Kejadian tsunami yang menimpa banyak negara beberapa tahun yang lalu tidak mudah dilupakan begitu sahaja. Malaysia,khususnya Pulau Pinang dan Kedah turut menerima kesannya. Tsunami yang melumpuhkan Acheh cukup menjadi pengajaran kepada kita betapa tangan Tuhan melampaui tangan-tangan kita. Tangan-tangan manusia yang rakus terhadap alam dan manusia, tiba-tiba sahaja tidak mampu berbuat apa-apa apabila Tuhan yang bersemayam di atas arasy turun dari kerusi-Nya untuk menolak air dengan tangan-Nya. Baru dengan jilatan hujung lidah air itu sebahagian daripada kita telah menerima kesengsaraannya. Begitulah apabila Tuhan mengamuk tidak sesiapa yang boleh meghalang-Nya.

Kejadian tersebut telah menimbulkan kesedaran kepada warga bumi betapa pentingnya menjaga alam sekitar. Betapa perlunya sungai dan laut kita dipagari dengan pepohonan yang rapat dan kukuh.Antaranya, pohon-pohon bakau yang dikatakan menjadi benteng semulajadi yang cukup ampuh bagi mengurangkan kesan pukulan dan tolakan ombak. Pohon bakau ini jugalah suatu ketika dulu pernah menjadi benteng pertahanan paling strategik bagi Melaka ketika berdepan dengan serangan luar.

Alasan yang diberikan ialah kawasan-kawasan yang mempunyai jajaran pohon bakau kurang menerima kesan pukulan ombak tsunami tempoh hari berbanding kawasan yang mengalami kepupusan bakau. Maka wujudlah suara-suara mereka yang prihatin agar pokok bakau ditanam di kuala-kuala sungai dan di tepi-tepi pantai.

Bakau ialah sejenis tumbuhan paya laut yang unik.Sebabnya bakau tidak mempunyai akar tunjang, sebaliknya bergantung kepada akar jangkang ceracak yang tumbuh di sekeliling pangkal pohon.

Akar jangkang ini tidak mudah patah berbanding batang bakau itu sendiri. Akarnya tetap kukuh mecengkam bumi meskipun batang bakau sudah lama patah. Inilah antara kelebihan bakau berbanding pohon-pohon yang lain.

Begitulah halnya dengan sesebuah organisasi. Organisasi diperkukuhkan oleh semua ahli yang sama-sama berperanan menjulang maruah dan nama baik organisasi, dan sama-sama mempertahankannya daripada mengalami kemunduran dan kelemahan.

Seperti akar jangkang, semua ahli dalam organisasi sama-sama penting dalam menyumbangkan sesuatu yang positif demi kebaikan organisasi. Ahli tidak patut memikulkan beban memperkukuh dan memajukan organisasi hanya kepada ketua atau beberapa individu di atas sahaja.

Akar bakau yang menonjol, terdedah dan jelas di pandangan melambangkan ketelusan, kejujuran dan keberanian.Resmi bakau ini mengingatkan kita betapa sesuatu usaha yang dilakukan sepatutnya bersifat telus, boleh dibaca, ditatap dan dirujuk pada bila-bila masa.

Sesuatu yang baik dan berguna patut diwar warkan kepada umum untuk kebaikan semua.Kebaikan atau kejayaan yang dicapai oleh ahli organiisai (sekolah, dan lain-lain) tanpa siapa yang mencapainya tidak wajar disembunyikan daripada pengetahuan ahli dan hanya diketahui oleh orang tertentu sahaja.

Malahan dasar, visi,misi,falsafah, budaya, agenda, aktiviti termasuk kegembiraan dan kesedihan patut dikongsi bersama oleh dan dengan seluruh warga organisasi.

Hakcipta Abd Bashid Harun