1 Saya pernah menulis sebelum ini bahawa bukan semua perlu menjadi satu dalam kita ghairah menterjemah Gagasan 1Malaysia. Ada yang perlu kita biarkan kekal dalam bentuknya yang asal.Antaranya seperti sekolah pelbagai aliran itu.KLIK DI SINI

2 Kali ini saya ingin menyatakan pula bahawa bukan semua harus diubah dalam keghairahan kita mahu melaksanakan transformasi.Sebahagiannya patut dibiarkan kekal di tempatnya yang asal dan berada dalam bentuk semulajadinya sebagaimana asal usul kewujudannya. Antaranya monumen yang bersejarah dan menjadi simbol atau ikon negara seperti bangunan Parlimen itu.

3 Yang penting diubah atau ditransformkan ialah semangat dan adab yang patut didokong oleh ahli-ahli parlimen di dalamnya bukan kedudukan bangunan itu sendiri.

4 Jika kerajaan sudah tidak ada jalan lain dan mesti mengubahnya tunggulah sampai kerajaan benar-benar kuat dan masalah-masalah ekonomi dan politik yang menjadi agenda utama kerajaan sekarang selesai.

5 Masalah sekarang ialah sebahagian generasi muda pascamerdeka kurang semangat patriotik mereka; tidak berminat dengan sejarah negara mereka dan kurang mengenali tempat-tempat bersejarah.

6 Adakah semangat, roh dan nilai sejarah yang ada pada bangunan Parlimen yang sedia ada telah benar-benar difahami dan dihayati oleh generasi muda hari ini atau mereka lebih mengenali parlimen sebagai tempat “perang”.

7 Saya bimbang jika kita memindahkan bangunan Parlimen ke tempat lain kita seolah-olah mahu mencabut roh jiwa Parlimen itu daripada akar umbi sejarahnya.

8 Pada pandangan saya perkukuhkan dahulu semangat patriotik dan cinta akan negara serta sejarahnya di kalangan rakyat Malaysia, terutama generasi mudanya sebelum satu sejarah lain dihadirkan iaitu peristiwa perpindahan bangunan Parlimen ke tempat barunya.

9 Begitu juga ubah dahulu sikap sebahagian ahli yang ada di dalam bangunan Parlimen itu sebelum memikirkan untuk mengubah bangunannya.

GuruBashid