TULISAN ini saya tujukan khas kepada kaum pendidik yang diberi jolokan ustaz dan ustazah. Peranan anda tidak kecil. Di bahu anda terpikul amanah yang cukup berat untuk mendidik anak bangsa beragama Islam agar mempelajari, memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Di tengah-tengah keruntuhan akhlak generasi muda, peranan anda menjadi semakin mencabar. Bukan sahaja sebagai ustaz atau ustazah, tetapi anda juga patut menjadi kawan, ibu, bapa dan kaunselor kepada pelajar-pelajar. Dalam hal-hal tertentu pelajar lebih percaya dan lebih hampir dengan anda. Mereka mudah meyakini apa yang anda katakan. Maka jadikanlah ini sebagai senjata rahsia untuk mendekati mereka dan membetulkan mana-mana yang tersilap. Jangan melihat kemungkaran sekadar sinis, tetapi fikirkanlah apa yang sepatutnya anda lakukan bagi membantu pihak sekolah, masyarakat dan negara. Jangan melihat kejayaan yang dicapai oleh negara daripada perspektif yang sempit sehingga anda menolak semua kebaikan. Kebaikan boleh datang daripada sesiapa sahaja. Saya kira anda lebih tahu tentang hal ini. Bekerjasamalah dengan sekolah, dan beri cadangan yang terbaik kepada Pengetua bagaimana anak-anak di sekolah dapat dibangunkan. Jika anda tidak setuju sekalipun dengan sesuatu, bawalah berbincang dengan tenang sebab kemarahan anda tidak akan mengubah apa-apa. Kemarahan hanya akan melebarkan fitnah dan syak wasangka. Jangan berkata tidak setuju kepada sesuatu, selagi anda belum menyediakan alternatif yang lebih baik. Jangan juga berkata ya sedangkan hati tidak setuju semata-mata hendak melindungi seseorang kerana ustaz dan ustzah sifatnya tidak begitu. Ustaz dan ustazah tidak akan menyembunyikan sesuatu. Dalam dunia pendidikan, anda adalah ustaz dan ustazah yang dihormati, tetapi sebagai manusia biasa anda seperti juga orang lain, boleh sahaja pada bila-bila masa terjatuh ke dalam kesilapan dan kekhilafan. Akan tetapi orang selalu melihat anda sebagai insan yang suci yang tidak akan melakukan kesalahan.Alasan mereka mudah sebab anda ustaz atau ustazah. Di suatu segi tanggapan seperti ini terhadap anda akan menyulitkan pergerakan anda, tetapi itulah petunjuk yang orang ramai masih meletakkan harapan yang tinggi kepada anda. Anda patut bersyukur kepada Allah yang memilih anda sebagai ustaz dan ustazah. Sesungguhnya peranan anda tidak kecil, jadi janganlah anda menjadi orang yang keluh kesah-hanya merintih melihat kemungkaran. Kongsikan kekuatan dan kelebihan yang ada pada anda dalam agama Islam kerana anda sahaja memiliki kelebihan itu. Menyisihkan diri tidak patut menjadi pilihan kerana apabila anda membiarkan sesuatu yang tidak baik terus berlaku, takut-takut yang tidak baik itu dikatakan baik akhirnya. Jangan merendahkan diri anda sendiri hanya kerana nama anda ustaz dan ustazah. Anda patut menghormati diri dan kerjaya anda sendiri apabila anda ingin meraih rasa hormat orang lain terhadap anda. Bagi saya yang pernah bergelar ustaz dan berpengalaman memimpin sebuah Kesatuan Guru Ugama, saya melihat peranan ustaz dan ustazah cukup besar dan mencabar. Dan tentunya ini bukan kelakar.












No user commented in " Syabas Kerana Anda Guru Agama "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply