Teks Ucapan
Pegawai Pelajaran Daerah Larut Matang Dan Selama
Dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
Pada 25 Jun 2009
Assalamu’alaikum wr wbt,
Saya mengucapkan tahniah kepada tuan/puan atas kejayaan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2009.
Tuan puan berhak untuk meraikan kejayaan ini sebab ini adalah ganjaran hasil kerja keras tuan/puan di sekolah. Namun tuan/puan harus sedar bahawa di luar sana masih ramai yang mendambakan anugerah seperti ini.
Sebab itu tuan/puan tidak boleh memandang rendah anugerah seperti ini dengan secara tiba-tiba mahu menukar niat untuk melaksanakan kerja secara sambil lewa selepas ini.
Tetapi adalah menjadi tanggungjawab tuan/puan untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang supaya pemilihan tuan/puan sebagai penerima anugerah tidak dituduh sebagai suatu kesilapan.
Adalah menjadi harapan saya di PPD agar pemilihan ini akan mendorong tuan/puan menjadi pekerja contoh dalam organisasi tuan/puan dengan bekerja lebih gigih lagi ke arah membantu sekolah mencapai kejayaan yang lebih besar.
Bagi saya setiap individu di sekolah sama ada guru mahupun staff sokongan sama-sama berpeluang untuk menerima anugerah ini.
Rahsianya bukan dengan melakukan kerja orang lain atau melakukan kerja yang lebih menimbun daripada biasa tetapi bidang tugas utama atau core business sendiri mesti dilakukan dengan cekap dan berkesan serta berupaya memberi impak yang besar kepada klien dan organisasi.
Ketahuilah sebenarnya kita bekerja untuk orang lain, bukan sangat untuk diri kita. Sebagai ibu bapa masa kita bekerja untuk anak-anak dan isteri kita. Sebagai guru dan staff sokongan kita bekerja untuk klien dan organisasi kita.
Untuk menjadi pegawai perkhidmatan awam yang cemerlang kita mestilah memberikan keutamaan kepada prestasi organisasi dan kerja buat kita serta meletakkan klien sebagai keutamaan kita.
Kita hendaklah bertekad untuk memberi hanya yang terbaik kepada organisasi dan pelanggan kita. Memuaskan hati pelanggan dengan memberi hanya yang terbaik kepada mereka adalah menjadi tanggungjawab kita. Inilah merupakan amanah yang terpikul di bahu kita yang kerananya kita ditanya di akhirat nanti.
Kerja-kerja yang dilakukan tanpa mematuhi prosedur tertentu dan sejajar dengan etika perkhidmatan awam, tidak akan membawa organisasi ke mana-mana.
Seorang penjawat awam termasuk staff sokongan di sekolah patut memperkayakan diri mereka dengan kepelbagaian pengetahuan, pengalaman dan kemahiran agar mereka dapat bersaing dalam organisasi mereka sendiri dan dengan organisasi yang lain.
Pengetahuan yang berkaitan dengan ICT, modul-modul urus tadbir terkini dan beberapa maklumat semasa terutama yang menyangkut bidang tugas utama patut ditambah dari semasa ke semasa.
Berpuas hati dengan pencapaian semasa dan berpada dengan pengetahuan sedia ada tidak akan melonjakkan bukan sahaja diri sendiri malahan organisasi ke tahap saujana.
Pada setiap hari ada sahaja perubahan dan perkara baru yang berlaku di sekeliling kita. Jika kita gagal mempelajari perkara-perkara baru dan mengubah suai serta mengadaptasikannya dengan pekerjaan dan organisasi, tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Organisasi tempat kita bertugas mestilah bersedia menjadi sebuah organisasi pembelajaran. Dalam sebuah organisasi pembelajaran setiap warga di dalamnya sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa dan bersifat terbuka untuk melakukan penanda arasan.
Selain bersedia untuk ditegur, kita mesti mempelajari sesuatu yang terbaik daripada organisasi yang lain.
Mungkin ada yang kurang bersetuju dengan saya jika sesebuah sekolah dibandingkan dengan sekolah yang lebih baik. Kata mereka, perbandingan itu tidak adil sebab latar belakang dan suasana sekolah tidak sama.
Tetapi jika kita tidak bersedia dibandingkan dengan sesuatu yang lebih baik dan phobia dengan perbandingan itu sampai bila pun sekolah kita tidak akan mampu bersaing dan melonjakkan kecemerlangan.
Jika kita mahukan sebuah sekolah yang cemerlang kita mesti mencontohi sebuah sekolah yang jauh lebih baik daripada sekolah kita. Ini suatu kemestian yang mesti dilakukan jika kita mahu mencapai kejayaan yang melebihi daripada sekadar cukup makan.
Jika kita hanya mahu dibandingkan dengan sekolah yang sepadan dengan kita maka pencapaian kita akan kekal sebagai pencapaian yang biasa-biasa sahaja. Ini tentulah tidak sesuai dengan slogan 1Malaysia yang memberi keutamaan kepada prestasi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini diberikan pada setiap tahun. Ini bermakna peluang untuk setiap guru dan staff sokongan mendapatkannya adalah sama.
Sesiapa sahaja yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam tahun semasa berhak dipertimbangkan untuk menerima anugerah ini.
Sebab itu akan ada yang menerima anugerah ini beberapa kali selagi mereka menunjukkan prestasi cemerlang pada setiap tahun.
Tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa individu yang sudah mendapat anugerah ini tidak layak mendapatnya lagi adalah tidak begitu tepat.
Sesungguhnya tidak ada peruntukan atau syarat yang menunjukkan bahawa penerima anugerah ini mesti digilir-gilirkan.
Jika berlaku juga penggiliran bukanlah disebabkan ada klausa tertentu yang menyebutkannya tetapi hanya sebagai tanda keperihatinan Pengetua/GuruBesar kepada warga sekolahnya agar setiap pekerja dapat merasai anugerah ini sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh pekerjaan mereka.
Akhir kata semoga semua kita dalam organisasi pendidikan ini saling bekerjasama dan bermuafakat ke arah membawa pendidikan di LMS ini lebih cemerlang dari masa-masa lalu.
Kita boleh berbangga dengan pencapaian dalam bidang kokurikulum dan untuk ini saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat.
Alangkah manisnya jika kita beruapaya meluaskan kejayaan kita dalam bidang kurikulum pula. Saya percaya ini akan berlaku jika semua pihak di LMS menunjukkan komitmen yang tinggi, beriltizam dan beristiqamah.
Akhir kata, mohon maaf daripada saya, terima kasih kepada semua dan tahniah kepada mereka yang berjaya.
Wassalamu ‘alaikum wr wbt.





3 users commented in " Anugerah Perkhidmatan Cemerlang "
Follow-up comment rss or Leave a Trackbackaskm. saya nak tanya cikit. Betul ke guru yang telah mengambil cuti tanpa gaji,tidak layak mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang selama 3 tahun selepas dia mengmbil cuti tersebut.
Jawapan:
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dinilai berdasarkan kecemerlangan yang ditunjukkan oleh seseorang penjawat awam dalam tahun semasa penilaian dibuat. Markah prestasi keseluruhan yang ditunjukkan pada tahun semasa dinilai itu mestilah tidak kurang daripada 85%. Sekiranya penjawat awam bercuti pada tahun penilaian dibuat maka sudah tentu pada tahun itu dia tidak layak mendapat APC sebab penilaian tidak dapat dibuat ke atas hasil kerjanya. Tempoh tiga tahun bukanlah satu kemestian bagi sesuatu pemberian APC tetapi bagi mereka yang memohon naik pangkat atau untuk kenaikan gred dalam perjawatan, markah yang dipungutnya selama tiga tahun berturut-turut perlu ada (Contoh 2006, 2007 dan 2008). Jadi jika satu tahun dia mengambil cuti tanpa gaji (contoh tahun 2006) maka dua tahun berikutnya (2007 dan 2008) tidak dapat dinilai dan dicampur dengan satu tahunsebelumnya iaitu semasa dia bercuti daripada bertugas. Jika peraturan yang disebut kemudian itu diambil kira hal yang demikian mungkin mempengaruhi APC. Jadi adalah menjadi lebih selamat jika APC diberi kepada mereka yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang pada tahun semasa dan turut berupaya mengekalkan prestasi cemerlangnya selama tiga tahun berrut-turut. Harap maklum.
Salam, Saya nak tanya sikit. Guru yang selalu mc, keluar sekolah dan cuti tah apa-apa layak ka untuk di beri apc?? Lagi satu GB kata dia akan beri kepada guru yang lama berkhidmat di sekolah tersebut tetapi tidak juga? Apa yang boleh dibuat jika berlaku perkara tersebut??
GuruBashid:
Walaupun tidak disebut secara spesifik bahawa guru yang selalu mc dan mengambil cuti tidak layak mendapat APC, perlakuan tersebut sebenarnya berkait rapat dengan dedikasi dan tanggungjawab yang ditunjukkan terhadap tugas. Jika seseorang guru itu kerap bercuti tanpa alasan yang munasabah atau bercuti tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan ia boleh dikaitkan dengan sikap tidak komited terhadap tugas utama, iaitu melakukan p & p. Bagaimana guru begini dapat memberikan tumpuan penuh terhadap tugas yang diberikan, seperti mengajar dengan berkesan dan memberi tumpuan kepada tugas asasnya.Bagaimanakah seseorang pengetua/guru besar dapat memberikan APC kepada guru yang begini sedangkan pada masa yang sama dia telah menafikan ramai guru yang tidak berbuat begitu, tetapi telah menunjukkan komitmen terhadap tugas. Walaupun pengetua/guru besar boleh menentukan siapa yang patut mendapat APC atau tidak, tetapi pemberian itu mestilah tidak dipertikaikan, memenuhi piawai tertentu dan memotivasikan lebih ramai orang.
selamat petang.
Adakah guru yang baru dilantik tapi belum sah dalam perkhidmatan, layak menerima APC? Terima Kasih..
Leave A Reply