Sekarang di sana sini orang ramai memperkatakan tentang pilihan raya. Walaupun tarikh pilihan raya belum diumumkan oleh SPR, namun persiapan yang ditunjukkan oleh parti-parti politik serta isu yang diketengahkan oleh akhbar-akhbar tempatan  mutakhir ini menjelaskan bahawa pilihan raya memang hampir. Dalam kehangatan menjelang pilihan raya umum ini janganlah ada di kalangan kaum pendidik yang tergelincir menentang arus dengan menyebelahi pembangkang dan menyalahkan kerajaan. Jika ada yang bertindak demikian, cepat-cepatlah kembali kepada fungsi mereka sebenar sebagai pendidik yang juga merupakan penjawat awam yang berkhidmat kepada kerajaan semasa di mana semua gaji dan kemudahan dibayar oleh kerajaan sedia ada kepada mereka. Guru-guru mesti jelas dan faham tentang perkara ini supaya mereka tidak mudah diruntun perasaan dengan menyerang kerajaan hanya kerana terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang sebenarnya  tiada sebarang komitmen dengan kaum guru. Nasihat saya ini bukan menafikan hak saudara untuk mengundi atau memilih calon atau parti yang saudara suka, tetapi biarlah itu dilaksanakan semasa membuang undi yang berjalan penuh rahsia. Jika anda sudah terang-terang menentang kerajaan, bagaimana anda menjalankan fungsi anda sebagai kakitangan kerajaan, menggunakan sistem, sukatan dan kaedah yang ditentukan oleh kementerian pelajaran. Bolehkah anda dipercayai sepenuhnya melaksanakan semua fungsi ini sedangkan hati anda sudah tidak bersama kerajaan. Ingat! Anda adalah orang yang cukup berpengaruh. Apa yang anda buat dan tuturkan akan memberi kesan kepada anak-anak murid dan masyarakat setempat. Jika anda sudah nekad untuk menyertai pembangkang, saya syorkan lebih baiklah anda meletakkan jawatan sebagai guru kerajaan. Alasannya anda sudah berlawanan dengan kerajaan semasa yang sedang memberi perkhidmatan dan baktinya kepada anda.