1. SITUASINYA sama seperti satu permainan yang selalu dijalankan dalam aktiviti LDK (Latihan Dalam Kumpulan) di mana anda terpaksa memilih 4 daripada 6 orang untuk diselamatkan. Tentunya pilihan itu mesti tepat, jauh daripada kepentingan diri dan ada sebab yang kukuh mengapa anda memilih empat orang itu.
2. Cuma bezanya dalam permainan itu kita diberi masa selama beberapa minit sebab situasinya sangat kritikal, melibatkan nyawa dan keputusan perlu dibuat sepantas yang mungkin.
3. Tetapi dalam situasi sekarang kita diberi masa yang agak mencukupi meskipun tidak begitu panjang, iaitu dua minggu untuk membuat pilihan. Tentunya kita boleh memasukkan lebih banyak rasional sewaktu membuat pemilihan itu.
4. Keputusan yang kita perolehi dalam masa dua minggu ini akan menentukan ketepatan pilihan yang bakal kita buat untuk calon SPM 2010 yang kesannya akan dilihat dua puluh tahun selepas itu atau lebih cepat dari itu.
5. Memandangkan pemilihan yang kita sendiri tentukan dan keputusan yang bakal dibuat tidak sedikit kesannya ke atas pencapaian negara ini dan kualiti modal insan pada masa depan, maka kita masih berharap agar apa pun keputusan yang bakal diambil tentang hal ini tidak akan dilakukan dengan secara tergesa-gesa, malahan ia wajar mengambil kira semua faktor dan menimbang tara semua pandangan.
6. Kita berharap agar Kementerian Pelajaran tidak terkekang dengan tempoh dua minggu yang diberikan sebab kita masih ada masa sehingga akhir tahun ini sebelum keputusan rasmi dimuktamadkan bagi tujuan diguna pakai oleh calon SPM 2010.
7. Saya percaya berasaskan ucapan TS Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Malaysia beliau akan meneliti semua cadangan sebelum keputusan muktamad mengenainya dibuat.
8. Pengalaman mengendalikan PPSMI sepatutnya dijadikan pengajaran berguna oleh Kementerian Pelajaran. Pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris bukan tidak baik, malahan selari dengan matlamat yang terkandung dalam Wawasan 2020.
9. Cuma pelaksanaannya yang tergesa-gesa dan tidak sempat diperhalusi oleh ramai pihak yang berwibawa telah menjadikan pelaksanaan PPSMI menjadi bahan pertikaian yang berpanjangan sungguhpun idea itu dicetuskan oleh seorang yang sangat jauh jangkauan pemikirannya.
10. Kita mungkin boleh menggunakan beberapa pendekatan dan kaedah dalam membuat penentuan ini. Salah satu kaedahnya ialah sumbang saran dan 5 Wives 1 Husband (5W 1H) dalam memecahkan persoalan ini.
11. Tetapi jika kita mahu menggunakan kaedah 5W 1H ini kita jangan terlalu tertumpu untuk menjawab soalan How Many (Berapa banyak) sebabnya berapa banyak bukan lagi menjadi yang terpenting dalam situasi seperti ini.
12. Persoalannya sekarang bukanlah berapa jumlah subjek yang perlu diambil dan berapa pula yang patut ditinggalkan.
13. Dalam perbincangan tentang perkara ini saya fikir yang lebih penting untuk diberi keutamaan ialah isteri pertama yang bernama What (Apa) dan isteri muda yang bernama Why (Mengapa). Maksud saya ialah apakah mata pelajaran yang patut dimasukkan dalam subjek teras yang empat itu, serta apakah pula dua subjek yang patut digugurkan.
14. Jika kita memilih subjek A,B,C dan D umpamanya, kita wajib dapat mempertahankan mengapa subjek-subjek itu yang menjadi pilihan.
15. Di samping itu kita juga mampu meyakinkan sesiapa sahaja yang mempersoalkan, mengapa pula kita menggugurkan subjek E dan F sebagai subjek teras?
16. Pemilihan tentulah tidak sesukar mana jika kita terpaksa mengasingkan intan daripada kaca. Masalahnya sekarang kita disuruh memilih 4 intan daripada 6 intan yang sedia ada.
17. Penetapan menjadi sukar sebab keenam-enam subjek teras seperti amalan sekarang memang merupakan subjek yang terpenting dan teruji nilai bandingnya.
18. Malahan kita punya alasan kukuh mengapa keenam-enam subjek itu dijadikan subjek teras. Seolah-olahnya sekarang kita terpaksa melakukan sedikit pengorbanan dalam menentukan pilihan kita sebab kita tidak disuruh membawa semuanya. Tentunya yang dipilih untuk dikorbankan semestinya dalam kadar yang paling minimum.
19. Saya serius apabila menegaskan perkara ini dalam kertas ini sebab saya lihat sudah ada kecenderungan di kalangan kita menggunakan banyak masa dengan memberi tumpuan kepada berapa banyak jumlah subjek yang patut dipilih.
20. Kita seolah-olah sengaja mahu memerangkap diri kita dalam persoalan tentang berapa jumlah subjek yang sepatutnya menjadi subjek teras dan berapa pula jumlah subjek yang sepatutnya dipilih oleh calon SPM 2010 .
21. Satu pihak mendakwa bahawa jumlah subjek yang ada sekarang terlalu banyak hingga membebankan guru serta pelajar dan satu pihak lagi mendakwa cadangan terbaru ini terlalu sedikit dan seolah-olah mahu kembali ke belakang.
22. Sedangkan pandangan yang lebih diharapkan oleh Kementerian Pelajaran mengenai perkara itu tidak pula disentuh dengan mendalam. Ini termasuklah hal yang bersangkutan dengan jenis subjek, mengapa subjek itu menjadi pilihan dan bagaimana ia patut diajar secara berkesan.
23. Bukankah pandangan yang berkaitan jenis subjek yang diajar dan mengapa subjek itu menjadi pilihan lebih signifikan dan bakal meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada diri seseorang pelajar yang kelak akan menentukan jenis modal insan yang diharapkan untuk negara ini.
24. Sebenarnya kerajaan tidak pernah mempertikaikan kemampuan intelek pelajar dalam menguasai sebanyak mana pun subjek. Kemampuan otak manusia boleh menampung sehingga beratus-ratus pengetahuan dan kemahiran dalam suatu masa.
25. Namun yang menjadi alasan kerajaan ketika mengetengahkan perkara ini ialah niat suci kerajaan untuk mengurangkan beban guru dan beban pelajar, sebaliknya dengan mengehadkan jumlah maksimum subjek diharapkan dapat menambahkan fokus guru dan fokus pelajar kepada sesuatu subjek.
26. Marilah kembali semula kepada kaedah penyelesaian masalah 5W 1H seperti yang dibincangkan sebelum ini. Setelah kita menjawab soalan Apa dan Mengapa, kita juga patut menjawab soalan “How” atau bagaimana?
27. Maksudnya bagaimana kita berupaya menempatkan dan mengolah semua subjek itu dalam kurikulum yang hendak digubal dan buku teks yang bakal diterbitkan. Ini termasuklah kandungan yang dimuatkan di dalamnya beserta topik-topik serta subtopik yang disertakan.
28. Akhir sekali tentulah faktor yang paling penting ialah bagaimana guru-guru mempersembahkan (deliver) subjek itu semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P & P) agar pilihan yang kita tentukan itu benar-benar terkesan di hati pelajar yang seterusnya berupaya melahirkan modal insan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.
29. Harus diingat setepat mana pun jumlah subjek yang diajar, betapa murni pun kurikulum yang disusun dan betapa holisitik serta relevannya topik-topik yang dimuatkan dalam buku teks, semuanya akan kembali kepada zero jika kaedah penyampaian guru berkaitan subjek itu di dalam kelas tidak berlaku dengan sebaik-baiknya.
30. Jelas sekali daripada perbincangan tadi, sekarang bukanlah masanya untuk kita menghabiskan banyak masa dengan mempertikaikan mengapa sepuluh sahaja bukan dua belas subjek yang ditetapkan untuk calon SPM 2010.
31. Bukan juga persoalan mengapa empat sahaja bukan lima atau enam subjek yang patut menjadi mata pelajaran teras.
32. Kita seharusnya sedar jumlah subjek itu telah pun ditetapkan oleh kerajaan, iaitu 10 subjek untuk calon SPM bermula dan 4 subjek teras daripada 6 yang sedia ada. Sepatutnya kita sudah jelas dengan hal itu.
33. Maknanya kerajaan sudah menjalankan tanggungjawabnya dengan tidak membiarkan semuanya kepada rakyat untuk memikirkannya.
34. Sebaliknya kerajaan menetapkan suatu garis panduan dan rakyat pula diminta memberi pandangan dalam ruang lingkup batasan dan garis panduan yang ditetapkan itu.
35. Ternyata kerajaan cukup bertanggungjawab, banyak membantu dan memahami fungsi dan peranannya.
36. Ada perkara-perkara yang kerajaan perlu meminta pandangan rakyat, ada sebahagiannya yang kerajaan perlu putuskan semuanya lebih awal dan ada sebahagiannya perlu dibiarkan kepada rakyat untuk menentukannya. Inilah juga yang berlaku dalam pengehadan subjek di peringkat SPM ini.
37. Berasaskan kewajaran itu, tentulah tidak banyak pilihan yang diberi kepada kita. Kita mesti akur dengan angka 4 dan 10 itu.
