“Aku melihat seolah-olah kebenaran sekarang ini menjadi milik seseorang, bukan lagi milik Tuhan. Atas nama kebenaran mereka mencipta permainan sendiri dan Tuhan pula sengaja membiarkannya untuk menjadikan keadaan lebih buruk atau sengaja mahu menunjukkan kuasa-Nya. Alangkah beruntungnya orang yang berpada dalam semua perkara yang menjadikan mereka lebih sejuk berfikir untuk memahami siapa yang mengutamakan agenda daripada tindak; muslihat daripada maslahah. Atas nama demokrasi yang diselar kurang demokratik, ramai yang pandai bercakap di antara kita dipuja sebagai sang benar. Maka aku melihat peluang seseorang untuk menipu adalah sama banyak dengan peluang untuk bercakap benar dan Tuhan pula sengaja membiarkan mulut-mulut mereka untuk terus ternganga.Sesiapa yang lebih bijak memutar-mutar lidah akan lebih popular dan populariti itulah yang kini dicari dan sebahagiannya tidak lelah mengejarnya.Fitnah demi fitnah melompat seperti katak dari mulut dan tangan mereka dan sebahagiannya memasuki periuk nasi seseorang. Fitnah yang melanda negara ini sudah terlalu melebar sehingga antara yang benar dengan yang salah bezanya hanyalah senipis kulit bawang. Apa yang dahulunya aku takuti kini benar-benar terjadi. Tetapi yang lebih menakutkan aku ialah apabila Tuhan memaling wajah-Nya daripada memandang kita. Apabila Tuhan berpaling daripada kita, yang berada di pihak yang benar boleh sahaja nampak sangat bersalah, sebaliknya yang paling bersalah boleh sahaja nampak benar. Apabila Tuhan tidak lagi memayungi kita dengan payung rahmat-Nya,kita melihat manusia berbondong-bondong menyokong yang palsu dan yang benar akan ditinggalkan sedikit demi sedikit dan akhirnya dibiar bersendirian meratapi diri sendiri. Akan sampai suatu masa yang benar akan diletakkan bersama yang salah dan dihukum berkali-kali. Dan apabila saat itu sudah mula berlaku ke atas kita dan kepala kita dipanaskan oleh percikan batu-batu api yang bermunculan dari daerah yang samar-samar, ingatlah kata-kata guruku ini “pada waktu dan saatnya kita menjadi sangat keliru di mana kebenaran amat sukar dibezakan dengan kepalsuan, gigitlah Quran itu sekuat-kuatnya dengan gigi gerahammu“.
GuruBashid

















No user commented in " Pesanan GuruBashid 8 "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply