Kepemimpinan berkaitan dengan proses bagaimana seseorang mempengaruhi orang lain supaya mengikutnya untuk melaksanakan tugas-tugas organisasi agar matlamat organisasi tercapai. Dalam erti kata lain kepemimpinan adalah proses pengaruh-mempengaruhi antara pemimpin dan pengikut untuk mencapai matlamat organisasi.Untuk mempengaruhi pengikut sekurang kurangnya terdapat SEMBILAN taktik yang boleh digunakan. Sembilan taktik itu ialah taktik pujukan rasional, taktik daya tarikan inspirasi, taktik perundingan, taktik mendapatkan simpati, taktik daya tarikan peribadi, taktik pertukaran, taktik gabungan, taktik sah dan taktik tekanan. 1)Dalam taktik pujukan rasional penggunaan hujah yang logik dan mempunyai bukti-bukti nyata semasa memujuk orang bawahan digunakan dalam melaksanakan sesuatu. Akan tetapi taktik ini hanya berkesan jika pemimpin mempunyai sifat yang jujur dan mempunyai kemahiran berkomunikasi yang tinggi. 2)Taktik daya tarikan inspirasi pula merupakan satu taktik mempengaruhi orang bawahan dengan cara membangkitkan semangat dan emosi. Taktik ini hanya berkesan jika pemimpin mempunyai kemahiran yang tinggi dalam berkomunikasi dan berkebolehan menggunakan metafora serta dengan gaya dan gerak geri yang menarik. 3)Dalam taktik perundingan pula seseorang pemimpin itu memberi peluang atau mengajak orang bawahan memberi pendapat, pandangan, kaedah dan cara-cara melaksanakan sesuatu untuk mencapai sesuatu objektif. Taktik ini menjadi lebih berkesan jika pemimpin mempunyai kebolehan mendengar yang tinggi serta boleh memujuk orang bawahan. 4)Pemimpin yang menggunakan tahap hubungan setiakawan yang baik dengan orang bawahan untuk memujuk orang bawahan melaksanakan tugas adalah pemimpin yang menggunakan taktik daya tarikan peribadi. Taktik ini berkesan jika hubungan pemimpin dengan pengikut akrab dan pengikut taksub kepada pemimpin.5)Pemimpin yang menggunakan orang lain untuk mempengaruhi orang bawahan melaksanakan tugas pula dikatakan telah menngunakan taktik gabungan. Namun taktik gabungan ini hanya berkesan jika pemimpin mempunyai ramai orang berpengaruh. 6)Taktik mendapatkan simpati pula berkaitan dengan taktik berbuat baik sambil merayu. Biasanya taktik ini dilaksanakan melalui orang ketiga hingga menyebabkan orang bawahan berasa mereka dihargai dan paling layak untuk melaksanakan sesuatu tugas. Taktik ini berkesan jika orang bawahan mengamati pemimpin mereka adalah jujur. 7)Taktik pertukaran pula menggunakan ganjaran untuk mempengaruhi. Itu pun jika bawahan berasa ganjaran adalah penting kepada mereka. Taktik ini berkesan jika pemimpin benar-benar memiliki ganjaran yang mereka perlukan. 8)Jika pemimpin itu menggunakan kedudukan, peraturan dan tradisi organisasi untuk mempengaruhi orang bawahan melaksanakan tugas, itu bermakna pemimpin tersebut menggunakan taktik sah. Taktik ini berkesan jika pemimpin mempunyai autoriti formal.9)Jika semua taktik ini gagal, gunakanlah taktik terakhir iaitu taktik tekanan. Ini merupakan ancaman, ugutan dan amaran daripada pemimpin semasa mengarah bawahan melaksanakan tugas.