1. Posting terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk MAHATHIRISM menarik perhatian saya. Kalau dahulu Mahathirism dikupas oleh orang lain, sekarang beliau sendiri mengupas ideologi yang dikaitkan dengan diri beliau sendiri.
2. Bagi saya tidak salah dengan panggilan Mahathirism. Mahathirism melambangkan pengiktirafan tentang kekuatan dan keunikan daya fikir dan daya tindak Dr Mahathir, seorang pemimpin yang sangat berpengaruh yang setiap cadangan dan tindakan beliau memberi kesan yang mendalam dan melampaui zaman.
3. Mahathir dapat dirasai kehadirannya melalui legasi yang beliau tinggalkan. Orang ramai bukan sahaja boleh melihat legasi itu di depan mata mereka, tetapi boleh mengalami dan merasainya sendiri.
4. Setiap kali orang melalui dan menggunakan legasi tersebut orang tahu bahawa ini jasa Mahathir, Perdana Menteri Malaysia keempat yang terkenal itu.Inilah Mahathirism. Inilah cara positif kita melihat Mahathirism.
5. Mahathirism tidak wajar digambarkan sebagai pemujaan yang melampau terhadap seseorang atau momokan pedas ke atas seseorang yang dibenci oleh musush-musuhnya, tetapi melampaui dari itu.
6. Sekarang kita sudah sampai kepada Perdana Menteri Malaysia keenam. Sebelum itu kita melalui era Islam hadhari di bawah kepemimpinan Tun Abdullah. Tetapi orang ramai masih mahu mengingat jasa-jasa Tun Mahathir, masih mahu mendengar beliau memberi pendapat dan membaca tulisan-tulisan beliau.
7. Ketika orang sudah buntu tentang apa yang patut dilakukan, sebahagian besar daripada kita akan membuka blog Mahathir dan membaca pandangan-pandangan beliau. Malahan ada yang mempercayai sepenuhnya pendapat beliau lalu menerimanya sebagai betul untuk diikuti.
8. Di kalangan mereka yang mempercayai Mahathir ini, wujud satu kelompok kecil individu yang “lebih takutkan” Mahathir. Mereka ini lebih bersedia mengambil tindakan yang bertentangan dengan pemimpin sedia ada daripada bercanggah dengan Mahathir.
9. Begitulah berpengaruhnya Tun Mahathir dan di situlah orang melihat betapa pemikiran dan tindakan beliau sangat berkesan sehingga membentuk satu pemikiran yang bitara dan solid yang dipermudahkan sebagai Mahathirism.
10. Ikhlas dikatakan bahawa mengenang tokoh yang bernama Mahathir dan jasa-jasa yang beliau tinggalkan bukan berlaku dengan cara yang dapat dipaksa-paksakan, tetapi ia hadir tanpa disuruh seperti air yang mengalir dan bayu yang menghembus ke badan.
11. Setiap kali orang menggunakan lebuh raya sebagai contoh orang akan mengingatkan Mahathir. Begitu juga ketika kita melihat atau menggunakan kereta Proton dan Kancil orang akan mengenang Tun Mahathir.
12. Begitu juga setiap kali penjawat awam memakai tanda nama, dan menggunakan punch card orang ramai akan mengenang Mahathir.
13. Jadi terlampau payah untuk mengetepikan faktor Mahathir begitu sahaja setelah apa yang beliau lakukan untuk negara ini meskipun telah masuk ke dalam era Perdana Menteri keenam.
14. Ini membuktikan betapa besarnya kesan pemikiran, tindakan dan legasi Mahathir kepada rakyat. Jadi inilah Mahathirism yang sepatutnya bukan dalam erti kata satu konotasi negatif yang merujuk kepada seorang pemimpin autokratik dan diktator sebagaimana yang didakwa oleh musuh-musuh beliau.
15. Wawasan 2020 degan sembilan cabaran yang tersedia merupakan legasi terpenting Tun Mahathir dilihat cukup futuristik atau terkehadapan yang diyakini sebagai formula yang berupaya melahirkan sebuah negara maju. Kita melihat ada rasional mengapa wawasan itu dibentuk dan mengapa 2020 menjadi target.
