Kamus Dewan mendefinisikan kata “tabiat” sebagai budi pekerti, pekerti, perangai, watak. Dalam kamus yang sama kata tabiat juga didefinisikan sebagai perbuatan yang selalu dilakukan, kelakuan, tingkah laku.

Perkataan tabiat bukanlah asing di kalangan masyarakat Melayu Islam di negara ini. Kita selalu mendengar frasa tabiat yang baik sebagai lawan kepada tabiat yang buruk. Dalam maksud yang lain “tabiat” bermaksud perilaku atau perangai atau perlakuan yang sudah menjadi kebiasaan dan bersebati dalam diri yang menjadi rutin atau diulang-ulang.

Apabila Stephen R.Covey menggunakan kata tabiat atau habit dalam bukunya yang terkenal Seven Habits of Highly Effective People yang diterjemah sebagai 7 Tabiat Orang Yang Amat Berkesan, perkataan tabiat sudah menjadi semakin meluas penggunaannya.

Mula-mula kita melakukan sesuatu dengan berat sekali kerana sebelum itu kita tak pernah pun mahu melakukannya. Lama-lama kelamaan yang berat itu semakin biasa sehinggalah ia menjadi sebati dalam diri kita. dan sampai satu peringkat apabila sesuatu yang dilakukan itu sudah menjadi tabiat, ia sangat sukar untuk ditinggalkan.

Inilah kuasa ulangan sehingga ada orang menganggap ulangan itu adalah raja. Tentunya amat bertuah kalau yang diulang itu adalah amalan baik. Tetapi jika yang diulang itu adalah amalan yang tidak atau kurang baik dikhuatirit perkara yang yang buruk itu pula menjadi tabiat atau kebiasaan kita.

Saya beri satu contoh iaitu amalan bangun jam 2.00 pagi sama ada untuk tujuan solat malam atau melaksanakan kerja. Bagi mereka yang belum pernah bangun pada waktu itu, mereka akan memulakannya dengan memasang jam loceng. Tepat jam 2.00 pagi jam loceng berbunyi. Maka pada hari pertama besar kemungkinan individu terbabit agak liat untuk bangun. Dia mungkin cuba bangun, tetapi tidak berjaya.

Pada hari kedua, seperti juga hari pertama dia mengunci jam loceng. Apabila jam loceng berbunyi, dia bangun dengan perlahan untuk melangkah ke bilik air.

Pada hari ketiga dia semakin bertenaga dan pada hari keempat seperti sudah biasa. Dan pada hari yang kelima, saya percaya dia sudah tidak perlukan jam loceng lagi. Tepat sahaja jam 2.00 pagi, secara automatik dia akan terjaga daripada tidur dan matanya tidak boleh terlelap lagi. Inilah kuasa kebiasaan yang bermula daripada ulangan. Inilah nanti yang akan membentuk tabiat.

Inilah juga yang dinamakan jam biologi atau jam hayat yang diberikan oleh Tuhan kepada semua manusia tanpa mengira siapa mereka.

Contoh-contoh lain ialah amalan buang air besar sebelum sarapan dan amalan minum susu sebelum tidur.

Begitulah juga halnya dengan menepati masa. Menepati masa berkaitan dengan disiplin dan sikap tegas diri. Tanpa disiplin yang dibentuk daripada kebiasaan yang positif yang diulang-ulang, amalan menepati masa agak sukar untuk dilakukan.

Bukan mudah untuk menukarkan sikap membuang masa yang begitu lama bersarang di dalam diri kita kepada kebiasaan menepati waktu. Ini tentu memakan waktu, memerlukan dorongan kuat daripada dalam diri sendiri dan orang lain.

Untuk membentuk sesuatu amalan itu menjadi tabiat (tebiat) atau kebiasaan, pengorbanan memang diperlukan.Kesediaan kita mengorbankan tabiat buruk yang sudah lama menyebati dalam kehidupan kita adalah prasyarat berlaku semua perubahan yang positif ini.

Hakcipta Abd Bashid Harun