ORGANISASI yang kuat, termasuk parti politik yang kuat adalah sebuah organisasi yang mempunyai ahli-ahli yang memiliki kualiti peribadi, di samping bersikap positif terhadap sesuatu atau seseorang. Organisasi seperti ini mempunyai watak sebuah organisasi pembelajaran (learning organisation) yang mana setiap ahli-ahlinya sentiasa meletakkan diri mereka sebagai seorang pelajar yang tekun untuk menambahkan pelbagai maklumat dan pengetahuan di samping berfikiran terbuka kepada perkara-perkara positif walau dari mana datangnya.
Organisasi ini tidak mahu terperap dalam kelongsongnya sehingga menafikan sebarang elemen baru yang boleh memberi nilai tambah kepada keutuhannya. Ahli-ahlinya sentiasa membuka minda mereka untuk orang lain. Organisasi sebegini melihat sesuatu atau seseorang itu punya kekuatan atau keistimewaan tertentu, jika tidak banyak, sedikit pasti ada. Yang cuba dilihat dan dikutip lalu dibawa masuk ke dalam organisasi mereka hanyalah yang positif.
Individu atau Organisasi A umpamanya mempunyai kekuatan A, B mempunyai kekuatan B, begitu juga C, D dan seterusnya, masing-masing punya kekuatan tersendiri. Kekuatan itulah yang dilihat, ditiru dan dibawa masuk dalam organisasi yang sebegini. Akhirnya akan terhimpun segala nilai baik dalam organisasi mereka. Maka kalau dahulunya organisasi mereka punya satu atau dua nilai baik sekarang mereka punya beberapa nilai baik yang datang daripada pelbagai sumber yang akhirnya akan menambahkan kekuatan kepada organisasi mereka.
Ini berbeza dengan organisasi sang katak versus kepada organisasi pembelajaran yang mana ahli-ahlinya berasa bahagia, aman dan selamat dalam tempurungnya. Ahli-ahli dalam organisasi sang katak menutup bukan sahaja mindanya, malahan seluruh dirinya. Mereka melihat dunia dengan penuh pessimis, dan gemar untuk menyalahkan yang lain.
Mereka melihat hanya yang buruk-buruk, lalu yang tidak baik itulah yang dipungut dan dibawa masuk ke dalam organisasi mereka. Mereka lebih menggemari yang buruk-buruk itu. Mata mereka melihat ke arah yang buruk; mulut mereka selalu berkata tentang yang buruk dan hati mereka sentiasa berprasangka buruk kepada seseorang atau sesuatu. Akhirnya yang terhimpun dalam organisasi mereka adalah segala yang buruk. Akibatnya organisasi itu semakin goyah dan akhirnya hancur kerana tiada nilai yang kuat yang dapat menyokong organisasi itu lagi. Hakcipta Abd Bashid Harun

















No user commented in " Org Pembelajaran vs Org Katak "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply