku.

7 Syukur al-Hamdulillah, para pemimpin yang kita sayangi melalui teladan yang ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melalui pendekatan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan telah membuktikan yang tindakan telah diambil sebaik-baiknya oleh pemimpin di kawasan kita dengan menjadi orang pertama yang turun ke padang apabila sesuatu kawasan ditimpa musibah.

8 Malahan kita dapat melihat sendiri bagaimana pemimpin yang kita pilih berusaha sedaya upaya mereka untuk memenuhi undangan majlis kenduri dan turut menghadiri majlis kematian apabila mereka mendapat maklumat sekalipun kita tahu yang mereka sentiasa sibuk dengan tugas-tugas penting.

9 Bagi kita sebagai rakyat, Program Pemimpin Bersama Rakyat ini harus diambil kesempatan sepenuhnya untuk menzahirkan rasa hormat dan terima kasih kepada pemimpin kita di pelbagai peringkat yang telah berjasa dalam membangunkan dan memajukan kawasan kita ini.

10 Sebab itulah pihak penganjur menjemput seberapa ramai pemimpin untuk bersama-sama terlibat menceriakan program ini. Tidak kiralah sama ada pemimpin kerajaan, pemimpin politik, pemimpin di peringkat pentadiran, pemimpin di peringkat kampung dan pemimpin NGO, semuanya ada peranan masing-masing dalam membantu kami rakyat.

11 Di peringkat kita pula sebagai rakyat biasa, inilah masanya untuk kita mengeratkan silaturrahim antara kita dan seterusnya memperkukuh perpaduan tanpa mengira perbezaan latar belakang dan aliran politik.

12 Ketahuilah, jumlah kita tidaklah besar dan kita tidaklah sekuat mana jika kita tidak bersatu. Sebatang lidi boleh sahaja dipatahkan dengan mudah, tetapi apabila disusun dengan rapi dan diikat dengan kemas akan menjadikan sebatang penyapu yang bukan sahaja kuat malahan boleh membantu kerja-kerja kita dengan mudah.

13 Sebab itu kita tidak ada pilihan lain, selain bersatu padu dan bekerjasama antara satu dengan lain. Bersatu menjadikan kita teguh, sebaliknya berpecah belah akan menjadikan kita roboh. Kita selalu menyebutkan peribahasa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, namun hari ini saya merayu agar kita melaksanakan dengan bersungguh-sungguh maksud peribahasa ini supaya kita tidak termasuk dalam golongan orang yang rugi; orang yang dikatakan cakap tak serupa bikin.

14 Jika ada program seumpama ini diadakan di tempat kita, berilah sokongan padu untuk menjayakannya. Jika ada idea, berikan idea yang terbaik, bukannya idea yang memecahbelahkan.

15 Jika ada kekuatan tenaga, salurkan tenaga kita untuk menolong mereka yang memerlukan pertolongan bukan untuk tujuan-tujuan kerosakan.

17 Jika kita ada wang ringgit hulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dan kepada program yang berfaedah dan janganlah digunakan untuk tujuan-tujuan pembaziran, sabotaj dan rasuah;

18 Dan jika kita sudah tidak ada apa-apa yang hendak diberi, datanglah beramai-ramai, tunjuk muka manis kita dan hulurkan salam kemaafan dan perpaduan sebagai bukti kita bahawa sama-sama ingin memeriahkan dan mengambil bahagian dalam program sebegini.

19 Akhir kata saya suka berpesan kepada tuan-tuan dan puan-puan bahawa adalah menjadi tugas kita untuk menjaga ahli atau tanggungan di bawah kita.

20 Yang disuruh kita jaga ialah ahli atau anggota di bawah jagaan kita. Jadi janganlah hendaknya kita sibuk menghabiskan masa kita dengan menjaga urusan para pemimpin kita.

21 Pemimpin sememangnya ada tugas mereka iaitu menjaga rakyat atau orang di bawahnya. Kita pula ada tugas kita iaitu menjaga orang di bawah kita seperti anak-anak kita, ahli-ahli kariah kita dan mereka yang berada dalam lingkungan kita.

22 Apabila semua orang memainkan peranan masing-masing dalam lingkungan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka, barulah keadaan akan menjadi lebih aman dan sejahtera.

23 Rumah tangga kita, jiran tetangga kita, masjid dan surau kita, serta kampung kita, insya-Allah akan sejahtera, aman dan tenteram sebab semua orang telah memahami dan menjalankan fungsi masing-masing.

24 Fahamilah sebenar-benarnya maksud Firman Allah, ” jagalah diri kamu dan ahli di bawah jagaan (tanggungan kamu) daripada api neraka,”.

25 Jadi hentikanlah tabiat buruk bercakap dan bergosip tentang pemimpin di atas kita. Tetapi jagalah dan laksanakanlah tugas kita yang ada di hadapan mata dan di sekeliling kita dengan sebaik-baiknya, baik kita sebagai ayah, emak, datuk, nenek, orang yang lebih tua, guru, imam, dan ahli qariah.

26 Sedarlah semua orang ada tugas yang perlu dilaksanakan, tak kiralah sama ada tugas itu besar atau pun kecil. Dalam melaksanakan sesuatu tugas, tidak ada bezanya antara seorang Perdana Menteri dan Tukang cuci, sebab semua mereka akan ditanya tentang tanggungjawab yang telah mereka tunaikan.

27 Terima kasih sekali lagi kepada para pemimpin kami yang selama ini bersedia mendengar pandangan kami, dan kepada semua tetamu yang hadir untuk menyokong program Pemimpin Bersama Rakyat ini.

28 Terima kasih daun keladi kepada semua para penaja dan dermawan kepada program ini.

29 Terima kasih kepada semua pihak, termasuk kepada mereka yang tidak dapat disebutkan satu persatu namanya di sini yang telah menyumbang untuk menjayakan program ini secara l;angsung dan tidak langsung.

30 Insya-Allah jumpa lagi pada tahun hadapan jika diberi kesempatan dan ada umur yang panjang.

31 Terima kasih kepada semua, mohon maaf daripada saya,

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.