Dalam dunia politik kelulusan anda hampir tidak dipedulikan orang. Apabila anda tercebur dalam dunia politik anda yang berkelulusan PhD, Master atau B.A mesti bersedia dipimpin oleh mereka yang berkelulusan sekolah rendah, LCE, SRP mahupun SPM.

Dalam dunia politik anda seolah-olah dipaksa untuk memihak dan mencari salah individu yang menjadi pesaing anda. Anda tidak benar-benar bebas, sebab kadang-kadang ada tangan-tangan lain yang mengatur untuk anda. Mereka ini menentukan apa yang anda boleh buat dan apa pula yang anda tidak boleh buat.

Dalam dunia politik apa-apa pun boleh berlaku. Apa yang anda telah aturkan boleh sahaja bertukar kerana campurtangan seseorang. Anda tidak dapat mengelakkannya walau pun anda cuba lari daripadanya.

Seseorang yang mendakwa sangat cintakan parti tetapi tindak tanduknya hanya menggambarkan menjaga kepentingan diri melebihi kepentingan parti boleh sahaja wujud dalam dunia politik.

Percakapan dalam dunia politik penuh dengan kata-kata yang berbaur “ancaman” atau “ugutan”. “Jika anda gagal, anda akan hilang segala-galanya”, inilah antara kata-kata ancaman yang mungkin muncul dalam dunia politik.

Dalam dunia politik anda kadang-kadang berjumpa dengan seseorang yang meminta anda menyenaraikan kelemahan atau kekurangan pihak yang satu lagi sedangkan dalam dunia pendidikan menuntut anda melihat kelebihan yang ada pada anda dan team anda yang boleh dimanfaatkan oleh parti.

Apabila kita melihat ini, jauh dunia pendidikan lebih sakral stau suci sifatnya daripada dunia politik. Maka kehadiran GuruBashid dalam arena politik kecil-kecilan ini ingin membawa elemen murni dalam dunia pendidikan seperti menghormati mereka yang berilmu, berhusnudzan (bersangka baik) dan penuh keikhlasan ke dalam dunia politik. Mustahilkah apa yang cuba dibawa oleh GuruBashid ini?

Hakcipta Abd Bashid Harun