Cadangan Kepada MKT

Cadangan berikut mungkin boleh dijadikan dasar pengurusan kelas sebagai tambahan kepada dasar yang sedia ada. Cadangan ini sebenarnya pernah dipraktiskan di beberapa buah sekolah. Antaranya ialah

1 Mewajibkan Penggunaan Jam Dinding Di Kelas

Ada kelas yang ada jam dinding, tetapi banyak juga kelas yang tidak ada jam dinding.Jadi untuk kebaikan semua murid di dalam kelas dan untuk guru yang mengajar dicadangkan di sini agar penggunaan jam dinding diwajibkan kepada semua kelas.

Jam dinding ini boleh dihibahkan oleh guru kelas, atau dihadiahkan oleh ibu bapa pelajar atau dibeli menggunakan wang tabung kelas.

Seelok-eloknya ada dua unit jam dinding seperti yang diamalkan oleh kelas-kelas di SBP Sabah (sekarang SMS Sabah) semasa Dato’ Adnan bin Ibrahim, mantan Pengarah Pelajaran Perak menjadi pengetuanya.

Satu unit digantung di hadapan kelas dan satu unit lagi digantung di belakang kelas.Jam yang digantung di hadapan kelas adalah untuk tatapan murid-murid, sementara jam yang digantung di belakang kelas adalah untuk tatapan guru.

Maksudnya di sini kedua-dua pihak, guru dan murid sama-sama bertanggungjawab menepati masa dan menggunakan masa sepenuhnya untuk tujuan P & P. Sekurang-kurangnya ini menjadi peringatan kepada guru dan murid agar sentiasa berhati-hati dengan masa.

Bukan menjadi satu kebiasaan bagi murid-murid di Malaysia menegur guru tentang penggunaan masa di dalam kelas berbanding teguran guru ke atas murid mengenai penggunaan masa. Maka dengan adanya jam dinding yang digantung di bahagian belakang kelas, guru-guru seolah diberi satu tanda peringatan tanpa suara bahawa mereka sentiasa diperhatikan murid-murid.

2 Kata-Kata Hikmah/Moto/Slogan Di Dalam Kelas

Jika ada dua unit jam dinding di dalam kelas, moto, kata-kata hikmah atau slogan juga perlu dilekatkan di dua bahagian kelas, iaitu di bahagian hadapan dan di belakang kelas. Sama halnya dengan tujuan jam dinding tadi, kata-kata hikmah ini juga untuk murid dan guru.

Kata-kata yang dilekatkan di dinding atau alang kelas di bahagian hadapan adalah untuk renungan murid, sementara kata-kata hikmah atau slogan di bahagian belakang kelas adalah untuk renungan guru. Lebih tepat lagi untuk guru yang mengajar.

Kata-kata tersebut tidaklah sampai menyinggung perasaan guru dan perlu mendapat persetujuan guru kelas. Memandangkan tulisan mudah sahaja menjadi suatu yang sensitif, maka dicadangkan di sini kata-kata yang paling baik adalah kata-kata yang boleh merangsang dan memotivasikan guru-guru atau pujian-pujian kepada mereka. Sebagai contoh ungkapan seperti Terima Kasih Cikgu atau Kami Sayang Cikgu.

Selain itu kata-kata tersebut boleh sahaja berbentuk harapan murid kepada guru mereka seperti Ajarlah Kami, Bantulah Kami atau seperti Bimbinglah Kami Sehingga Berjaya.

Hakcipta Abd Bashid Harun
PK HEM SMK Kamunting

______________________
Catatan: Semasa Dato’ Adnan bin Ibrahim menjadi Pengetua SBP Sabah (SBPS) beliau turut melantik dua orang guru kelas, seorang guru pentadbiran dan pengurusan kelas dan seorang lagi guru kewangan.Semua hal yang berkaitan dengan kewangan seperti pungutan derma, biasiswa, yuran sekolah dan derma PIBG diserahkan kepada guru kelas yang mengurus kewangan sementara urusan mencatatkan kehadiran pelajar, pengurusan kelas, peraturan kelas dan pergerakan murid pula diserahkan kepada guru kelas yang mengurus pentadbiran.