16. Secara peribadi saya melihat Mahathir sebagai pemimpin yang dilahirkan untuk Malaysia dan Negara Dunia Ketiga. Jarang-jarang dunia dihadiahkan dengan nama-nama besar seperti Ghandi, Nehru, Churchil, Soekarno dan Khomeini. Maka apabila negara kita menerima anugerah tertinggi ini daripada Tuhan kita tidak patut mensiakan-siakannya.
17. Anda dapat lihat sendiri bagaimana beliau mula membina legasinya melalui ketajaman fikirannya, kekuatan hujahnya dan pandangan jauhnya sejak sebelum menjadi PM lagi. Buah tangan beliau “Malay Dilema” yang turut menjadi legasi awalnya yang ulung mengandungi ungkapan ikhlas beliau terhadap nasib dan masa depan bangsanya.
18. Suara tentangannya, apa yang beliau harapkan dan apa yang beliau tidak suka terjadi ke atas negara dan bangsanya yang tercinta sama sahaja sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Tuhan seolah-olah mengurniakan beliau satu fkiran yang standard dan tersusun yang boleh disesuaikan menurut zaman.
19. Apabila beliau menjadi Perdana Menteri beliau melaksanakan semua idea-ideanya. Selepas beliau berundur daripada kepemimpinan parti dan kerajaan pun suaranya tetap sama. Malahan suara itu dapat didengar sehingga ke hari ini apabila DS Najib adalah Perdana Menteri Malaysia.
20. Ketika beliau masih hidup dan masih kuat daya fikirnya, kita harus memanfaatkan pemikran beliau secara yang sepatutnya. Kebiasaan menunggu seseorang yang berjasa meninggal dunia baru hendak dicanang-canang jasanya, dikorek-korek rahsia peribadi dan akalnya dan dibangunkan beberapa simbol peringatan adalah kebiasaan yang merugikan dan terlambat.
21. Banyak kajian perlu dibuat ke atas pemimpin yang berpegang kepada pendekatan dan gaya kepemimpinan transformasi ini. Kepemimpinan transformasi (transformational leadership) yang diolah dengan berkesan oleh Y.A.Bhg Tun Dr Mahathir tidak menjanjikan hadiah dan ganjaran lumayan tetapi menyediakan matlamat yang hendak dicapai dan cabaran-cabaran yang wajar ditempuh. Rakyat seolah-olah diberitahu dengan serius bahawa jika mereka ingin maju inilah cabaran-cabaran yang mesti ditempoh.
22. Pemimpin dengan gaya dan pendekatan transformasi seperti Tun Dr Mahathir melihat bahawa kejayaan yang hendak dicapai bukan sahaja memerlukan suatu tempoh waktu tertentu (tidak terlalu lama dan tidak terlalu pendek) tetapi mestilah ada acuan tersendiri dan hala tuju yang jelas. Kejayaan itu memerlukan usaha dan kegigihan bukan bersandarkan retorik semata-mata.
23. Pemimpin transformasi seperti Tun Dr Mahathir memotivasikan rakyatnya melalui pendekatan simbol-simbol dan slogan-slogan keramat yang diulang-ulang dalam setiap kesempatan dan wacana yang bolehlah diumpamakan seperti jampi serapah oleh pawang terhandal yang diyakini memberi kesan yang bukan sedikit.
24. Selain itu pemimpin seperti Mahathir mewujudkan wira-wira zaman yang menjadi contoh tentang kebolehan anak Malaysia. Wira-wira ini sama ada dijenamakan secara individu atau kelompok membakar semangat juang bangsa Malaysia yang tidak mengenal putus asa. Tun Dr Mahathir mahu memperlihatkan kepada kita bahawa tidak ada yang mustahil untuk dicapai oleh rakyat Malaysia.
25. Selain itu Tun Dr Mahathir benar-benar mahukan kejayaan yang tulen berasaskan persaingan yang sihat dan pencapaian yang berkualiti. Beliau mahu orang ramai berlumba-lumba dengan menggunakan jalan yang smart untuk mencapai destinasi yang telah ditetapkan.
26. Beliau bukan sahaja mahukan hasil kejayaan yang original, tetapi jalan yang ditempuh juga mesti original. Beliau tidak mahu ada mana-mana bangsa di Malaysia yang tidak maju ketika negara Malaysia mencapai status Negara Maju menjelang 1 Januari 2020.