38. Apa yang boleh kita lakukan ialah dengan memenuhkan empat ruang kosong itu dengan subjek teras yang menjadi pilihan kita dan pada masa yang sama turut memilih dua subjek lain yang perlu disingkirkan.
39. Kita perlu mengisi empat tempat itu sebab empat itu sahaja yang telah ditetapkan dan yang diperlukan daripada kita. Jika ada yang masih berdegil untuk meneruskan enam subjek sedia ada sebagai mata pelajaran teras, tak perlulah anda diberi pilihan.
40. Apabila kerajaan menentukan empat subjek sahaja sebagai subjek teras, bererti enam subjek yang lain akan digolong dalam subjek elektif (pilihan).
41. Ini bererti lebih banyak subjek elektif yang akan menjadi pilihan pelajar dan inilah juga yang dikehendaki oleh TS Muhyiddin Yassin sewaktu mencadangkan agar tiga atau empat subjek sebagai subjek teras bukan enam seperti amalan sekarang.
42. Sebenarnya lebih sedikit jumlah subjek teras itulah yang lebih baik. Tentulah tiga itu lebih baik daripada empat.
43. Walaupun begitu, empat subjek sebagai teras masih wajar sebab jumlahnya masih sedikit berbanding 6 yang ditawarkan sebagai subjek elektif.
44. Tetapi jika lima subjek tentunya tidak begitu menepati maksud teras disebabkan jumlahnya sama banyak dengan bilangan subjek elektif (5 dan 5). Mana satukah yang akan menonjol sebagai subjek teras jika jumlahnya sama banyak?
45. Bukankah sesuatu yang menjadi teras mestilah yang terkuat dan terutama berbanding yang lain. Sesuatu yang membolehkan yang lain bergantung dengannya itulah yang patut menjadi teras.
46. Kalau pada sebatang pokok yang menjadi terasnya ialah bahagian yang paling keras dalam batang kayu itu. Itulah yang dikenali dengan hati kayu ( rujuk hal 1666, Kamus Dewan, edisi keempat).
47. Jikalau teras itu sekadar perumpamaan kepada sebatang pohon, sudah tentu ada dua segmen yang menjadi teras yang selama ini bertanggungjawab menegakkan pohon itu. Pertama akar tunjangnya dan yang kedua batang pokok itu.
48. Yang lain-lain seperti dahan, ranting, daun, kulit, bunga, buah semuanya tumbuh kemudian daripada pokok itu yang turut menyokong pokok. Ada antara bahagian ini yang wajib ada, dan ada juga yang dengan ketiadaannya tidak menjejaskan pokok.Tetapi yang jelas tiada pokok yang kuat yang tidak punya batang dan akar tunjang.
49. Kebebasan kita dalam menentukan sama ada sesuatu subjek itu patut menjadi subjek teras atau elektif sahaja tidak patut dikongkong hanya disebabkan kehadiran istilah teras dan elektif itu.
50. Sebenarnya mana-mana subjek boleh sahaja menjadi subjek teras dan elektif asalkan kita sanggup menyediakan alasan jitu ketika kita mengelompokkannya.
51. Subjek teras yang sedia ada boleh sahaja menjadi subjek elektif, begitu juga subjek elektif yang ada sekarang boleh sahaja dijadikan subjek teras.
52. Sebagai contoh ramai yang bimbang jika subjek Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dijadikan subjek elektif. Berbagai-bagai alasan diberikan. Namun sebenarnya kedua-dua subjek itu boleh sahaja dikelompokkan sebagai subjek elektif tetapi diwajibkan kepada pelajar.
53. Mata pelajaran Sejarah umpamanya boleh diwajibkan ke atas semua pelajar, mata pelajaran Pendidikan Islam diwajibkan ke atas semua pelajar beragama Islam dan mata pelajaran Pendidikan Moral pula diwajibkan ke atas semua pelajar yang bukan beragama Islam.
54. Ternyata sekali kondisinya sama seperti yang dahulu tetapi statusnya sahaja yang berbeza. Kalau dahulu ketiga-tiganya berstatus teras, namun kini berstatus elektif.
55. Pandangan ini mungkin mengejutkan bagi sesetengah individu terutama yang selama ini menyamakan elektif itu sebagai suatu yang tidak wajib tetapi sekadar sampingan sahaja.
56. Jadi saya berharap dengan cadangan itu tidak ada lagi pihak yang berasa bimbang jika mata pelajaran sepenting Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral menerima nasib dipinggirkan begitu sahaja dalam keghairahan kita menentukan subjek mana yang patut dikekalkan sebagai teras dan yang mana pula perlu ditukar sebagai elektif sahaja.
57. Persoalan seterusnya yang perlu kita fikirkan ialah, apakah asas yang perlu digunakan semasa kita mengemukakan cadangan-cadangan yang akhirnya akan kekal sebagai keputusan yang akan dijadikan dasar dalam perkara ini?.
58. Tentunya kita patut menimbangkan semua dasar dan hala tuju negara yang sedia ada dalam masa kita menentukan semua itu.
59. Kita kena melihat status pencapaian semasa kita. Atau lebih tepat lagi apa yang sedang kita capai dengan apa yang kita harapkan akan berlaku.
60. Adakah terdapat jurang yang besar antara pencapaian semasa dengan apa yang sepatutnya kita perolehi menjelang 2020?
61. Maka Wawasan 2020 yang bakal menentukan negara ini menjadi sebuah negara maju menurut acuan sendiri menjelang tahun 2020 dengan 9 cabaran di dalamnya patut menjadi matlamat yang disasarkan.
62. Maksud saya ialah 10 subjek yang bakal ditetapkan itu dan 4 jenis subjek yang menjadi terasnya sewajarnya benar-benar menjadi pilihan yang tepat serta berupaya melahirkan modal insan yang diharapkan demi merealisasikan matlamat yang dihasratkan dalam Wawasan 2020.
63. Modal insan yang berjaya dilahirkan kelak ialah modal insan berminda kelas pertama yang berupaya membantu memacu negara ini ke arah kemajuan menurut acuan sendiri dan berupaya mendepani semua cabaran yang sedia ada dan akan datang.
64. Setelah kita jelas dengan hala tuju atau lebih tepat lagi ke mana kita hendak bawa pelajar-pelajar ini, maka kita mesti ada pegangan atau panduan tertentu agar kita tidak tersasar daripada destinasi yang hendak dituju.
65. Kita mesti berpegang kepada panduan yang betul untuk mencapai destinasi yang sebenar. Ia umpama sebuah kitab panduan yang lengkap dengan petunjuk dan peta yang dibawa sebagai bekal dalam pengembaraan kita menuju Wawasan 2020 itu.
66. Bagi saya pegangan atau panduan kita tidak lain dan tidak bukan ialah konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Prestasi Diutamakan berserta lapan teras (nilai) yang diberikan.
67. Jika kita mengaitkannya dengan pokok perbincangan kita persoalan yang dapat diajukan di sini ialah adakah ketika keputusan sedang dibuat bagi menentukan 10 jenis subjek untuk calon SPM, potensi dan masa depan pelajar didahulukan dan prestasi mereka yang menjadi keutamaan kita.
68. Setelah jelas hala tuju dan apa yang patut menjadi pegangan, kita perlu bergerak pantas di atas satu platform atau landasan yang sama dan betul. Tidak perlulah kita berkeras untuk menggunakan rel atau jalan kita sendiri.
69. Kita sebenarnya sudah ada landasan/rel kita sendiri iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan keseimbangan modal insan yang bakal dilahirkan dengan berpaksi kepada Tuhan yang sejajar dengan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.
70. Saya rasa tiga asas atau dasar itu sudah memadai dan cukup kuat untuk dijadikan pedoman oleh sesiapa sahaja semasa kita sibuk membahaskan cadangan mengehadkan maksimum 10 subjek untuk calon SPM dan menetapkan 4 subjek teras bukan enam seperti yang ada sekarang.
71. Tiga asas sedia ada itu mesti wujud dalam kepala setiap warga kerja pendidikan bermula daripada Menteri Pelajaran, timbalan-timbalannya dan pegawai-pegawai kanan kementerian kerana mereka inilah yang akhirnya bertanggungjawab merumus dan menetapkan suatu dasar tentang ini.
72. Jika tuan/puan yang di atas sana gagal memahami dan menghayati ketiga-tiga dasar ini dan menterjemahkannya dalam sebarang perubahan yang hendak dibuat maka apa pun keputusan yang bakal diumumkan nanti akan longgar di sana sini dan mudah diperkotak katikkan.
73. Sebab itu jauhi sebarang sikap mengutamakan perasaan sendiri dan bias kepada kelompok sendiri dalam membuat penentuan ke atas perkara yang sangat penting ini.
74. Tentunya tiada guna wujudnya tiga dasar negara yang disebutkan tadi jika ini diabaikan begitu sahaja atau disudip secara caca merba dalam menentukan sesuatu keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara pada masa depan.
75. Adalah mudah untuk mendapat sejumlah angka yang bersetuju atau yang tidak bersetuju tentang sesuatu perkara. Tetapi yang diminta kepada kita bukan persetujuan atau penolakan per se, tetapi pandangan dan cadangan. Tentunya ia lebih daripada sekadar angka dan setakat bersetuju dengan menyatakan ya atau tidak sahaja.
76. Jika sekadar hendak mendapat persetujuan sama ada 10 atau 12 subjek sebagai subjek yang sesuai untuk diambil oleh calon SPM atau dalam menentukan sama ada 3 atau 4 subjek sebagai subjek teras saya kira itu sangat mudah bagi pihak kementerian.
77. Kita kenalah tunggu sehingga sekolah dibuka jika kita mahu mengguna pakai instrumen ini. Tetapi jika kita terlalu terkekang dengan tempoh 2 minggu yang diberikan ternyata pada masa cuti ini sahajalah masa yang ada.
78. Apa yang boleh dibuat ialah arahkan sahaja pihak sekolah membuat bancian ke atas pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan mungkin juga Tingkatan 5 tentang subjek yang hendak dipilih. Guru-guru juga boleh menjawab soal selidik ringkas ini.
79. Saya penuh yakin dalam tempoh satu period sahaja (40 minit) kita sudah mendapat angka dari sebuah kelas dan dalam tempoh satu hari sahaja data dari semua kelas di sebuah sekolah sudah dapat dikumpulkan.
80. Malahan esoknya data itu sudah boleh difaxkan kepada pihak kementerian dan dalam masa tidak sampai satu minggu satu angka rasmi dari semua sekolah menengah di negara ini telah dapat dirumuskan.
81. Persoalannya sekarang adakah pandangan pelajar yang terbabit dalam perkara ini secara langsung sangat didambakan oleh kementerian.
82. Atau lebih tepat lagi adakah pandangan mereka menjadi satu kemestian untuk diguna pakai dalam menentukan jenis subjek dan jumlah subjek yang melibatkan diri mereka secara langsung.
83. Saya kira mungkin tidak kut. Sebabnya masa yang diberikan untuk membuat cadangan itu ialah masa cuti dua minggu ini (1 Jun - 14 Jun).
84. Yang keduanya tidak jelas disebutkan secara khusus jemputan kepada pelajar untuk memberikan pandangan.
85. Saya masih boleh berhusnudzan jika nama guru tidak disebut secara khusus meskipun golongan guru terlibat secara langsung mengajarkan subjek tersebut.
86. Sebabnya dalam satu keluarga pendidikan yang besar guru adalah ahli keluarga kementerian yang sepatutnya sentiasa menyokong usaha-usaha majikannya.
87. Guru tidak patut mempunyai suara yang berbeza dengan apa yang sudah diputuskan oleh Kementerian Pelajaran.
88. Namun saya sedikit resah jika pandangan pelajar terbabit sebagai kumpulan sasaran sebenar tidak diambil kira dalam hal ini.
89. Pengakuan TS Muhyiddin Yassin kepada pelajar-pelajar, khususnya yang berada di Tingkatan Empat tahun ini agar mereka tidak perlu bimbang akan perubahan yang bakal dibuat kerana sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan dijamin tidak akan memberi kesan negatif kepada mereka seolah-olah menjelaskan kepada kita betapa pandangan kumpulan yang bakal mencorakkan masa depan negara ini bukanlah sesuatu yang diharapkan (Baca akhbar Berita Harian, halaman 3, Selasa 2 Jun 2009)
90. Namun membaca petikan kata-kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom yang ‘meminta semua pihak memberi pandangan’ dan ‘semua yang terbabit boleh menulis surat’ kepada beliau sedikit melegakan hati saya kerana ungkapan itu mungkin dianggap sudah memadai untuk difahami bahawa pandangan guru dan pelajar sebenarnya turut dialu-alukan. (Baca akhbar Berita Harian, Selasa, 2 Jun 2009, halaman 3, Pihak berminat boleh hantar pandangan segera).
91. Jadi tentulah tidak salah jika kementerian membuka lebih ruang dan peluang kepada ibu bapa, individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik memandangkan kerajaan mahu golongan ini lebih mengambil berat dan lebih bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak mereka dan generasi yang akan datang.
92. Cuma yang saya ingin ingatkan di sini ialah dalam keghairahan kita menentukan subjek yang patut disenaraikan sebagai teras dan 10 subjek yang akan diambil oleh calon SPM, faktor sama ada kita suka atau tidak suka kepada sesuatu subjek sepatutnya tidak boleh sama sekali menjadi pertimbangan.
93. Disebabkan saya sukakan subjek itu maka saya pun memilih subjek itu sebagai subjek teras. Sebaliknya kerana subjek itu susah maka saya tidak mahu mencadangkannya.
94. Jika perasaan peribadi ini sampai menjadi pertimbangan dalam menetapkan sesuatu keputusan, percayalah kita tidak akan berupaya membuat pilihan yang tepat dan bitara.
95. Akibatnya keputusan yang bakal diperolehi nanti pun tidak akan benar-benar menggambarkan apa yang sebenarnya kerajaan hasratkan.
96. Barangkali didorong oleh alasan di ataslah kerajaan tidak meminta secara khusus pandangan pelajar yang terbabit.
97. Ya memang ada kebenarannya. Ia sama seperti menentukan siapa imam. Tentunya tidak wajar memilih imam dengan cara mengangkat tangan atau melalui pungutan suara ramai sebab hanya yang ahli atau pakar sahaja mampu mengenali imam yang terbaik untuk dilantik.
98. Jika pemilihan imam dibuka kepada suara ramai, tentu ada di kalangan imam yang terpilih itu disebabkan popularitinya, bukan kerana mutu bacaan dan akhlaknya.Begitulah halnya dalam menentukan subjek yang wajar dijadikan subjek teras bukanlah ditentukan berasaskan apa yang kita suka atau tidak suka. Pertimbangan seperti itu langsung tidak boleh digunakan. Malahan jika digunakan, ia tidak akan mampu menjadi satu ukuran yang tepat.
99. Kita hendaklah ingat bahawa sekarang kita dalam fasa mengukur sebelum kita mengambil keputusan untuk memotongnya. Di peringkat ini prinsip tukang jahit amat sesuai dijadikan pegangan. Prinsipnya mudah iaitu ukur biar berkali-kali, tetapi potong hanya sekali.
100. Akhirnya saya ingin membuat penegasan sekali lagi bahawa apa yang patut menjadi ukuran ialah adakah pemilihan subjek itu benar-benar menepati pembentukan sebuah negara bangsa yang sedang kita usahakan dan adakah ia selari dengan hala tuju negara yang sedang dibentuk.
Hakcipta Abd Bashid Harun
















4 users commented in " Pengehadan 10 Subjek SPM dan 4 Subjek Teras: Suatu Pandangan Menyeluruh "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackSdra Bashid,
Dalam menghayati isu yang penting ini, dengan izin komen saya ada lah saperti berikut;
Nampak nya isu KPM menghadkan 10 subjek untuk SPM dan penting nya sejarah sebagai subjek teras ini, telah berlanjutan dan bertambah menarik.
Saya tiada masaalah dengan mereka-mereka yang merasakan sejarah ini “ merupakan elemen penting membentuk modal insan yang berkaliber. Begitu juga dengan Pendidikan Islam dan Moral “. Idea yang bernas saperti ini sepatutnya di Songhua dan kalau boleh di terima oleh semua. That is that..
Namun kalau kita mula mencari kesalahan, mungkin kita akan tersalah tersasar dari isu-isu penting lagi luas sebagai panduan kita untuk mengimbang kan pandangan kita kearah positif.
Rasa nya, kes sejarah selaku subjek opsen bukan nya gawat sangat. Situasi saperti ini, sabenar nya telah biasa kita hadapi nya selama ini.
.
Cuma persoalan timbul bilamana perasaan prasangka terhadap tingkah laku KPM menghadkan subjek untuk diambil pelajar dalam peperiksaan SPM. Terasa seakan-akan mereka tidak perihatin kepada suara hati kita.
Untuk waktu seketika, cuba kita mengambil pendekatan tentang tanggung jawab atau accountability. Maksud nya siapa kah yang harus bertanggung jawab untuk mengajar subjek saperti sejarah, Pendidikan Islam dan Moral. Rasa nya selain dari Guru-Guru, Ibu Bapa dan sahabat andai perlu juga memainkan peranaan dalam hal ini.
So, selain dari KPM, Kita dan anak-anak, kita harus juga memikirkan situasi masyarakat kita secara menyeluruh. Kerana mereka ini banyak pengaruh kepada anak-anak kita dalam mengharungi perjalanan hidup mereka.
Justru itu, saperti saya katakan dulu, minat anak-anak bermula sejak mereka mulai pandai membaca. Sepatut nya mulai pada masa itu ilmu sejarah, Pendidikan Islam dan Moral, sudah kita(Ibu Bapa) tanam kan. Tak perlu saya detail kan cara-cara nya kerana kita semua tahu.
Realiti nya, kita perlu juga mengambil kira penting nya subjek yang releven untuk membantu masa depan anak-anak kita.
Contoh nya kalau ‘survival’ masa depan anak-anak kita untuk mendapat peluang pekerjaan melalui ICT, Doktor, Jurutera dan sebagainya (dsn); rasa nya penting juga mereka menumpuhkan perhatian mereka kepada hal-hal yang berkaitan.
Kita harus juga ingat bahawa ilmu pelajaran ini ada lah ‘process’ yang dinamik dan berlanjutan. Maksud nya anak-anak kita ( kerana minat sudah ditanam lebih awal) maseh boleh membaca buku-buku yang berkaitan moral dan sejarah dsn sebagai hobi dan ilmu pengetahuan.
