1 Anda tidak disuruh menjaga sehingga ke kepala dan rambut seorang wanita yang bergelar isteri sebab itu adalah urusan suaminya, tetapi anda wajib menjaga mulut dan kepala isteri anda sendiri.

2 Pemimpin yang tamak sering memanipulasi mulutnya terus ke cuping telinga pendengarnya, sementara pemimpin yang bijaksana memeta dahulu di mindanya, menyaring di dhamirnya, melakar di kertas kemudian barulah melaksanakannya di medan.

3 Pintu yang tertutup jangan disangka berkunci sebelum anda sendiri cuba menguaknya.

4 Seorang pemimpin itu apabila membedah seperti doktor, apabila menggunting seperti tukang jahit, dia ukur berkali-kali tetapi memotong hanya sekali.

5 Bercakap benarlah atas dasar ilmu kerana manusia tidak dihukum dengan ‘ilmunya, tetapi manusia hanya dihukum dengan ‘amalnya.

6 Kesilapan seseorang pemimpin ialah apabila ia hanya berjaya melahirkan ramai as-Siddiq di sekelilingnya, walhal di sekeliling Muhammad turut ada ‘Ali, ‘Umar dan ‘Uthman.Akhirnya dia hanya akan mendapat tukang angguk yang setia, bukan seseorang yang berani berkata tidak kepadanya.

7 Ayat-ayat Allah itu tidak terhad kepada 6666 yang Maqru’ah itu, tetapi meliputi ayat yang Manzhurah yang tidak terhitung banyaknya itu

Hakcipta Abd Bashid Harun