27. Pada masa yang sama beliau tidak mahu menyekat jalan mana-mana pihak yang sedang menuju ke destinasi kemajuan itu. Tetapi beliau juga tidak mahu ada bangsa yang berpura-pura berasa selamat hanya kerana kegagalan mereka mengambil peluang daripada usaha-usaha kemajuan ini.
28. Zaman Tun Dr Mahathir sudah berlalu. Begitu juga zaman Tun Abdullah pun turut berlalu. Kini masa Dato’ Seri Najib pula. Saya kira DS Najib mampu meneruskan legasi Tun Mahathir ini malahan akan menjadi lebih baik lagi daripada Tun Mahathir sendiri.
29. Jika DS Najib mampu membuat yang sama baik atau lebih baik daripada apa yang telah Mahathir lakukan, maka Najib itulah legasi terbaik Tun Dr Mahathir. Jika itu terjadi bukan sahaja Tun Mahathir yang patut bergumbira (setelah beliau berjaya memformulakan murid yang cemerlang), tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.
30. Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini DS Najib boleh bertindak lebih baik daripada Tun Mahathir kerana beliau berada lama di bawah pemerintahan Perdana Menteri keempat itu.
31. Selain itu beliau turut berpengalaman berada di bawah kepemimpinan selepas itu iaitu Pak Lah. Malahan diri beliau sendiri apa kurangnya memandangkan beliau adalah anak kepada negawaran ulung, Tun Abdul Razak bin Husin yang juga Perdana Menteri Malaysia yang kedua.
32. Latar belakang sebegitu memperkayakan pengalaman DS Najib.Beliau boleh membuat perbandingan antara semua tokoh-tokoh besar itu dan seterusnya menyaring untuk mencari mana yang terbaik dan teruji nilai bandingnya untuk dikekalkan pada zamannya.
33. Beliau juga boleh menentukan yang mana boleh diubah suai dan diberi nilai tambah dan yang mana pula perlu dikesampingkan begitu sahaja.
34. Beliau lahir dalam saat Malaysia dilanda krisis bukan sahaja politik tetapi juga ekonomi. Tetapi berdasarkan latar belakang yang beliau miliki dan pengalaman yang beliau lalui seolah-olah beliau sengaja “ditahan seketika” agar beliau dapat dilahirkan untuk zaman ini.
35. Hanya individu yang punya banyak kelebihan, kaya dengan pengalaman dan kuat daya tahannya mampu menangani semua krisis yang berlaku. DS Najib adalah orangnya kerana beliau mempunyai semuanya. Inilah masanya beliau mengaplikasikan semua itu.
36. Belum teruji belum tahu. Begitulah yang terjadi ke atas sebahagian kita dalam membuat tanggapan mengenai Najib. Ada orang berkata bahawa DS Najib akan menurut sahaja langkah Pak Lah sebab tidak nampak yang beliau mahu menderhaka kepada ketuanya. Ada juga yang berkata DS Najib akan meniru gaya kepemimpinan Mahathir.
37. Tetapi apabila kita melihat apa yang DS Najib sedang laksanakan ternyata beliau bukanlah mewakili mana-mana pihak baik Pak Lah mahupun Mahathir.
38. Sebaliknya beliau melakukan sinergi dan sintesis dengan mencerakinkan kedua-dua kekuatan yang sedia ada pada pemerintahan sebelumnya untuk disesuaikan dengan tuntutan semasa.
39. Sebagai anak yang dididik dengan penuh ketertiban dan penghormatan yang tidak berbelah bahagi kepada ibu bapa, guru dan tokoh-tokoh berjasa beliau menghormati kedua-dua negarawan berjasa itu.
40. Buktinya, sebaik-baik sahaja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri beliau berusaha untuk menyatukan kedua-dua pemimpin itu. Dan ternyata beliau berupaya melakukannya walaupun sekadar simbolik sahaja.
41. Inilah yang cara bertindak seorang pemimpin unggul yang telah menjadikan pengalaman sebagai guru paling berguna. Beliau nampaknya dapat melihat dengan jelas apa yang telah berlaku dalam dua era pemerintahan sebelumnya. Dan yang lebih penting beliau tidak mensia-siakan perolehannya itu.
