1. Saya melihat dalam hal ini Khairy cerdik. Dia mengajak calon yang bertanding Ketua Pemuda UMNO berdebat secara terbuka. Dia memang dilihat memiliki kelebihan dalam lingua-verbal.
2. Membaca tulisan-tulisannya, mendengar dia berhujah dan menjawab soalan wartawan, saya percaya dia ada kedua-duanya: lisan dan tulisan. Saya sendiri suka mendengar dia berhujah.
3. Sebelum itu ketika ditemuramah oleh Utusan Malaysia dia menegaskan perlunya keutamaan diberikan kepada pengisian berbanding retorik. Tetapi apabila dia mengajak dua pesaingnya berdebat dia sebenarnya yang sedang beretorik. Kalau dia tidak punya kekuatan retorik, dia tidak akan berani mengajak calon lain berdebat.
4. Saya pernah mencatatkan komen dalam blog beliau tentang hal ini. Ini komen saya yang disiar pada 10/10/2008 6:10:00 Pagi:
“Jika sdr boleh kedua-duanya apa salahnya. Retorik bagi meyakinkan pendengar tentang apa yang saudara lakukan. Pengisian adalah hasil kerja buat kita. Jika kita telah melaksanakan pengisian dan pandai pula mempersembahkan pengisian itu dengan ramuan retorik itulah kekuatan kita. Itulah bonus buat kita.”
5. Jelas sekali anak muda ini serius untuk memenangi pertandingan ini dan bersedia bersemuka demi mempertahankan visi dan misinya yang sedang diperjuangkan olehnya.
6. Nampaknya yang sanggup menerima pelawaan beliau ialah Dr Khir Toyo. Pengalaman beliau sebagai Ketua Pembangkang di Darul Ehsan nampaknya benar-benar menjadikannya lebih berani mendepani cabaran.
7. Saya tidak begitu pasti kekuatan oral beliau sebab saya tidak pernah mendengar beliau berucap. Cuma apabila mendengar beliau menjawab soalan-soalan wartawan yang disiarkan melalui kaca TV, saya kira gaya hujah dokor gigi ini biasa biasa saja.
8. Tetapi gaya tulisan beliau memang ada kelebihan. Meneliti tulisan beliau dalam blog beliau saya berpendapat gaya penulisan beliau lebih baik daripada gaya penulisan dua blog pesaingnya.
9. Beliau memang boleh menulis dengan baik. Tetapi mempunyai gaya penulisan yang baik tidak semestinya berguna untuk menjadi orator yang baik. Tak mengapa. Sama-samalah kita tunggu.
10. Tentang Mukhriz yang menolak debat, saya awal-awal lagi sudah dapat menjangkakannya. Jika saya berada dalam kedudukan Mukhriz pun saya tidak akan menerima tawaran itu.
11. Saya amat bersetuju dengan tindakannya menolak debat sebagai cara. Itulah tindakan yang paling tepat untuk dirinya. Pertama, Mukhrij tidak mempunyai kekuatan retorik baik dalam tulisan mahupun lisan. Ini pendapat saya secara peribadi setelah mendengar dia menjawab soalan wartawan dan membaca beberapa tulisan beliau.
12. Ucapannya tidaklah begitu menarik, tetapi apa yang dibuatnya dalam Aman dan usahanya dalam perniagaan menampakkan beliau memang seorang yang bekerja secara smart dan mengutamakan hasil.
13. Walau apa pun saya dari awal-awal lagi tidak pernah menerima debat sebagai cara kecuali sebagai upacara. Saya dilatih berdebat tetapi saya tidak pernah percaya yang debat dapat menyelesaikan masalah-masalah kita.
Hakcipta Abd Bashid Harun
















