AL-Hamdulillah setelah hampir sebulan tidak menemui pembaca, kali ini saya diberi kekuatan untuk muncul semula. Sebelum itu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan blog saya, sdr Suhail yang tidak membiarkan blog GuruBashid sepi tanpa sebarang berita. Saya juga ingin mengucapkan selamat menduduki Peperiksaan kepada calon SPM yang memulakan peperiksaan mereka pada hari ini.Peperiksaan bukanlah medan untuk mencari orang yang gagal, tetapi ruang dan peluang untuk mencari seramai mungkin orang yang berjaya. Tidak ada seorang pemeriksa kertas pun yang memasang niat untuk menggagalkan anda, sedapat mungkin pemeriksa akan menolong anda. Hanya calon yang benar-benar tidak boleh menolong diri sendiri sahaja yang tidak berupaya dibantu. Guru-guru patut berada di sekolah, dan bila-bila masa boleh ditemui dalam musim-musim peperiksaan ini. Bila-bila masa sahaja ketika musim peperiksaan ini guru yang baik akan sentiasa berada di bilik guru dan boleh dihubungi pada bila-bila masa. Jangan jauhkan diri daripada pelajar anda di musim peperiksaan ini. Jika anda terlibat sebagai pengawas peperiksaan, itu memang tidak dapat dielakkan. Tetapi bagi yang bebas daripada sebarang tugasan di luar, eloklah berada di sekolah ketika peperiksaan berlangsung. Himpunkan pelajar sebelum mereka melangkah ke dewan peperiksaan. Berikan kata-kata semangat dan tips terakhir anda, dan tunjukkan kepada mereka bahawa anda memang guru mereka; dalam keadaan senang atau sulit. Jika mata pelajaran itu diuji pada waktu petang seperti dalam jadual, datanglah ke sekolah pada waktu petang itu. Biar pelajar tahu batang tubuh anda dan hati anda begitu hampir dengan mereka. Anda yang sentiasa mendoakan kejayaan pelajar-pelajar anda. Selain ini apa lagi bentuk bantuan yang boleh kita berikan buat mereka. Tak mungkin kita akan menyalurkan jawapan kepada mereka yang sedang menjawab soalan. Inilah caranya yang boleh membantu pelajar anda di saat penting ini.

















No user commented in " Dekati Pelajar Anda Di Musim Peperiksaan "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply