Saya meminati politik. Malahan saya mengikutinya sambil memberikan idea mengenainya. Namun saya bukan ahli politik. Saya guru dan inilah yang paling sesuai dengan jiwa saya. Mungkin apa yang saya ceritakan berikutnya adalah bukti yang saya seorang guru.

Apabila saya menyokong seseorang, tidak menyebabkan saya benci seseorang yang lain. Saya tidak suka menyandarkan diri saya pada seseorang atau pada satu-satu kelompok. Saya boleh mendekati seseorang dan saya juga boleh menjauhkan diri daripadanya. Saya punya pendirian yang bebas dan tidak sengaja mengikat dengan pihak-pihak tertentu.

Saya memandang semua manusia berguna buat saya,kecil atau besar, tukang sapu atau seorang jaga. Kalau tidak hari ini, esok; kalau tidak banyak, sedikit. Sebab itu saya amat sukar untuk membenci seseorang walaupun orang lain telah menolaknya.Begitulah sebaliknya.

Saya lebih suka melihat manusia dari sudut kelebihannya,dan akan berkongsi kelebihan itu dengan orang lain sebab itulah yang amat diperlukan oleh organisasi saya-sekolah dan kelas. Ini bukan bererti saya menutup mata sama sekali daripada perkara-perkara buruk tentang seseorang, tetapi biarlah perkara buruk itu saya simpan sebagai sempadan.

Perkara buruk bagi saya biarlah diketahui sendiri oleh orang lain dan tidak usahlah kita membukanya. Sebab itu tidak perlulah kita menghebohkannya, apatah lagi berbangga apabila melakukannya. Saya selalu memberitahu kawan-kawan saya bahawa perkara buruk tidak perlu dihebahkan, ia akan terbau sendiri, tetapi perkara baiklah yang patut diwar-warkan kerana ia merupakan sumber dorongan sebenar.

Dalam organisasi sekolah dan kelas, kita memerlukan lebih banyak yang baik-yang bermanfaat buat kita. Sebab itulah timbulnya konsep penandaarasan atau benchmarking. Melakukan benchmark atau penanda aras asalnya dari organisasi perniagaan. Namun kerana aktiviti itu baik untuk organisasi pendidikan, ia patut dan mulia untuk dilakukan.

Benchmark atau penanda aras bolehlah dimaksudkan sebagai aktiviti meniru atau mencontohi yang terbaik daripada organiaasi atau individu yang lain. Kita boleh menjadikan organisasi atau orang paling hampir sebagai tanda aras seperti guru lain atau kelas sebelah. Panitia Bahasa Melayu umpamanya boleh meniru Panitia Sains di sekolah yang sama. Bidang kemanusiaan mungkin boleh meniru cara gaya pengurusan bidang vokasional dan teknikal.

Dari sudut yang lebih jauh sekolah kita boleh meniru sekolah jiran kita, pusat sumber sekolah A boleh meniru pusat sumber sekolah B, JK Pengurusan Bilik Boss Sekolah Ini boleh meniru Pengurusan Bilik Boss Sekolah Itu dan sebagainya.Lebih jauh lagi organisasi sekolah itu sendiri boleh meniru organisasi dari jabatan lain seperti bank , koperasi dan sebagainya. Untuk merealisasikan semua ini kita perlu melakukan lawatan ke tapak atau dikenali juga sebagai lawatan penandaarasan.

Hanya individu atau organisasi yang ingin belajar sahaja yang akan melakukan benchmark dan melakukan lawatan penandaarasan ini.Ingat itu.Hakcipta GuruBashid