” Kita mengharapkan orang lain sama seperti kita membenci komunis. Tetapi jika yang mereka terima di sekolah dan di rumah tidak sampai ke tahap itu, apakah yang boleh kita katakan?” GuruBashid
1. Saya tahu cerita tentang Chin Peng, Parti Komunis Malaya (PKM) yang diterajuinya, siapa dia dan apa yang telah dia telah lakukan ke atas rakyat Malaya yang tidak berdosa.
2. Mungkin pengetahuan saya tentang Chin Peng dan kezaliman yang dia lakukan bersama PKM ke atas rakyat Malaya pada waktu itu tidak begitu banyak, tetapi mencukupi untuk saya menolak Chin Peng dari menginjak bumi Malaysia yang tercinta.
3. Saya agak bertuah. Sebabnya semasa saya kanak-kanak hingga remaja saya ditanam rasa benci yang mendalam oleh datuk dan bapa saya terhadap Chin Peng khususnya dan PKM amnya.
4. Cerita kezaliman mereka sewaktu memerintah selama 14 hari sebelum British Military Army (BMA) mengambil alih cukup terkesan di hati saya. Cerita itu diulang-ulang dan disampaikan dengan cara yang cukup beremosi dan mendalam.
5. Saya lahir di era selepas merdeka atau lebih tepat lagi setelah tamat era darurat (1948-1960). Tetapi cerita yang diulang-ulang oleh datuk dan bapa saya tentang keganasan PKM tidak mudah saya lupakan.
6. Daripada cerita datuk dan ayah saya itu, saya tahu bahawa tidak ada satu pun kebaikan yang dapat dikaitkan dengan komunis atau lebih tepat lagi PKM.
7. Yang ada ialah cerita yang penuh dengan kezaliman, keganasan, pembunuhan kejam dan berbagai-bagai perkara buruk lagi yang dikaitkan dengan komunis.
8. Jadi tentulah individu seperti saya tidak akan menyokong tindakan mana-mana pihak yang mengusulkan agar Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia.
9. Saya bukan sekadar tidak menyokong cadangan yang sebegitu malahan saya tidak terfikir pun sebelumnya ada “usul yang jahat” seperti itu.
10. Malahan kemarahan saya kepada Chin Peng dan PKM semakin bertambah-tambah dengan adanya cadangan seperti itu.
11. Kini kemarahan saya itu melebar kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung memulakan isu ini.
12. Ini termasuklah kepada pihakyang mencadangkan, menyokong cadangan atau apa-apa sahaja maksud yang menunjukkan mereka bersimpati kepada bekas ketua PKM itu.
13. Tidak ada keluarga saya yang tercedera mahu pun terbunuh di tangan komunis, tetapi apa yang telah dilakukan oleh PKM ke atas tentera dan rakyat yang tidak berdosa di negara ini suatu ketika dahulu adalah sejarah hitam yang tidak mudah dipadam daripada kami warga negara Malaysia yang setia.
14. Itu saya. Bagaimanakah situasinya dengan mereka yang tidak pernah mendengar cerita tentang kezaliman komunis daripada datuk, nenek dan ibu bapa mereka.
15. Kalau ada pun adakah gambaran yang diberikan tentang komunis kepada mereka sama seperti yang saya alami.
16. Bagaimana dengan mereka yang tidak pernah meminati subjek Sejarah dan tidak mengambil pusing tentang fata-fakta sejarah yang mereka pelajari sewaktu mengikuti subjek tersebut.
17. Bukankah subjek Sejarah dikatakan oleh ramai pelajar sebagai subjek yang paling membosankan, membuat pelajar mudah mengantuk dan turut dikatakan tidak komersial berbanding subjek Matematik dan Sains.
18. Adakah penerangan yang diberikan oleh guru Sejarah berkaitan dengan fakta-fakta tertentu dalam subjek tersebut mencukupi dan memuaskan.
19. Bagaimana halnya dengan kandungan cerita-cerita tentang PKM, keganasan oleh Chin Peng, peristiwa 14 hari Bintang Tiga memerintah negara ini, peristiwa 13 Mei 1969, dan peristiwa darurat dari tahun 1948-1960. Adakah fakta-fakta itu wujud dalam buku-buku teks Sejarah.
20. Kalau wujud pun, adakah fakta-fakta diberi penjelasan yang mencukupi untuk menyedarkan pelajar tentang bahayanya ancaman komunis itu.
21. Inilah beberapa perkara yang saya ingin lontarkan kepada pembaca sebagai bahan renungan.
22. Saya sebenarnya ingin memberitahu anda bahawa apa yang berlaku sekarang ini adalah kesan daripada apa yang berlaku selama ini dalam dunia pembelajaran di sekolah yang anda pernah lalui dan juga pendidikan tidak formal yang berlaku di rumah anda suatu ketika dahulu.
Hakcipta Abd Bashid Harun














1 user commented in " Adakah Semua Rakyat Malaysia Terkesan Dengan Kezaliman PKM? "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackSesiapapun yang dalam kepalanya ada ‘usul yang jahat’ seperti itu memang sahlah orang tu jahat.
Seingat saya sejarah tentang komunis memang ada terpampang dalam buku teks sekolah saya dulu beserta dgn gambar ‘Rundingan Baling’. Walaupun waktu itu subjek sejarah bukan kegemaran saya tapi saya baca dengan penuh sentimen kerana terkenang datuk saya yang nyaris maut kerana mereka.
Maaf cikgu…saya tertinggal baca blog cikgu lebih kurang 2 minggu lebih
Respon:
Terima kasih Julia. Cikgu harap Julia ceria selalu di samping kerja seharian. Beginilah yang akan berlaku sekiranya seseorang itu lebih mementingkan agenda peribadi daripada kepentingan negara dan rakyat. Dia sanggup meletakkan negara dalam keadaan huru-hara dan kucar-kacir semata-mata untuk memenuhi hajatnya. Yang penting baginya dia dapat meraih sokongan daripada pihak yang terlibat tanpa mengambil kira isu yang digunakan dan cara yang dilakukan. Semua isu dan cara adalah halal bagunya asalkan hajatnya tercapai. Pedulikan orang lain, yang penting diri sendiri.
Leave A Reply