STRATEGI PENGAWAS

1 Seseorang mungkin bertanya kepada saya apakah bezanya antara strategi, pendekatan dan taktik. Adakah ketiga-tiganya membawa maksud yang sama? Adakah ketiga-tiganya saling mengambil alih fungsi? Apakah yang datang dahulu, strategi, pendekatan atau taktik?

2 Sebenarnya ketiga-tiganya adalah adik beradik yang mempunyai hubungan yang sangat kuat. Anda boleh sahaja secara literalnya menyebut ketiga-tiganya sama ada sebagai pendekatan, strategi atau taktik.

3 Yang penting, ketiga-tiganya mesti betul dan tepat. Tidak boleh ada salah satunya salah. Jika satu sahaja yang salah, dua elemen yang lain akan turut gagal. Dan akhirnya objektif yang disasarkan sebelumnya tidak akan tercapai atau lebih tepat lagi, sia-sia.

4 Manakah yang lebih dahulu di antara strategi, pendekatan dan taktik? Sama seperti soalan popular yang sering diajukan, antara ayam dan telur ayam, yang mana keluar dahulu . Sebenarnya jawapannya terpulang kepada keadaan. Tetapi kebiasaannya strategi dahulu, kemudian diikuti dengan pendekatan dan akhir sekali taktik. Perhatikan situasi di bawah bagi memahami dengan jelas perbezaan antara strategi, pendekatan dan taktik.

5 Pihak tentera sebagai contoh akan mengumpulkan dan mendapatkan sebanyak-banyaknya maklumat untuk mengenal pasti lokaliti kawasan musuh dan tahap kekuatannya. Pengumpulan maklumat melalui penyamaran atau memecahkan kod keselamatan musuh melalui internet adalah satu bentuk STRATEGI yang digunakan. Biasanya strategi merujuk kepada seuatu untuk jangka panjang dan sederhana panjang.

6 Setelah semua maklumat diperolehi dan persiapan diatur tentera perlu mendekati kawasan musuh dengan cara menyusup masuk pada waktu malam menggunakan kenderaan pekerja tanpa disedari musuh. Menyusup masuk pada waktu malam menggunakan kenderaan pekerja itu adalah salah satu PENDEKATAN yang boleh digunakan untuk mendekati dan memasuki kawasan musuh.

7 Apabila sudah berada di dalam kawasan musuh barulah gambaran sebenar diperolehi dan wajah sebenar musuh diketahui. Maka di situ kita perlu menggunakan TAKTIK yang sesuai untuk menggempur dan membunuh musuh.

8 Askar tersebut tidak boleh mengandaikan dengan satu atau dua taktik yang digunakan dia boleh memenangi peperangan itu. Apa yang sebenarnya terjadi taktik yang digunakan itu tidak mencukupi atau tidak sesuai sama sekali untuk berhadapan dengan kekuatan musuh yang tidak dijangkakan. Maka askar terpaksa menukarkannya kepada taktik yang lebih sesuai atau menambah beberapa taktik lain.

9 Jadi dalam erti kata lain, kita memerlukan banyak taktik, beberapa pendekatan dan hanya satu atau dua strategi. Jika strategi dan pendekatan digunakan sebelum bertempur atau berlawan, taktik pula digunakan semasa bertempur.

10 Ini samalah keadaannya dengan pasukan bola sepak yang akan menghadapi pertandingan bola sepak Pra-Piala Dunia dan seterusnya untuk Piala Dunia. Strateginya mungkin menghantar pemain-pemain penyerang berlatih selama setahun di luar negara.

11 Pendekatannya memilih satu kelab dari Asia (bukan dari Eropah) yang benar-benar berkemampuan serta ikhlas untuk memberikan latihan.

12 Tetapi latihan yang diterima di luar negara dan pengalaman bermain di kelab utama tidak akan membantu jika taktik bermain dalam tempoh 90 minit masa perlawanan tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.

13 Dalam erti kata lain, anda boleh mengatur strategi hebat, pendekatan tepat namun yang paling penting ialah 90 minit tempoh permainan itu.

14 Anda tentu pernah mendengar tentang strategi devide and rule atau pecah dan perintah yang digunakan oleh pihak berkuasa British untuk mengukuhkan cengkaman mereka di Tanah Melayu.

15 Anda juga mungkin pernah mendengar tentang strategi pengasingan, pemisahan, catuan, penghitaman dan pemutihan kawasan yang digunakan oleh pihak British semasa negara dilanda darurat.

16 Banyak pihak berkuasa tempatan, termauk MPT menggunakan pendekatan 5S . 5S boleh sahaja bermaksud Sisih, Susun, Simpan, Serang dan Sita.

17 Sebenarnya strategi yang paling mudah dan biasa digunakan adalah berdasarkan operasi asas dalam subjek Matematik, iaitu Tambah (+), Tolak, Sisih, Kurangkan, Buang (-), Ganda, Gabung,Cantum (x) dan Pecah, Agih (÷).

