1 Setelah bertahun-tahun tidak mengajar subjek Bahasa Melayu Tingkatan 5, saya diberi sebuah kelas untuk mengajar subjek teras tersebut pada tahun ini. Saya menerima tugasan ini sebagai suatu cabaran dan melakukannya dengan rasa gembira.

2 Saya bukanlah guru Bahasa Melayu yang sempurna. Masih banyak yang perlu saya pelajari tentang subjek ini. Namun saya berusaha untuk mengajar dengan cara yang lebih kreatif dan berkesan.

3 Saya mahu pelajar-pelajar saya mengalami sendiri jawapan yang betul berulang-ulang kali sehingga jawapan yang betul itulah yang terkonsep dalam minda mereka.

4 Saya tidak mahu pelajar-pelajar saya mengulangi perkara yang salah berulang kali tanpa tindakan pembetulan yang konkrit.

5 Kesalahan yang dilakukan oleh seorang pelajar patut diketahui oleh pelajar-pelajar yang lain, bukan untuk pelajar yang terlibat sahaja.

6 Saya mahu semua pelajar terlibat dalam melakukan pengesanan pelbagai kesalahan dan membetulkannya jika ada. Saya ingin tunjukkan kepada mereka jawapan yang betul dan bagaimana menjawab dengan betul.

7 Satu cara yang saya buat ialah memetik semula perkataan, ayat dan apa jua bentuk kesalahan dalam subjek tersebut untuk dijadikan bahan pengajaran bagi dibuat pembetulan.

8 Saya menggunakan jawapan pelajar saya sendiri sebagai bahan pengajaran. Dengan ini mereka mendapat dan melalui sendiri pengalaman sebenar yang paling dekat dengan mereka.

9 Nampaknya saya tidak perlu mencari-cari pelbagai contoh kesalahan dalam Bahasa Melayu daripada buku-buku tambahan yang berlambakan di pasaran.

10 Kesalahan yang dilakukan oleh pelajar saya sudah mencukupi untuk dibuat pembetulan. Tentulah perhatian mereka akan lebih terarah kerana perkataan dan ayat mereka sendiri dijadikan contoh untuk dibuat pembetulan.

11 Saya akan memindahkan perkataan dan ayat-ayat yang salah itu ke dalam buku catatan saya terlebih dahulu.

12 Selepas itu, dalam mata pelajaran tata bahasa dan karangan, saya akan menulis semula ayat dan perkataan tersebut di papan putih dan megajak semua pelajar agar mengesan kesalahan yang terkandung dalam ayat tersebut, dan membetulkannya.

13 Saya mahu pelajar saya sendiri mengesan kesalahan itu dan membetulkannya. Selepas itu mereka akan menulis ayat yang betul dalam buku nota masing-masing. Dengan ini mereka akan mengalami sendiri proses membina jawapan yang betul.

Hakcipta: