TAJUK:Bagi Negara Malaysia yang ingin mencapai kemajuan yang sama tetapi pada masa yang sama mahu mencipta teknologi sendiri di samping mengimport teknologi orang lain. Cita-cita ini memerlukan rakyat Malaysia memiliki sikap dan nilai yang berbeza daripada apa yang mereka miliki hari ini. Sebagai seorang pendidik yang berketerampilan, bincangkan apakah sikap dan nilai yang perlu dimiliki oleh rakyat Malaysia bagi menghasilkan ciptaan-ciptaan yang berteknologi tinggi. Bincangkan juga bagaimana sikap dan nilai itu boleh disebatikan dalam sahsiah para pelajar di sekolah.
Pendahuluan
Untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dapat menghasilkan ciptaan berteknologi tinggi, pembangunan organisasi adalah diperlukan. Pembangunan organisasi merupakan satu tindakbalas kepada perubahan. Satu strategi pendidikan yang kompleks bertujuan untuk mengubah kepercayaan-kepercayaan, sikap-sikap, nilai-nilai dan struktur organisasi-organisasi perlu dilakukan supaya mereka boleh menyesuaikan kepada teknologi-teknologi baru, pasaran-pasaran baru, persaingan –persaingan baru dan juga kadar perubahan yang terlalu cepat dan pantas (Bennis,1969). Sehubungan ini, sikap dan nilai yang perlu dimiliki oleh rakyat Malaysia adalah seperti berikut:
A. Mempunyai wawasan
Pemimpin negara kita telah menentukan wawasan negara iaitu menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Tetapi wawasan ini kurang dihayati atau dipraktik oleh rakyat Malaysia. Wawasan ini sekadar slogan yang digunapakai oleh ahli-ahli politik sahaja. Oleh itu bagi mendidik rakyat Malaysia menghayati wawasan ini, beberapa langkah perlu dilaksanakan iaitu :
•Kempen secara besar-besaran dan berterusan yang melibatkan semua lapisan masyarakat mengenai kesan dan akibat wawasan 2020. Rakyat mungkin kurang jelas apa itu wawasan? Bagaimana hendak mencapai wawasan ini? Apakah persediaan perlu dibuat bagi mencapai wawasan ini? Apakah kelebihan mempunyai wawasan daripada tidak berwawasan? Apakah akibatnya kalau wawasan ini tidak tercapai? Maklumat ini mestilah disampaikan dengan jelas kepada setiap individu dan mereka baru dapat menghayati konsep ini dan dapat mendisiplinkan diri mengikuti perkembangan organisasi.
•Sekolah mesti mempunyai visi dan misi yang jelas dan boleh dicapai. Visi dan misi ini perlu dikomunikasikan kepada setiap warga sekolah dengan jelas terutamanya tentang target yang hendak dicapai. Jangan sekadar mempunyai visi dan misi yang dipamirkan di dinding sekolah sahaja. Setiap anggota sekolah mesti bekerja keras untuk mencapai misi dan visi tersebut. Perancangan strategic perlu dibuat sebelum pelaksanaan sesuatu program bagi merealisasikan misi dan post mortem perlu dikaji bagi memastikan keberkesanan dan penambahbaikan sesuatu program.
•Mendidik setiap individu mempunyai cia-cita tersendiri. Setiap individu dalam masyarakat terutamanya pelajar mempunyai matlamat hidupnya yang tersendiri. Usaha gigih ke arah kecemerlangan biasanya didorong oleh cita-cita yang ingin dicapai. Tanpa cita-cita mereka berpuas hati dengan apa yang mereka perolehi dan tidak ke arah melampaui kebiasaan. Pelajar yang bermatlamat adalah pelajar yang produktif kerana ia tahu hala tujunya dan berusaha untuk mencapainya. Hasil yang cemerlang hanya datang dari usaha yang cemerlang, usaha yang melampaui kebiasaan (Dr Fatanah,2003).
B Membina sikap positif terhadap perubahan
Manusia adalah makhluk yang bertabiat. Oleh itu, kita cenderung menangani kerumitan hidup dengan tabiat kita atau tindak balas yang sudah diprogramkan. Oleh itu, apabila ada perubahan, kita akan cuba menentang perubahan itu kerana sudah lama berada dalam zon selesa. Sehubungan itu, bagi mencapai negara maju adalah perlu menanam sikap positif terhadap perubahan yang membawa kebaikan bersama, kecemerlangan individu dan organisasi. Kita hidup dalam dunia yang pesat berkembang dan penuh perubahan, kalau tidak ada respon terhadap perubahan, kita akan ketinggalan dan kehidupan kita akan semakin susah. Lama-kelamaan kita akan kehilangan apa yang kita sedia ada sekarang. Oleh itu, kita mesti menyemai sikap positif terhadap perubahan di kalangan anak-anak muda terutamanya pelajar-pelajar supaya sentiasa menerima cabaran dan menyesuaikan diri terhadap perubahan dan akhirnya menjadi agen perubahan.
Nilai ini boleh disemai sedikit-demi sedikit tetapi berterusan pada masa persekolahan. Guru-guru dan ibu bapa serta ahli komuniti mesti sentiasa membuka minda pelajar bila sahaja ada peluang seperti pada masa perhimpunan, aktiviti kokurikulum, masa pengajaran dan pembelajaran, semasa berbual-bual dan pameran artikel di papan kenyataan.
C Nilai perubahan yang berterusan dan penambahbaikan setiap hari
Perkembangan dunia akan berterusan dan tidak akan terhenti di situ pada ketika itu. Setiap saat beribu-ribu idea baru, produk baru dikeluarkan dan penambahbaikan di buat. Oleh itu, kita mesti didik rakyat Malaysia terutama para pelajar bahawa perubahan adalah berterusan dan penambahbaikan perlu dibuat & dikaji setiap hari. Ikut konsep ‘kaizan ‘di Jepun, “if it isn’t broke, improve it because if you don’t, someone else will”. Dengan ini, untuk maju kita perlu mengamalkan konsep ini di semua lapisan masyarakat. Pelajar-pelajar dilatih membuat muhasabah diri mengenai penambahbaikan diri. Guru-guru menunjukkan teladan dengan membuat penambahbaikan dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Misi sekolah sentiasa mengejar ke taraf yang lebih baik. Mutu akademik ditingkatkan setiap tahun. Ini semua merupakan pengalaman yang berguna kepada pelajar mengamal nilai perubahan yang berterusan dan akan menjadi nilai hidup mereka satu hari nanti.
D. Komuniti pembelajaran
Corak masyarakat kita hari ini seolah-olah pendidikan akan tamat selepas penerimaan sijil, diploma atau ijazah. Majoriti graduan akan berhenti menceburi bidang mereka setelah tamat persekolahan dan memasuki alam pekerjaan. Masyarakat kita masih kekurangan konsep pembelajaran berterusan. Kita tidak berkembang terus dalam profesion atau pekerjaan yang kita ceburi. Setiap hari kita hanya melaksanakan kerja rutin kita sahaja. Banyak masa kita diisikan dengan perkara yang tidak banyak mendatangkan faedah kepada diri kita mahu pun organisasi. Kita melayari internet pun berfokus pada maklumat bukan ilmiah yang menyebabkan pemikiran kita terbantut dan tidak mencambahkan idea untuk kemajuan. Kita tidak dapat menangani perubahan yang datang secara mendadak kerana kekurangan maklumat terkini. Menurut kajian, purata rakyat Malaysia membaca buku hanya beberapa muka surat sahaja setahun. Ini amat jauh berbeza dengan negara-negara yang maju. Oleh itu, untuk menuju ke arah masyarakat belajar, kita mesti melaksanakan langkah-langkah berikut:
•Wujudkan suatu visi yang dikongsikan bersama dan dipersetujui oleh semua lapisan masyarakat misalnya wawasan 2020. Oleh itu, semua rakyat Malaysia akan bekerjasama untuk mencapai visi organisasi yang dikongsi bersama.
•Memperbanyakkan peluang pembelajaran seperti mengadakan lebih banyak kursus latihan dalam perkhidmatan pada masa yang sesuai. Mengadakan program perkembangan staf, pembelajaran berkumpulan dan sebagainya yang boleh ahli-ahli berhubung secara terbuka sesama sendiri dan mencetuskan minda rakyat Malaysia terutamanya di kalangan orang dewasa.
•Memberi sokongan kepada rakan, subordinate yang mengikuti kursus atau latihan. Memberikan bantuan yang sepatutnya jika perlu dan jangan memutuskan semangat orang yang ingin mengejar ilmu. Konsep kerjasama diberi penekanan yang sewajarnya.
•Memberi pengiktirafan kepada orang yang berjaya dalam bidang profesion mereka supaya semangat ingin kecemerlangan dapat diteruskan dan menjadi contoh kepada orang lain terutamanya guru yang boleh dijadikan teladan kepada pelajar.
