Jangan terlalu gembira dengan sebuah organisasi yang didakwa sebagai aktif, sedangkan realitinya organisasi tersebut hanya memenatkan dua tiga orang AJKnya sahaja.Jika ini realitinya, itulah petanda kegagalan parti. Sebagai sebuah organisasi, apa yang sewajarnya kelihatan dalam pelaksanaan kerja-kerja berparti ialah aspek pengagihan tugas, penurunan kuasa dan jalinan kerjasama antara ahli.” GuruBashid

1. Pengenalan

1.1 Pada asalnya tulisan ini hanya mahu memberi tumpuan kepada kekangan atau masalah-masalah yang berlaku di dalam parti UMNO Cawangan Pengkalan Aur (selepas ini disebut UMNO Pengkalan Aur sahaja).Tetapi untuk mengelakkan tanggapan negatif sesetengah pihak hasrat ini terpaksa dibatalkan sahaja kerana saya tidak mahu menyuburkan kepercayaan sesetengah pihak bahawa apabila ada suatu masalah baru kita hendak bergerak, sebaliknya jika tiada sebarang masalah, kita tidak tahu hendak berbuat apa-apa.

1.2 Bagi saya sesebuah organisasi itu wajar digerakkan berdasarkan objektif dan halatuju yang telah ditetapkan dan dalam konteks UMNO tentulah matlamat itu mesti selari dengan matlamat penubuhan UMNO yang asal.Kemudian ia boleh dikembangluaskan serta diberi penambahbaikan mengikut keperluan semasa, bukan semestinya berpunca daripada masalah-masalah yang sedia ada.

1.3 Idea ini tercetus apabila saya melihat yang UMNO Pengkalan Aur selama ini bergerak tanpa dipandu oleh satu bentuk manual prosedur kerja. Tanpa mahu ambil tahu atau campur tangan tentang cawangan-cawangan lain, bagi saya sudah sampai masanya UMNO Pengkalan Aur digerakkan dengan cara yang lebih terarah dan bersistem tanpa hanya bergantung kepada kebolehan para penerajunya sahaja

1.4 Atas sebab itulah penulisan ini diperluaskan skopnya kepada semua perkara yang difikirkan perlu wujud dan berlaku dalam UMNO Pengkalan Aur. Tulisan ini nanti akan dijadikan Panduan Asas untuk menggerakkan program dan aktiviti UMNO Pengkalan Aur. Panduan ini sesuai menjadi Pegangan pemimpin-pemimpin parti di cawangan ini bagi menggerakkan semua aktiviti cawangan agar berjalan seperti yang sepatutnya serta tidak tergelincir daripada landasan perlembagaan dan etika parti, di samping mengilhamkan sebuah parti yang berupaya diolah secara lebih kreatif dan inovatif.

1.5 Walaupun UMNO sudah ada Perlembagaannya sendiri sebagai pegangan utama ahli-ahlinya dan etika parti sebagai pegangan sokongan, namun kedua-dua dokumen bertulis itu itu hanya menyebut secara umum sahaja bagaimana parti UMNO patut digerakkan. Selebihnya, perjalanan parti banyak bergantung kepada kreativiti dan kemampuan pemimpin yang menerajuinya. Bagaimana kreativiti itu diolah dan dicorakkan dalam parti tidak disebutkan dalam kedua-dua dokumen tadi. Semuanya bergantung kepada kemampuan dan gaya urus pemimpin-pemimpin parti itu sendiri. Maka Panduan Asas Menggerakkan Cawangan ini bolehlah dijadikan garis panduan dalam menggerakkan parti di peringkat cawangan.

Hakcipta Terpelihara Abd Bashid Harun

Untuk membaca keseluruhan kandungan BUKU PANDUAN setebal 43 halaman ini KLIK DI SINI