Malaysia agak berbeza dalam banyak perkara. 27 juta rakyatnya mempunyai selera yang agak besar dan pelbagai.

Jika di negara lain penentang kerajaan majoritinya adalah orang miskin, di sini yang melakukannya adalah mereka yang kenyang.

Jika ada yang miskin mereka sebenarnya diseret oleh golongan yang kenyang ini dengan menjanjikan bulan dan bintang bagi menentang kerajaan.

Di sebabkan kekenyangan, mereka terlupa yang nikmat yang dikecapi bukan diperolehi secara accident mahupun insiden tetapi diusahakan di bawah payung kemakmuran yang melimpah ruah atas nikmat keamanan berkat kerja kuat kerajaan yang memerintah.

Disebabkan mereka lebih biasa senang daripada susah mereka mudah berkeluh kesah, dan tidak sedikit yang naik darah lalu marah jika mengalami sedikit kesulitan meskipun mereka sendiri yang menjadi puncanya.

Di negara ini ada orang yang tidak segan silu jumpa menteri dan wakil rakyat untuk melunaskan bil api dan bil air yang tertunggak.

Malahan ada yang mengadu terus kepada menteri setelah anaknya tidak pulang ke rumah sejak lima hari seolah-olah kerja mencari anak yang hilang adalah kerja menteri.

Di negara ini juga jika longkang di depan rumah tersumbat hingga berlaku banjir kilat, kerajaan akan dipersalahkan dan dituduh tidak berbuat apa-apa.

Walhal terang-terang yang menyebabkan longkang tersumbat adalah tangan mereka sendiri yang selalu menolak sampah dan batu-batu kecil ke dalam longkang atau membangunkan binaan tambahan hingga menutup terus longkang.

Di negara ini Perdana Menteri atau menteri seolah-olah diharapkan menjaga seseorang hingga ke tempat tidur mereka. Malahan lebih jauh dari itu, alat sulit mereka pun kerajaan kena jaga dan jika ditakdirkan berlaku sesuatu yang tidak diingini, kerajaan akan dipersalahkan.

Sebagai contoh perzinaan antara dua remaja sehingga mengandung lalu berlakunya pengguguran anak luar nikah pun akan mendedahkan kerajaan kepada kritikan. Apa menteri buat untuk mengatasi gejala ini, tanya mereka.

Tegasnya apa pun kesalahan dan keburukan yang berlaku adalah alasan yang sering digunakan sekarang ini untuk menyalahkan kerajaan dan menteri. Yang lain-lain, termasuk diri sendiri seolah-olah tidak bersalah langsung

Hakcipta Abd Bashid Harun