18 Mereka yang lebih berani dan bersedia mengambil risiko akan menggunakan strategi yang jarang-jarang digunakan orang tetapi amat berkesan untuk berhadapan suasana yang kritikal, atau manusia yang degil; atau pesaing.

19 Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa beliau menjadi Perdana Menteri telah menggunakan strategi ini dengan begitu berjaya dan bergaya sekali. Strategi yang saya maksudkan ialah mencetuskan krisis.

20 Krisis sengaja dijelmakan bagi menyentap keadaan yang agak aman sebelumnya bagi memberi gambaran bahawa ada suatu yang penting yang perlu diketahui oleh orang ramai.

21 Harus diingat individu yang mampu menggunakan strategi ini ialah mereka yang bebas daripada sebarang masalah besar yang boleh dimanipulasi oleh pesaing atau musuhnya. Jika tidak strategi ini akan makan tuan.

22 Strategi mencetuskan krisis ini hanya berjaya digunakan jika seseorang itu benar-benar memiliki rekod peribadi dan perilaku pesaingnya sehingga semuanya berada di hujung jarinya.

23 Wajar diingat salah laku itu bukanlah suatu yang direka tetapi benar-benar berlaku. Jika kesalahan itu sengaja diadakan-adakan, strategi itu memang tidak akan menjadi dan penyelesaian terhadap krisis itu tidak akan ada penghujungnya.

24 Dalam maksud yang lain, mereka yang berani menggunakan strategi mencetuskan krisis mesti sudah tahu bagaimana untuk menyelesaikannya. Jika ia gagal ia akan dianggap musuh kepada organisasinya, tetapi jika ia berjaya, ia angkat dijulang sebagai wira. Inilah yang dilalui Tun Dr Mahathir dalam pengalamannya menggunakan pelbagai strategi yang ampuh untuk menangani pelbagai masalah negara.

25 Apa pun strategi dan pendekatan yang kita gunakan, tidak ada satu pun yang lebih baik atau lebih buruk daripada yang satu lagi. Semuanya boleh sahaja menjadi semuanya bagus atau semuanya tidak bagus. Berguna atau tidak bergunanya suatu pendekatan dan strategi itu bergantung kepada kesesuaian dengan faktor persekitaran dan kumpulan sasaran yang telah dirumus daripada Analisis K.L.A.P (S.W.O.T) yang saya terangkan sebelum ini.

26 Sebagai contoh, kita selalu menyebutkan tentang atau strategi pendekatan Menang-Menang dalam organisasi. Tetapi dalam keadaan tertentu kita perlu menang dan orang lain kalah, dan pendekatan Menang-Menang itu tidak sesuai langsung dalam keadaan yang begini. Ini sama halnya dalam permainan bola sepak, kita perlu menang dan pasukan lain kalah. Kalau kita bermain dengan tujuan untuk kalah, itu mesti ada yang tidak kena. Mesti ada elemen rasuah atau membalas dendam di sana.

27 Keadaan ini sama dalam organisasi. Kita tidak akan membiarkan minoriti yang berkepentingan mengatasi majoriti yang mahukan kebaikan. Nilai yang betul mesti tetap dominan sehingga mengalahkan nilai salah yang cuba dibawa.

28 Kita tidak boleh membiarkan organisasi dikuasai oleh seorang dua manusia dari spesis perosak ini sedangkan kita sudah tahu mereka membawa virus kepada organisasi.

29 Lainlah halnya jika sikap mengalah diperlukan untuk mengatasi sikap ego seseorang. Tetapi situasi ini jarang-jarang berlaku, melainkan kita benar-benar berkeyakinan yang tindakan kita berbaloi.Saya rela mengalah dan biarlah anda yang menang, asalkan anda akan berubah suatu hari nanti. Jika pendekatan Kalah-Menang boleh mentransformasikan seseorang dan kemudian mentransformasikan organisasi, apa salahnya.

30 Maka berdasarkan huraian di atas, senarai strategi dan pendekatan di bawah boleh sahaja menjadi pilihan yang berguna kepada pengawas sekolah dalam memandu bagi melakukan transformasi organisasi HEM pada tahun 2011.

31 Antara strategi yang dimaksudkan ialah, (i)Tukar(/Penukaran) (ii) Pindah(Pemindahan) (iii), Cantas(ambil yang berguna sahaja) (iv) Potong(Pemotongan/Pengurangan) (v) Sisih(Penyingkiran), (vi) Asing(Pengasingan), (vii) Pisah(Pemisahan (viii)Gabung(Penggabungan) (ix) Cantum (Percantuman) (x) Pulau (Pemulauan/Ignore) (xi)Ganti(Penggantian), (xii)Kawal (Pengawalan), (xiii) Sibukkan (Beri kerja supaya tidak duduk diam) (xiv)Gertak/Ugut, (xv) Biarkan, dan lain-lain.

Hakcipta Abd Bashid Bin Harun
PK HEM SMK Kamunting