Pada asas nya sistem peperiksaan ini ada lah untuk menguji kebolehan minda kita. Tetapi ia tidak dapat menjaminkan perasaan patriotik dalam sanubari kita.
Terdapat juga mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan pengajian Islam, moral dan sejarah , bukan nya orang Melayu ( Bumiputera) atau pun mereka yang beragama Islam..
Namun, sehingga kini mereka maseh manganut agama mereka..bukan Islam
Salam, mohon maaf kalau ada bahasa yang tersasar.
Sdr Solymone yang dihormati,
Terima kasih kerana sudi menitipkan kupasan yang bernas dan baik untuk menjadi renungan setiap warga negara Malaysia. Saya lebih daripada sekadar bersetuju dengan sdr apabila sdr menyebutkan bahawa semua pihak, termasuk ibu bapa dan sahabat handai wajar mengajar subjek Sejarah, Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam sejak seawal usia seorang kanak-kanak.
Dengan cara itu setiap warga negara Malaysia akan berasa lebih terpanggil dan lebih bertanggungjawab dan sama-sama prihatin terhadap pembentukan modal insan pada masa hadapan.
Kita mahukan pendidikan tidak rasmi di rumah dan dalam masyarakat sama-sama penting dalam memenuhi tuntutan mendidik dan menanam benih-benih kebaikan kepada anak-anak.
Keadaan ini pernah berlaku suatu ketika dahulu di negara ini di mana institusi keluarga, masyarakat, agama dan sekolah sama-sama memainkan peranan menurut bidang, ruang lingkup dan kepakaran yang ada pada mereka.
Tidaklah nanti apabila sesuatu gejala buruk terjadi ke atas rakyat Malaysia dan negara ini hanya guru dan sistem pendidikan yang disalahkan.
Terima kasih dan tahniah atas pandangan bernas sdr.
salam,
pandangan saya, dengan menjadikan subjek agama sebagai satu subjek elektif bukankah seolah2 secara tidak langsung memberi tamparan kepada status agama islam dalam negara kita?
sedangkan didalam perlembagaan negara jelas mengatakan agama islam adalah sebagai agama rasmi?
saudara tentu bersetuju 100% bahawa pendidikan adalah teras kehidupan.
justeru, bukankah dengan menjadikannya sebagai elektif atau opsyenal menggambarkan secara tidak langsung bahawa agama juga adalah opsyenal dalam kehidupan seharian?
oleh itu, dengan menjadikannya elektif wajib bukanlah jalan penyelesaian sebenar kepada isu yang saya bangkitkan di atas.
saya kurang pasti bagaimana saudara dapat menerima keputusan separuh masak ini tanpa memikirkan secara holistik tentang kebejatan isu-isu sosial yang melanda remaja kita sekarang?
sekarang ini, subjek agama diwajibkan pun, lihatlah keadaan sosial remaja kita?
dengan meng’elektif’kan subjek ini, penekanan oleh pelajar bahkan guru akan menurun.
sepatutnya, pihak berkaitan membuat kajian mendalam sebelum mencanangkan hal ini.
janganlah kerana politik, masa depan pelapis-pelapis ini diperkotak-katikkan.
tukar menteri, tukar dasar. ape ingat ini eksperimen ke?
Ulasan:
Salamun ‘alaik aidhan,
Sebenarnya ini bukan cadangan, tetapi sekadar pandangan peribadi saya. Ia juga bukan cadangan kementerian sebab kementerian belum pun membuat apa-apa cadangan tentang mana-mana subjek yang akan ditentukan sebagai teras mahupun elektif. Selagi ia merupakan pandangan selagi itu ia terdedah kepada perbahasan dan pertikaian. Pandangan saya tidak sedikit pun mengecilkan fungsi agama Islam sebagai cara hidup dan tidak juga mengurangkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan.
Saya sedar bahawa tugas guru agama mengajarkan subjek Pendidikan Islam tidaklah dapat mengambil alih tempat dan peranan ibu bapa dan masyarakat dalam memberikan bimbingan serta beramald dengan ajaran itu. Faktor kekangan masa, tempat dan ruang lingkup di sekolah menjadikan pendidikan yang berlaku secara informal dan nonformal mengenai amalan beragama Islam dalam keluaraga dan masyarakat menjadi lebih penting lagi.
Mengelompokkan subjek Pendidikan Islam (PI) sebagai elektif tetapi diwajibkan ke atas setiap pelajar Islam untuk mempelajarinya tidak akan membawa apa-apa kesan yang tidak baik. Ia seperti juga dalam ibadat Haji yang ada Rukun dan Wajib Haji. Begitulah juga halnya dengan subjek PI. Dalam ajaran Islam itu sendiri ada ibadat yang menjadi rukun dan wajib. Umpamanya dalam pelaksanaan munakahat dalam Islam ada beberapa hukum mengenai perkahwinan. Ada perkahwinan yang wajib, sunat, makruh, harus dan haram. Tetapi dalam peraturan Nikah itu sendiri ada rukun-rukunnya.
Jadi janganlah kita terlampau terbeban dengan perkara-perkara sebegini sehingga pelaksanaan agamaIslam yang sepatutnya menjadi mudah dan memudahkan penganutnya menjadi sulit dengan kesulitan yang kita bina sendiri. Dalam pandangan saya itu saya cuma menyediakan alternatif agar mata pelajaran agama tetap menjadi keutamaan walau apa pun keadannya. Tetapi pandangan saya itu tidak langsung bermaksud atau ditakrif dengan maksud untuk mengurangkan darjatnya.
Walau apa pun, saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan anda itu. Saya setuju dengan anda bahawa apa pun perubahan yang hendak dibuat ia tidak seharusnya dipolitikkan. Saya tidaklihat cadangan kerajaan dalam pengehadan subjek untuk calon SPM dan juga pandangan saya ada kecenderungan berpolitik. Tetapi apabila membaca ayat-ayat saudara yang akhir jelas siapa sebenarnya yang cuba mempolitikkan hal sepenting ini.
Terima kasih.
Salam,
Setelah 20 tahun terlibat dalam pendidikan sekolah, saya berpendapat:
Menjadikan pendidikan agama sebagai satu mata pelajaran (subjek)samada opsyen atau teras adalah asas kepada keruntuhan generasi melayu islam hari ini.
Apabila pihak berkepentingan dalam menjaga kerusi (melalui pilihan raya)cuba membuktikan keislaman masing-masing dengan cara menjadikan apa sahaja yang berbunyi agama satu prioritinya - yang paling mudah menjadikan ia satu mata pelajaran dan bermakna akan ada peperiksaan.
Meletakkan agama islam sebaris dengan mata pelajaran matematik, fizik, bahasa dll menjadikan layanan terhadap pendidikan islam tidak lebih daripada satu sibjek hafalan untuk dijawab dalam peperiksaan dan dilupakan selepas itu.
Tuan perhatikan sahaja bagaimana subjek ini diajar dalam bilik darjah, kita tidak kedengaran lagi ustaz atau ustazah mengajar sesuatu itu halal atau haram,wajib atau sunat atas dasar ketaatan dan ketakwaan tetapi hanya sebagai senjata untuk MENJAWAB SOALAN dengan kata lain untuk mendapat A.
Mata pelajaran agama tidak sepatutnya diajar sebagai satu subjek dalam bilik darjah tetapi hendaklah sebagai sebagai suatu YANG DIAMALKAN.
Pada hari ini ramai murid yang mendapat A agama islam tetapi pelajar inilah yang menghisap dadah, berzina dll.
Pada zaman saya bersekolah dahulu, tidak sedikit kawan yang bukan islam yang makan babi mendapat A dalam pendidikan agama islam kerana pada masa itu pelajar bukan islam dibolehkan mendaftar mata pelajaran ini dalam peperiksaan awam.
Menjadikan mata pelajaran agama sebagai mata pelajaran teras/wajib bukanlah satu pertimbangan yang dibuat atas dasar intelektual dan kajian yang sebenar tetapi lebih kepada unsur survival politik, anggapan, sentimen dan ekstrim sahaja.
Lebih-lebih lagi suara yang lantang datang daripada orang yang diluar bidang pendidikan dan akademician.
Untuk melawan dan ‘menang’ dengan golongan yang lantang ini adalah mustahil kecuali kita sama-sama membodohkan diri dan membuang segala prinsip ilmu.
Hal ini lebih sukar kerana orang melayu terkenal dengan golongan yang suka mencari jalan singkat dalam usahanya. Bagi orang kita senjata untuk cemerlang dalam peperiksaan ialah kekerapan sembahyang hajat berserta dengan air mineral dan pen/pensil yang dilonggokkan dihadapan sof sembahyang.
Tidakkah itu mendekati syirik. Yang peliknya ustaz/uztazah yang menjadi penganjur atas arahan pengetua yang jahil.
Inilah cara yang paling mudah. Jika acara sembahyang hajat ini dilaksanakan pada waktu persekolahan lagilah ‘meriah’ kerana seluruh jadual waktu sekolah pada hari itu kucar kacir. Guru dan pelajar yang tidak terlibatpun tumpang sibuk! Akhirnya pengajaran tidak berlaku pada separuh hari atau keseluruhan hari kerana mood belajar sudah hilang.
Bukan ustaz/ustazah atau pentadbir tidak menyedari hal ini tetapi inilah hasil daripada ketiadaan integriti.
Komen ini hanya permulaan dan harap boleh menghangatkan susana perbincangan ini.
T kasih.
Leave A Reply