Apabila seseorang memberikan anda suatu tugasan/kerja apa reaksi anda? Adakah harga diri anda akan bertambah kerana kepercayaan yang diberikan oleh individu tersebut kepada anda. Adakah anda merasakan bahawa orang itu telah meyakini kebolehan anda untuk melakukan kerja tersebut? Atau anda merasakan inilah peluang untuk anda membuktikan kepadanya bahawa dia tidak tersilap pilih apabila menyerahkan tugasan itu untuk anda selesaikan. Anda memang mampu menyelesaikannya sebaik mungkin. Jika anda berasa seperti itu, itu membuktikan bahawa anda memang prihatin terhadap tugasan yang diberikan. Anda tanpa banyak bersoal-jawab terus melaksanakan kerja yang diberikan itu. Emosi anda berada pada tahap yang paling stabil kerana anda berusaha menyelesaikan kerja yang diberikan di peringkat SERAH.

Apabila di peringkat SERAH ini anda gagal melakukan kerja yang diserahkan kepada anda, itulah yang menyebabkan guru/majikan/ketua mula mengarahkan anda. Ini sudah masuk peringkat yang kedua, iaitu ARAH. Di peringkat ARAH ini anda rasa sedikit tertekan. Tetapi bagi yang bertanggungjawab mereka akan berusaha menyelesaikan juga kerja yang diberikan itu setelah gagal menyelesaikannya di peringat pertama tadi, iaitu di peringkat SERAH.

Setelah peluang yang diberikan di peringkat kedua tidak dilaksanakan juga, maka guru/majikan/ketua anda tadi akan mengerahkan anda untuk menyiapkan tugasan yang terlewat itu. Ini sudah masuk di peringkat ketiga iaitu KERAH. Anda berasa semakin tertekan kerana anda seperti juga kebanyakan yang lain tidak suka dikerah. Anda berasa bahawa anda dilayan seperti lembu yang dicucuk hidungnya. Motivasi anda semakin menurun. Tetapi bagi mereka yang masih bertanggungjawab, tugasan akan tetap diselesaikan walaupun dalam banyak tekanan.

Apabila di peringkat ini anda masih gagal menyiapkan kerja tersebut, anda mungkin akan dimarah. Ini di peringkat keempat dan paling tidak disukai. Di peringkat MARAH ini anda sudah dapat merasakan bahawa dia sudah tidak begitu yakin lagi dengan anda. Dia hampir-hampir tidak mempercayai yang anda mampu menyiapkan tugasan yang diberikan. Motivasi anda semakin menurun dan menurun. Anda sendiri kadang-kadang menjadi pemarah.

Tetapi jika peluang terakhir yang diberikan itu masih gagal diselesaikan, apakah yang akan berlaku.Guru/majika/ketua atau sesiapa sahaja sudah tidak mempercayai anda lagi. Anda berasa disingkir atau tidak dipedulikan. Di peringkat terakhir ini mereka seolah-olah berkata kepada anda POODAH. Mereka sudah memalingkan mukanya daripada anda. Jangan sampai Tuhan juga memalingkan mukanya daripada anda. Hakcipta GuruBashid