42. Anda sebagai rakyat yang mahu berfikir telah melihat betapa berkuasa dan dominannya Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga dalam sulit pun beliau mampu melepasinya.
43. Anda juga telah melihat sendiri betapa sulitnya pentadbiran Pak Lah disebabkan serangan bertalu-talu yang ditujukan ke arahnya. Selain serangan yang dibuat oleh pembangkang, Pak Lah juga diserang bertalu-talu oleh mereka yang pro-Mahathir.
44. Tetapi yang cukup menakjubkan dan tidak biasa berlaku pada setiap orang ialah keupayaan Pak Lah untuk bertahan dalam kemelut itu dengan senyum, penuh sabar, lembut dan cool.
45. Malahan dalam situasi yang tidak menentu itu Tun Abdullah masih berupaya menguak seluas-luasnya jendela demokrasi di mana rakyat diberi kebebasan yang bukan sedikit untuk bersuara dan memberikan pandangan.
46. Kesannya pada zaman beliau pertikaian awam begitu subur, suatu keadaan yang tidak pernah dirasai pada zaman sebelumnya yang sebenarnya begitu dibimbangi oleh individu seperti saya, takut-takut Pak Lah tidak mampu mendepaninya akibat asakan bertalu-talu daripada pelbagai pihak atas nama demokrasi dan suara rakyat.
47. Mujurlah dengan sifat Pak Lah yang cool dan sabar itu tidak nampak begitu ketara yang beliau diresahkan dengan masalah. Inilah kelebihan Pak Lah yang mungkin tidak ada pada Tun Dr Mahathir dan DS Najib sendiri
48. Dan saya percaya semua yang berlaku itu telah diperhatikan semasak-masaknya oleh DS Najib. Tidak mungkin beliau yang sehebat itu boleh mengetepikan semua itu begitu sahaja. Beliau ada keberanian dan keunikan untuk melakukan yang terbaik untuk Malaysia.
49. Sebagai jawapan untuk semua itu, sentuhan 1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan adalah rumusan bestari beliau daripada apa yang telah berlaku untuk mencipta sesuatu yang patut berlaku.
Hakcipta Abd Bashid Harun











4 users commented in " Mahathirism: Kekuatan Pemikiran Mahathir Yang Melampaui Zaman "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackYang ni tak tau nak komen ape.sbb kene tunggu dan lihat.masa pak lah mula - mula jadi pm dulu menggunung pujian dan harapan, tapi ape..kesudahannya..
Ulasan:
Jika ingin masuk dalam ruangan komen kena tinggalkan sesuatu yang boleh dikongsi dengan pembaca lain. Walaupun YAB DS Najib masih baru menjawat jawatan PM, namun sudah ada kerja buat beliau yang boleh diberi komen positif. Sejak beliau menerajui kepemimpinan negara banyak perkara yang beliau lakukan bersama pasukannya. Itu pun jika membuka minda kita untuk melihat sesuatu yang baik daripada tindakan dan pemimkiran YAB Perdana Menteri keenam itu.
hi bashid, saya suka dengan blog awak, ternyata awak mengikuti setiap perkembangan pemimpin kita. betul kata awak setiap pemimpin ada cara tersendiri untuk menaikkan malaysia, cume yang saya khuatiri adalah rakyat malaysia, pada saya mungkin rempit adalah pro mahathir, normal laaa.. ade orang suka dia ade orang tak suke..satu sifat saya rasa mengapa mereka para pemimpin kita mmg patut jadi pemimpin ialah mereka mendengar, membaca dan memahami sedalamnye ape yang cuba disampaikan oleh org lain. saya tak pernah tgk para pemimpin kita menyekat maner2 ruang untuk rakyat bersuara, dalam blog, dalam redio, dalam majalah semua boleh. so mengapa pula kita sebagai rakyat mahu menyekat apa yg di perkatakan org lain? adakah ini yg di perkatakan “buka minda”?
no comment. semua menteri ada kelemahan.
setakat ini, pengurusannya baik…patut diberi pujian….cuma diharapkan dapat memberikan keutamaan menyeluruh….pembangunan fizikal, pembangunan pemikiran dan AKHLAK yang seiring.
Leave A Reply