1 Seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai mie meminta tips untuk menghadapi temuduga KPLI.

2 Saya tidak begitu arif mengenai temuduga KPLI, tetapi saya akan cuba membantu beliau dan sesiapa sahaja yang bakal menghadiri sebarang temuduga.

3 Tanggapan salah tentang temuduga ialah menganggap penemuduga akan mencari kesalahan kita dan cuba menggagalkan permohonan kita.

4 Sebenarnya temuduga diadakan dengan matlamat hendak memilih calon yang berkelayakan atau bersesuaian untuk memenuhi kekosongan sesuatu jawatan, untuk tujuan kursus atau bagi tujuan diberi bantuan.

5 Penemuduga yang terlibat dalam sesuatu sesi temuduga ingin membantu kita seboleh yang mungkin agar proses menemuduga berjalan lancar dan tidak membebankan mereka.

6 Penemuduga bukan musuh kita, sebaliknya mereka adalah orang yang paling baik yang pernah berada di hadapan kita.Maka bersangka baiklah dengan mereka.

7 Pada sesi temuduga pegawai yang menemu duga kita sebenarnya mengharapkan kita berkongsi kepakaran, kemahiran, pengalaman dan kebolehan yang sedia ada pada kita bersama mereka.

8 Pada hari itu mereka adalah individu atau beberapa individu yang menyediakan bukan sahaja masa, telinga dan mata untuk kita tetapi juga seluruh perhatian mereka akan tertumpu ke arah kita.

9 Mereka mahu mendengar sesuatu daripada kita sebab itu memang menjadi tugas mereka pada sesi temuduga itu.

10 Tanpa perhatian yang sebegitu rupa mereka tidak mungkin dapat mencari calon yang berkelayakan dan ini tentu akan merugikan syarikat atau institusi yang mereka wakili.

11 Dalam kebanyakan temuduga soalan yang diajukan kepada calon ialah soalan subjektif yang pasti ada jawapannya.

12 Wajar diingat bahawa yang diutamakan dalam sesuatu sesi temuduga bukannya jawapan salah atau betul, tetapi bagaimana seseorang itu mengemukakan jawapan dan keihklasan dalam memberi jawapan.

13 Anda tidak perlu terlalu risau jika anda tidak tahu jawapannya sebab itu akan mengganggu konsentrasi anda semasa sesi temuduga itu.

14 Jika anda tidak tahu jawapannya pun, anda masih boleh berterus terang dengan menyatakan bahawa anda kurang jelas akan jawapannya. Tetapi jangan berhenti setakat itu.

15 Apa yang patut anda lakukan ialah berusaha untuk memberikan jawapan dalam kadar kemampuan dan pengetahuan anda miliki.

16 Jangan tunjukkan sama sekali yang anda cuba lari daripada soalan yang diajukan, tetapi berusahalah untuk meyakinkan penemuduga yang anda sebenarnya mahu mengambil bahagian dengan menjawab soalan itu.

17 Jangan sesekali berkata saya tidak tahu akan sesuatu jawapan walaupun anda memang benar-benar tidak tahu.

18 Adalah lebih baik anda berterus terang sahaja dengan menyatakan bahawa anda kurang jelas tentang hal yang ditanyakan, tetapi beritahu yang anda cuba untuk menjawabnya.

19 Saya kira cara penolakan seperti itu lebih sopan supaya tidak timbul yang anda tidak membuat persediaan sama sekali.

20 Biasakan memberikan jawapan lebih panjang dan melampauai daripada kehendak penemuduga kerana dengan cara itu anda dapat meyakinkan penemuduga dan seperkara lagi tidak banyak soalan yang sempat dikemukakan kepada anda.

21 Anda mesti berlaku jujur dalam setiap jawapan yang anda berikan bukan menipu penemuduga atau memperbodohkan diri sendiri dengan jawapan yang diberikan.

22 Jika ditanya mengapa anda berminat dengan kursus atau jawatan yang dipohon beritahu apa yang anda dapat tawarkan kepada institusi atau syarikat jika anda diterima menjadi sebahagian daripada organisasi itu.

23 Anda mesti yakinkan penemuduga bahawa anda adalah yang terbaik untuk jawatan atau tawaran itu.Mereka tidak akan sia-sia menerima anda.

Hakcipta Abd Bashid Harun