•Mengadakan suasana / infra struktur yang sesuai dengan pembelajaran contohnya
perpustakaan yang serba lengkap untuk rujukan.
E. Peningkatan penggunaan teknologi baru.
Peningkatan penggunaan komputer khususnya komputer mikro perlu diberi lebih penekanan. Walaupun kerajaan telah mengadakan dasar-dasar menggalakkan pemilikan dan penggunaan komputer tetapi usaha ini masih belum mencukupi kerana pelaksanaan pelajaran komputer tidak dipantau dengan berkesan. Sukatan pembelajaran komputer tidak diurus dengan baik dan tidak diberi nilai tambah. Sekolah dipertanggungjawabkan menguruskan kelas komputer masing-masing namun sokongan berterusan dan berganda daripada pihak kementerian pelajaran masih belum sempurna. Sehingga sekarang, kelas komputer sekolah masih tidak berganjak daripada memberi pendedahan kepada Microsoft word, power point dan excel sahaja setelah lebih sepuluh tahun mengadakan kelas komputer. Kursus yang dijalankan bagi membantu rakyat, termasuk di luar bandar dan orang asli meningkatkan dan mendalami lagi ilmu pengetahuan tentang komputer perlu diadakan secara holistik dan berterusan. Pihak swasta pula terlalu mengejar keuntungan dan sangat kedekut dalam pengkongsian ilmu pengetahuan dalam bidang ICT ini.
Dengan itu, adalah difikirkan wajar kursus–kursus dengan bayaran yang berpatutan dalam memperkembangkan ilmu perkomputeran kepada rakyat Malaysia diadakan. Pelajar-pelajar juga akan memperolehi lebih manfaat dari program seperti ini sekiranya guru mereka adalah pakar komputer. Melalui asas komputer yang kukuh, minat pelajar terhadap teknologi baru dapat disemai dan dipupuk untuk kecemerlangan. Di samping itu, mata pelajaran yang berkaitan dengan teknologi seperti sains dan matematik akan menjadi mata pelajaran minat mereka dan bukan lagi mata pelajaran “fobia” atau ditakuti.
Pengajaran dan pembelajaran boleh menjadi semakin menarik kerana komputer berupaya mempersembahkan simbol, gambar objek yang abstrak seperti bentuk atom, molekul dan sebagainya. Dengan kemahiran yang ada, pelajar dan guru mampu melayari internet untuk mengakses sumber maklumat yang lebih luas atau global dan pertukaran maklumat akan berlaku lebih cepat.
F. Berkomunikasi Dengan Baik.
Komunikasi adalah dasar perhubungan antara manusia. Seseorang akan berasa sukar untuk bekerjasama dan berhubung dengan orang lain apabila kemahiran komunikasinya kurang baik dan tidak berkesan. Dalam komunikasi berkesan, kita mesti mempunyai perbendaharaan kata yang jitu, nada suara yang betul, air muka yang tepat semasa penyampaian idea atau maklumat supaya orang yang menerima mempunyai pengertian yang sama dengan kita. Orang yang mempunyai skill komunikasi yang berkesan, dapat menyampaikan atau menerima maklumat tanpa menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan orang lain, mewujudkan hubungan mesra dan semangat kerja berpasukan. Oleh itu, adalah penting pelajar dilatih berkomunikasi dari segi kesantunan bahasa, perbendaharaan kata, nada suara dan gerak badan (body language)dan mimic muka yang betul supaya komunikasi berkesan dapat di bentuk.
G. Pemikiran Kritis dan Kreatif
Ahli-ahli masyarakat dan pelajar perlu dilatih untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Dalam kurikulum lama, pelajar tidak dilatih menyoal soalan walaupun mereka tidak faham dengan kandungan pengajaran guru. Mereka dilatih menerima apa saja bahan yang diberi oleh guru walaupun kadang kala input yang diberikan itu tidak ssma dengan pandangan atau pendapat guru itu sendiri.
Kurikulum bagi tujuan kehidupan masa depan juga perlu memfokuskan kepada kebolehan membuat pilihan dan keputusan berdasarkan sebab-sebab yang rasional serta justifikasi. Ini perlu kepada asas minda yang kreatif, kritis, analitis, reflek dan futuristik. Dengan adanya minda yang kritis, pelajar-pelajar akan berupaya mengenal pasti andaian-andaian, idea-idea dan pandangan yang akhirnya akan membawa kepada perubahan tingkah laku peribadi yang lebih baik. Pemikiran yang kreatif juga akan membolehkan para pelajar menghasilkan satu produk atau inovasi baru, serta mendapatkan cara penyelesaian setelah menganalisis maklumat yang berkaitan.
Seseorang yang berfikiran kritis juga akan bersifat reaktif, iaitu sentiasa peka kepada perkembangan yang berlaku di sekitarnya. Ini diikuti dengan gerak balas yang positif dan bersifat segera.
H. Unsur-unsur Patriotisme
Patriotisme merupakan satu unsur kekuatan kesetiaan dalam pembinaan diri, mencintai negara sendiri atau kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadap tanah air sendiri. Patriotisme merupakan semangat setia kepada negara yang lahir dalam jiwa manusia dan ianya lebih bersifat subjektif.
Unsur-unsur yang terkandung dalam semangat patriotisme termasuklah kekuatan dari segi psikologi serta kekuatan dari segi tindakan. Semangat patriotisme yang lahir di dalam diri dapat membentuk insan yang sanggup berkorban untuk negara serta peka kepada kekuatan dan masalah negara. Semangat ini juga dapat membina jati diri setiap ahli masyarakat dan seterusnya dapat membentuk sebuah negara yang makmur dan berdaulat.
Pemupukan semangat patriotik adalah penting bagi negara Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk. Semangat ini dapat membantu pembentukan satu bangsa negara Malaysia yang cintakan tanah air.
Semangat patriotisme perlu dipupuk dan disemai di kalangan pelajar supaya mereka dapat:
•Mengenal diri dan mencintai warisan bangsa, agama dan negara.
•Mempunyai perasaan cinta dan bangga terhadap agama, bangsa dan negara.
•Mengamalkan semangat perpaduan dan hidup bermasyarakat secara harmonis.
•Memahami dan menghargai usaha-usaha negara ke arah pembangunan dan kemajuan.
•Bersemangat ingin berusaha dan melibatkan diri secara aktif dan produktif untuk kemajuan bangsa dan negara.
•Bersedia untuk berkorban demi mempertahankan negara daripada ancaman luar.
Kesimpulan
Pandangan dan Rumusan
Di samping menggalakkan pelajar kita meneroka perkara-perkara baru, bebas mencetuskan idea dan berkarya, guru-guru juga harus berupaya mengetengahkan agenda tersembunyi dan matlamat tersirat di sebalik sesuatu dasar kerajaan untuk dikongsi dengan pelajar. Pendidik hendaklah jauh lebih ke hadapan dalam hal ini berbanding pelajar-pelajar mereka. Sebagai contoh, matlamat Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia negara maju telah diketahui umum, tetapi frasa “menurut acuan sendiri” masih belum dikupas dengan cara yang sewajarnya. Frasa menurut acuan sendiri mesti difahami betul-betul memandangkan ia mempunyai makna yang tersendiri. Menurut acuan sendiri bolehlah difahami sebagai cara dan kejayaan yang dicipta sendiri tanpa meniru mana-mana pihak. Matlamat terakhir Wawasan 2020 ialah membebaskan diri daripada sebarang pergantungan yang dilambangkan melalui peniruan, penggunaan hasil ciptaan orang lain dan perasaan takut untuk membuat keputusan sendiri perlu dielakkan jika kita ingin mencipta teknologi sendiri dan memasarkannya kepada orang lain. Jika China menghantar orang-orangnya,sehingga di mana ada pelusuk bumi yang boleh dimasuki ada orang-orangnya; Jepun pula menghantar barang-barangnya, sehingga selipar yang dibuat dengan bahan tempatan pun masih disebut selipar Jepun.
Persoalannya apakah pula yang bakal dihantar oleh negara kita ke seantero dunia? Keretanya, fikirannya atau teknologinya? Adakah kita ingin menjadi seperti pungguk yang rindukan bulan sedangkan orang lain sudah lama ke bulan? Adakah kita ingin menjadi seperti popeye yang sentiasa bergantung kepada spinachnya? Adakah sang kancil perlu mengenakan bulu harimau untuk kelihatan garang? Soalan-soalan yang mencabar seperti ini wajar diajukan kepada pelajar pada setiap hari jika cita-cita untuk membangunkan rakyat Malaysia yang berdikari dan bebas mencipta tercapai.
Hakcipta Abd Bashid Harun



















