Bukan semua yang kita ada kita luahkan. Ia umpama peperiksaan. Kita hanya menjawab apa yang disoal.
Anda ingin mencurahkan semuanya kerana anda akan berasa puas hati apabila melakukannya. Tetapi oleh kerana sasarannya tidak tepat anda mungkin melupakan sahaja hasrat itu.Atau sebahagian sahaja yang anda curahkan, dan sebahagian lagi terpaksa disimpan sahaja.
Ada perkataan yang anda luahkan hanya kepada pasangan anda seperti kepada suami atau isteri anda. Tetapi ada perkara yang anda boleh luahkan dalam kumpulan yang ramai, dan ketika-ketika tertentu hanya orang-orang tertentu sahaja yang perlu mendengar luahan isi hati anda.
Ada perkara yang perlu anda bawa ke dalam mesyuarat, tetapi ada juga yang anda perlu beritahu secara empat mata di bilik anda.
Ada perkara yang anda boleh ucapkan dalam perhimpunan yang terbuka, tetapi ada juga perkara yang anda perlu luahkan dalam kumpulan yang lebih kecil atau di tempat-tempat yang tertutup.
Ada perkara yang boleh dibicarakan di meja makan, tetapi ada juga perkara yang lebih sesuai dibicarakan di ruang tamu.
Ada perkara yang lebih sesuai didengar oleh wanita, dan ada yang lebih sesuai untuk lelaki. Dan kebanyakannya sesuai untuk semua.
Ada perkara yang anda sampaikan itu lebih sesuai didengar oleh kanak-kanak, tetapi mungkin tidak sesuai langsung untuk orang tua. Begitulah juga sebaliknya.
Ada perkara yang hanya perlu diluahkan di tempat tidur, dan ada perkara yang boleh diluahkan untuk seisi keluarga termasuk anak-anak.
Begitulah batasan dalam komunikasi. Kita tidak boleh mengikut perasaan sehingga membinasakan diri kita seperti kata perbidalan Melayu “ikut hati mati,ikut rasa binasa”.
Semuanya ada adab dan batasan. Semuanya perlu melihat kepada matlamat dan sasaran. Dalam Islam inilah akhlak dan adab berkomunikasi bagi mengelak daripada berlakunya fitnah.
Jika menyimpannya lebih baik, maka simpan sahajalah. Jika menyimpannya itu lebih membawa mudarat, meluahkannya adalah jalan yang terbaik.
Hakcipta Abd Bashid Harun

















No user commented in " Batasan Komunikasi "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply